Rabu, 7 Mac 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


RM30,000 ginjal langsung hilang

Posted: 06 Mar 2012 10:57 AM PST

KUALA LUMPUR: Hasrat seorang operator kilang menyembuhkan penyakit buah pinggangnya dengan berubat di sebuah pusat perubatan tradisional Cina mengundang padah apabila dia bukan saja kerugian RM30,000, malah dua buah pinggangnya turut dibuang berikutan dijangkiti kuman.

Mangsa, Wong Kim Min, 47, yang menghidap penyakit buah pinggang sejak 10 tahun lalu diperkenalkan dengan seorang tabib Cina yang dikenali sebagai Dr Lau oleh rakannya.


"Saya berjumpa Dr Lau pada 5 Julai tahun lalu sebelum dimaklumkan dia mampu menyembuhkan penyakit saya dengan mudah.

"Bagaimanapun, Dr Lau meminta saya membayar kos perubatan RM30,000 dan saya menyerahkan wang itu kepadanya," katanya ketika sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA, di sini, semalam.


Wong berkata, sepanjang proses berubat, Dr Lau menggunakan 20 hingga 30 jarum suntikan sepanjang satu inci yang dicucuk di sekeliling perut dan kepalanya konon untuk mengeluarkan toksin daripada badan yang mengakibatkan penyakit berkenaan.


"Saya pulang ke rumah dalam keadaan kesakitan sebelum mengalami demam panas yang teruk pada malam itu. Saya menghubungi lelaki berkenaan, namun dinasihatkan supaya tidak mengambil ubatan moden mahupun pergi ke hospital," katanya.

Tiga hari selepas menanggung kesakitan, Wong pergi ke Hospital Ampang (HA) untuk mendapatkan rawatan selepas mengalami muntah dan cirit-birit serta kencing berdarah.


Dia bukan saja disahkan menghidap demam panas, malah buah pinggangnya juga dijangkiti kuman kemungkinan besar akibat rawatan tradisional itu.

"Saya dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 13 Julai tahun lalu untuk menjalani rawatan lanjut dan pada 3 September tahun sama, kedua-dua buah pinggang saya terpaksa dibuang berikutan gagal diselamatkan.


"Saya kini terpaksa menjalani rawatan dialisis sekurang-kurangnya tiga kali seminggu berikutan sudah tiada buah pinggang," katanya.


Menurut Wong, dia membuat laporan di Balai Polis Pudu pada 31 Januari lalu dan beberapa hari selepas itu, Dr Lau ditangkap polis dan direman lima hari.


Bagaimanapun, lelaki itu dilepaskan kerana menurut polis, mereka tiada bukti yang cukup untuk mendakwanya.


Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Micheal Chong berkata, pihaknya akan membawa perkara ini kepada Kementerian Kesihatan Malaysia.



Tangkap lembu berkeliaran

Posted: 06 Mar 2012 10:54 AM PST

PUTRAJAYA: Sikap degil penternak lembu persendirian yang membiarkan ternakan mereka berkeliaran di sekitar Taman Industri Mas Sepang, Puchong, Selangor, dekat sini, menerima padah.

Ini berikutan tindakan tegas Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) yang menjalankan operasi menangkap ternakan itu di kawasan berkenaan dalam operasi dua jam bermula 12 tengah hari, kelmarin.


Pengarah Penguatkuasa MPSepang, Superintendan (K) Mohd Azran Musa berkata, operasi membabitkan tujuh anggota itu dilakukan selepas mendapat aduan orang ramai terutama pengguna jalan raya yang bimbang keselamatan mereka.

Menurutnya, dalam operasi itu pihaknya menangkap 10 lembu dan mengeluarkan kompaun bernilai lebih RM2,000 kepada pemilik yang menuntut ternakan berkenaan mengikut Enakmen Lembu dan Kerbau 1971.


"Selepas ternakan itu ditangkap, ada di kalangan pemilik merayu supaya tidak dikenakan kompaun, tetapi kami bertindak tegas supaya kejadian sama tidak berulang.


"Pada masa sama, kami meminta pemilik ternakan itu menanggung kos tangkapan sebelum memulangkan semula kepada mereka," katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Mohd Azran berkata, pihaknya menjalankan operasi tangkapan itu selepas beberapa amaran yang diberikan kepada penternak terbabit tidak diendahkan, malah masih mengulangi kesalahan berkenaan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan