Rabu, 7 Mac 2012

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


AUCMS guna teknologi RFID

Posted:

AUCMS guna teknologi RFID

AUCMS guna teknologi RFID

Oleh AZELI ALIazeli.ali@utusan.com.my

KEPALA BATAS 6 Mac - Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) menjadi institusi pengajian tinggi pertama di negara ini yang menggunakan sepenuhnya teknologi pengenalpasti berfrekuensi radio (Radio Frequency Identification-RFID) bagi memudahkan urusan seharian kakitangan dan pelajar universiti itu.

Ia adalah hasil kerjasama strategik AUCMS dengan syarikat pembekal Pentamaster Solutions Sdn. Bhd. (Pentamaster) yang ditandatangani antara Presiden AUCMS, Datuk Dr. Zainuddin Md. Wazir dan Pengerusi Eksekutif Pentamaster, Dr. Chuah Choon Bin baru-baru ini.

Sistem RFID akan mengambil masa setahun untuk dibangunkan dalam tiga peringkat dan menelan belanja RM3 juta yang memberi manfaat bukan sahaja kepada kampus induk AUCMS di Kepala Batas tetapi juga kampus cawangan di Kangar, Kuala Lumpur dan Kulim.

Menurut Zainuddin, empat bidang utama yang diberi penekanan melalui penggunaan RFID adalah sistem kehadiran dan keselamatan yang mana ia akan merekodkan urusan kedatangan kakitangan ke tempat kerja serta pelajar ke kuliah.

"Setiap pelajar harus mencatatkan 80 peratus kedatangan kuliah untuk membolehkan mereka menduduki peperiksaan dan melalui sistem ini pensyarah dapat membuat penilaian rekod kehadiran mereka secara terus dan tepat.

"Kita juga dapat mengesan lokasi setiap pelajar sekiranya mereka tidak hadir ke kuliah serta lokasi kakitangan di seluruh kampus ini," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian itu baru-baru ini.

Tambah Zainuddin, kawasan lain yang menggunakan RFID adalah sistem pengurusan aset yang mana pergerakan setiap aset serta peralatan milik AUCMS dapat dikesan di kampus terbabit serta memantau pinjaman serta pemulangan aset terbabit.

Selain itu, ia juga digunakan bagi sistem pinjaman buku di perpustakaan yang mana ia akan menjimatkan masa serta memudahkan proses meminjam dan memulangkan buku termasuk menjimatkan kos tenaga pekerja.

"Lebih unik sistem RFID menjadikan kampus AUCMS sebagai kampus tanpa tunai dan ia juga digunakan dalam sistem bayaran termasuk di kafeteria dan kedai buku.

"Pelajar atau kakitangan boleh membuat bayaran tanpa tunai menerusi penggunaan kad pintar yang dilengkapi sistem ini.

"Saya yakin ia adalah pelaburan terbaik kerana ia menjadikan tugas semua pihak dapat diuruskan dengan lebih efisien, menjimatkan tenaga dan sesuatu keputusan dapat dicapai dengan pantas," katanya.

Menurut Zainuddin, melalui sistem tersebut, ia menjadikan AUCMS sebagai universiti pertama mempunyai teknologi terkini bagi membolehkannya terus kekal dalam persaingan yang kompetitif.

"Sejajar dengan hasrat menjadikan AUCMS sebagai universiti bertaraf antarabangsa, pasti penggunaan sistem moden dan canggih itu akan memberi suasana kondusif serta teratur kepada pelajarnya," katanya.

1,800 penuntut UiTM tamat latihan Kor Kokurikulum

Posted:

1,800 penuntut UiTM tamat latihan Kor Kokurikulum

1,800 penuntut UiTM tamat latihan Kor Kokurikulum


SEBAHAGIAN peserta menyanyi lagu Wawasan Setia Warga UiTM sebelum majlis penutupan Kor Kokurikulum 2012 di Kampus UiTM Pulau Pinang, baru-baru ini.


BUKIT MERTAJAM 6 Mac. - Seramai 1,800 penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang menamatkan latihan Kor Kokurikulum 2012 di kampus UiTM Permatang Pauh, di sini baru-baru ini.

Timbalan Rektor UiTM Pulau Pinang, Prof. Madya Noor Awang Hamat berkata, latihan itu bertujuan melahirkan lebih ramai penuntut berjiwa kental dan berdisplin.

Menurutnya, ia juga mengalakkan penuntut menyertai pasukan pakaian seragam.

"Sikap malas, suka tangguh dan lembab perlu dielakkan jika penuntut ingin mencapai kejayaan lebih baik dalam kehidupan masing-masing.

"Saya kagum dengan semangat ditunjukkan oleh mahasiswa setelah menamatkan latihan kali ini," katanya semasa menutup latihan itu di kampus UiTM, di sini baru-baru ini.

Ketua Unit Kor Kokurikulum UiTM Pulau Pinang, Juhairi Md. Rejab berkata, ceramah disampaikan oleh pelbagai agensi termasuk polis, bomba dan penyelamat, tentera dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) boleh dijadikan panduan asas.

Seorang peserta, Wan Suhaida Wan Ibrahim, 20, dari Dungun, Terangganu berkata, banyak perkara baharu dapat dipelajari dengan adanya latihan seperti ini.

Dia yang mengikuti kursus Kejuruteraan Awam di sini berkata, bukan mudah untuk mendapatkan ilmu tambahan mengenai bidang ketenteraan jika berada di luar kampus.

"Program disusun walaupun sehari telah berjaya memupuk semangat jati diri dalam kalangan semua penuntut universiti," katanya.

UUM jalin kerjasama IPT di Poland

Posted:

UUM jalin kerjasama IPT di Poland

UUM jalin kerjasama IPT di Poland

KUBANG PASU 6 Mac - Universiti Utara Malaysia (UUM) akan mengadakan kerjasama akademik dengan beberapa institusi pendidikan tinggi (IPT) terkemuka di Poland terutama membabitkan program muzik dan budaya.

Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, kerjasama berkenaan boleh dilaksanakan kerana Malaysia dan Poland memiliki hubungan yang erat.

''Ini termasuk Duta Besar Republik Poland ke Malaysia, Prof. Dr. Adam W. Jelonek mempunyai hubungan baik dengan UUM,'' katanya selepas menyaksikan Konsert A Piano Recital selama 52 minit oleh pemain piano terkenal dari Eropah, Lech Napierala di UUM, Sintok di sini hari ini.

Mohamed Mustafa berkata, Prof. Dr. Jelonek merupakan profesor pelawat pertama dari Poland ke UUM dari 1999 hingga 2000 setelah satu Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Presiden Poland, Lech Walesa bagi meningkatkan program pertukaran budaya dan akademik antara kedua-dua negara.

''UUM sangat berbesar hati dan berbangga dengan kerjasama ini dan percaya penganjuran konsert piano malam ini membuktikan hubungan baik UUM dengan Kedutaan Poland,'' katanya.

Mohamed Mustafa berkata, konsert itu juga membuktikan hubungan erat antara kedua-dua pihak dalam memperkukuhkan kerjasama akademik serta budaya kedua-dua negara sentiasa terpelihara.

Sementara itu, Dr. Jelonek berkata, Kedutaan Republik Poland di Malaysia berhasrat memperkenalkan tradisi dan budaya masyarakat negara mereka.

"Saya berharap penonton terhibur dengan persembahan Lech Napierala, seorang pemain piano yang masih muda dan berbakat besar," katanya.

Tambahnya, konsert tersebut adalah salah satu siri penjelajahan persembahan Lech Napierala di Asia termasuk di Singapura, Filipina dan China.

Dalam persembahan itu, rata-rata tetamu terpegun dengan persembahan Lech Napierala yang mempersembahkan keasyikan muzik tradisi rakyat Poland, Marzukas yang menjadi keunikan budaya negara tersebut.

Napierala mempersembahkan muzik klasik daripada komposer terkenal negara berkenaan, Frederic Chopin (1810-1849), Karol Szymanowski (1882-1937) dan Roman Maciejewski (1910-1998) bagi menghiburkan tetamu antarabangsa dan tempatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan