Rabu, 14 Mac 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


PDRM sasar sifar salah laku integriti, rasuah dalam pasukan

Posted: 14 Mar 2012 06:13 PM PDT

Nasional

ISMAIL melancarkan poster Kempen Jauhi Rasuah di Esplanade KLCC di Kuala Lumpur, semalam. Turut sama timbalannya, Datuk Seri Khalid Abu Bakar (kanan) serta Hisham (dua dari kiri).

ISMAIL melancarkan poster Kempen Jauhi Rasuah di Esplanade KLCC di Kuala Lumpur, semalam. Turut sama timbalannya, Datuk Seri Khalid Abu Bakar (kanan) serta Hisham (dua dari kiri).

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) meletakkan sasaran sifar salah laku integriti dan rasuah di kalangan seluruh warga pasukan itu, sekali gus meningkatkan kredibiliti serta profesionalisme pegawai dan anggotanya dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada masya-rakat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata bagi mencapai hasrat itu, PDRM sedang merangka pelbagai inisiatif dan strategi dengan kerjasama agensi lain khususnya Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) serta Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Rasuah.

Katanya, sasaran sifar salah laku integriti itu juga sejajar usia PDRM yang bakal menyambut ulang tahun ke-205 penubuhannya pada 25 Mac ini yang mana tahap perkhidmatan terbaik kepada masyarakat perlu dipertingkatkan. "Hari ini saya menyampaikan mesej secara jelas dan terang kepada warga polis di seluruh negara bahawa PDRM perlu sentiasa menunjukkan kepada masyarakat yang kita fokus dan serius untuk mencapai tahap integriti lebih tinggi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Membudayakan Amalan Integriti Dalam PDRM di sini, semalam.

Ismail berkata, perangkaan PDRM menunjukkan kurang satu peratus daripada 120,000 warga PDRM terbabit dalam kes salah laku termasuk berkaitan integriti, namun usaha membanterasnya terus diperhebatkan bagi mengelak menjadi barah.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau melahirkan rasa sedih dan kecewa setiap kali menerima laporan pegawai atau anggotanya menerima rasuah hingga ada yang tersebar di internet melalui penulisan, komen atau menerusi YouTube.

"Namun saya ingin menjelaskan bahawa perbuatan segelintir pegawai polis ini tidak boleh dijadikan ukuran kepada perkhidmatan majoriti anggota PDRM yang menabur bakti kepada nusa dan bangsa," katanya.
Beliau berkata, kerjasama polis dan orang awam juga perlu dipertingkatkan kerana kegiatan rasuah tidak akan berlaku jika membabitkan sebelah pihak saja.

Sementara itu, Pengarah NKRA Rasuah, Datuk Hisham Nordin, berkata sepanjang tahun lalu, seramai 157 pegawai dan anggota polis tampil membuat laporan mereka cuba dirasuah oleh orang awam atas pelbagai sebab.

Katanya, ia jumlah tertinggi pernah direkodkan sekali gus menunjukkan peningkatan amalan integriti di kalangan warga PDRM semakin meningkat di samping memberi isyarat jelas kepada orang awam supaya jangan sesekali cuba merasuah anggota polis.

Sementara itu, buat pertama kali sejak 205 tahun penubuhannya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperkenalkan maskot sebagai lambang kebanggaan dan pencapaian pasukan itu.

Ketua Polis Negara, berkata bagaimanapun polis masih belum boleh mendedahkan maskot terbabit kerana ia adalah kejutan ketika majlis sambutan Hari Polis ke-205 yang akan diadakan di Dataran Merdeka, di sini pada 24 Mac ini.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Bukit Aman, ACP Ramli Mohamed Yoosuf, berkata buat julung kali juga, sambutan Hari Polis akan dilakukan secara kiraan detik (countdown) bermula jam 8.30 malam hingga 12 tengah malam.

"Maskot itu akan diperkenalkan tepat pada jam 12 tengah malam selepas countdown pada majlis berkenaan.

"Kita menjangkakan kira-kira 3,500 pengunjung dalam dan luar negara hadir bagi memeriahkan majlis yang akan diwarnai dengan pelbagai pertunjukan dan persembahan," katanya.

Kes guru kurang hanya di SJKC, SJKT

Posted: 14 Mar 2012 06:11 PM PDT

Nasional

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran tidak menghadapi masalah kekurangan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) buat masa ini, kecuali bagi subjek tertentu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan SJK Tamil (SJKT).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Seri Muhyiddin Yassin berkata, antara punca masalah itu di SJKC adalah kekurangan guru yang berkelayakan dalam bahasa Mandarin bagi mengajar.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata bagi menangani masalah itu, KPM melaksanakan beberapa langkah termasuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Menangani Isu Kekurangan Guru di SJKC yang kini sudah dua kali bermesyuarat. "Mereka juga akan mencadangkan penempatan semula guru Bahasa Malaysia dari SK ke SJKC Gred A dan B saja bagi mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia di Tahun Tiga hingga Enam.

"Kementerian juga mencadangkan supaya guru opsyen Pengajian Cina di SJKC yang sudah mengajar mata pelajaran lain lebih daripada lima tahun diberikan latihan tambah opsyen melalui Program Intervensi Tambah Opsyen (PITO).

"Selain itu, kementerian meluluskan 4,407 jawatan di sekolah menengah untuk diisi secara sementara oleh calon guru yang mempunyai kelayakan iktisas pendidikan, namun belum dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) sebagai guru interim sehingga 15 April 2012 dan melulus 1,848 jawatan di SJKC dan 128 di SJKT untuk diisi secara sementara oleh guru interim sehingga bekalan guru tetap dibekalkan SPP," katanya dalam jawapan bertulis kepada Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam).

Chong Eng bertanya punca masalah kekurangan guru dan langkah penyelesaian yang diambil kerajaan serta jumlah gaji harian yang diberikan kepada guru sementara yang berkelayakan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan guru sementara berkelayakan SPM.
Muhyiddin berkata, kerajaan tidak pernah melantik guru sementara dengan kelayakan UEC, sementara kadar upah pekerja sambilan harian termasuk guru ganti lulusan SPM adalah RM54 dan guru interim menerima gaji seperti kelayakan Guru Sandaran Tidak Telatih (GSTT) sebelum ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan