Sabtu, 10 Mac 2012

Berita Harian: MukaDepan

Berita Harian: MukaDepan


Kuasa mutlak MB

Posted: 09 Mar 2012 12:27 PM PST

MukaDepan

PAS Pusat tiada hak campuri pentadbiran kerajaan Kedah

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata Jawatankuasa Pemandu yang ditubuhkan PAS Pusat, tiada dalam perlembagaan negeri dan tidak boleh mengehadkan kuasanya sebagai Menteri Besar.

Oleh itu, katanya, jawatankuasa berkenaan juga tidak berhak mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri.

"Kita negeri kena ikut perlembagaan negerilah... Jawatankuasa Pemandu itu hanya bagi pandangan dan nasihat secara peribadi. Pada saya, sesiapa pun boleh bagi nasihat. "Lagipun Jawatankuasa Pemandu itu tidak ada dalam perlembagaan. Saya pun tidak tahu siapa dia Jawatankuasa Pemandu itu? Apa dia punya 'terms of reference' (terma rujukan)?

"Macam mana saya nak komen.. ya dak (betul kan)? Bila sudah tahu nanti baru boleh komen," katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di kediamannya, di Jalan Sultanah di sini, semalam.

Menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, jawatankuasa tertinggi dalam pentadbiran negeri adalah jemaah EXCO yang diketuai Menteri Besar di mana pelantikan mereka mendapat perkenan Sultan Kedah selain mengangkat sumpah mengikut Akta Rahsia Rasmi.

Isnin lalu, PAS Pusat mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pemandu itu yang akan bertanggungjawab memantau Menteri Besar mentadbir dan menguruskan negeri sebagai penyelesaian kepada krisis dalaman kerajaan Kedah berikutan penolakan dua EXCOnya terhadap pentadbiran Azizan.
Walaupun kemelut itu dilihat selesai selepas dua EXCO terbabit, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh bersetuju menyertai semula barisan EXCO negeri, Jawatankuasa Pemandu itu antara lain didakwa berfungsi memberi pandangan mengenai apa yang dirasakan perlu oleh PAS Pusat dalam tugas Azizan mengurus dan mentadbir Kedah.

Phahrolrazi sebelum ini mendakwa Jawatankuasa Pemandu akan berfungsi sebagai kuasa pemutus tertinggi, sekali gus membolehkan sebarang percanggahan pendapat di kalangan EXCO, termasuk dengan Menteri Besar diselesaikan oleh jawatankuasa itu.

Ditanya pandangan Phahrolrazi mengenai perkara itu, Azizan berkata: "Dia ambil (ikut) undang-undang mana.. kita negeri ikut perlembagaan negeri."

Sementara itu, Anwar ketika diminta mengulas isu sama berkata, Jawatankuasa Pemandu hanya bertindak sebagai penasihat dan tidak boleh mengambil alih kuasa Menteri Besar.

"Peranannya sama seperti saya sebagai Penasihat Ekonomi kepada Menteri Besar Selangor. Ia tidak jejas atau melanggari undang-undang.

"Sebagai Penasihat Ekonomi Menteri Besar Selangor, saya hanya beri nasihat berdasarkan pandangan daripada rakan pimpinan parti selain kerana mempunyai sedikit pengalaman. Bagaimanapun, saya tidak ambil alih kuasa Menteri Besar," katanya.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

md rasani b hamazah

Tepat, ikutlah perlembagaan,utamakan agama

Rizal Jerai

asyik konflik politik saja 24 jam... bila ekonomi negeri nak gerak??.. kami generasi muda Utara perlukan pembaharuan.. tak kan kena merantau jugak cari kerja bila dh graduate??

BABUN

Entahlah buatlah mana suka!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan