Rabu, 7 Mac 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Delegasi Keidanren kunjungi Najib

Posted: 07 Mar 2012 02:54 AM PST

Mutakhir

PUTRAJAYA: Satu delegasi 15 ahli daripada Persekutuan Perniagaan Jepun (Keidanren) mengunjungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di pejabat beliau di sini, hari ini.

Delegasi itu, yang diketuai Pengerusi Keidanren, Hiromasa Yonekura sedang dalam rangka lawatan ke negara anggota ASEAN.

Hadir sama pada pertemuan itu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, dua Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Datuk Seri Idris Jala serta Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shigeru Nakamura. Idris Jala yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) memberi taklimat kepada delegasi itu tentang Program Transformasi Ekonomi (PTE).

Delegasi berkenaan melawat Vietnam sebelum tiba dengan penerbangan ke Malaysia semalam dan dijadualkan berlepas ke Filipina esok. Tahun lalu, satu delegasi Keidanren mengunjungi Indonesia, Thailand dan Singapura.

Keidanren adalah sebuah organisasi ekonomi yang ditubuhkan Mei 2002 hasil daripada penggabungan Persekutuan Persatuan Ekonomi Jepun dan Persekutuan Persatuan Majikan Jepun. - BERNAMA

Majikan perlu sokong dasar gaji minimum

Posted: 07 Mar 2012 02:41 AM PST

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Majikan di negara ini sepatutnya menyokong dasar gaji minimum yang akan dilaksanakan oleh kerajaan tidak lama lagi dan bukannya membantah atau memberikan komen negatif, kata Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia, Datuk Zainal Rampak.

Beliau berkata, tindakan majikan yang mendakwa syarikat akan gulung tikar jika gaji minimum diperkenalkan adalah lebih bersikap menjaga kepentingan masing-masing tanpa mempedulikan nasib pekerja mereka.

"Kata-kata ini memang sering kita dengar tetapi majikan masih lagi kekal menjalankan perusahaan kerana suasana negara kita aman, situasi politik stabil dan paling penting tiada tunjuk perasaan oleh pekerja," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. Zainal berkata, Pergerakan Kesatuan Sekerja (MTUC) memohon gaji minimum sebanyak RM1,200 sejak awal tahun 90-an lagi, namun dikurangkan kepada RM900 atas desakan majikan yang menyatakan kadar yang diminta oleh MTUC adalah terlalu tinggi.

"Kami menyangka dengan pengurangan itu ia akan dapat diterima oleh majikan tetapi tidak menjadi kenyataan," katanya.

Menurut Zainal kadar gaji minimum yang sepatutnya adalah RM1,500 dan bukannya RM900 memandangkan kos sara hidup di negara ini yang semakin meningkat.

"Jika dalam sebuah keluarga ada lima orang iaitu suami, isteri, dua orang anak yang bersekolah dan seorang lagi belum bersekolah...dengan perbelanjaan asas seperti makanan, perubatan, sewa rumah dan sebagainya, pendapatan RM900 adalah tidak mencukupi," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan