Khamis, 8 Mac 2012

Berita Harian: MukaDepan

Berita Harian: MukaDepan


STPM dirombak

Posted: 07 Mar 2012 02:17 PM PST

MukaDepan

DATUK Dr Mohd Noh Dalimin (empat dari kanan) beramah mesra dengan pelajar terbaik Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) selepas pengumuman keputusan semalam.

DATUK Dr Mohd Noh Dalimin (empat dari kanan) beramah mesra dengan pelajar terbaik Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) selepas pengumuman keputusan semalam.

Pentaksiran Berasaskan Sekolah dan peperiksaan akhir berpusat tentukan tahap kelulusan setiap calon

SELAYANG: Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dirombak mulai tahun ini dengan keputusan atau markah yang diperoleh oleh calon akan ditentukan menerusi taksiran berasaskan sekolah dan peperiksaan berpusat.

Pentaksiran akan menggunakan dua kaedah yang dilaksanakan sepanjang satu setengah tahun pengajian, iaitu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dengan markah 20 hingga 40 peratus dan peperiksaan akhir berpusat yang mewakili markah 60 hingga 80 peratus untuk menentukan tahap kelulusan setiap calon. Penggunaan sistem taksiran baru itu dilaksanakan selaras dengan Program Transformasi Pendidikan dan salah satu usaha kerajaan memperkasakan program pendidikan Tingkatan Enam.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Datuk Dr Mohd Noh Dalimin, berkata menerusi sistem taksiran baru itu, tempoh pengajian Tingkatan Enam, penawaran dan sistem penggredan mata pelajaran masih sama seperti sebelum ini tetapi kandungan pengajian dipecahkan kepada tiga bahagian kurikulum untuk mengisi tiga penggal.

"PBS diperkenalkan bagi meningkatkan kemahiran insaniah pelajar terdiri daripada tiga bentuk kerja kursus, iaitu projek atau tugasan, kerja amali dan kajian luar mengikut keperluan mata pelajaran. Ia akan diadakan setiap penggal atau penggal tertentu saja," katanya pada sidang media mengumumkan keputusan STPM, di sini semalam.

Beliau berkata, peperiksaan bagi menilai pencapaian pelajar akan diadakan setiap hujung penggal, iaitu penggal pertama pada November tahun pertama, manakala penggal dua dan tiga masing-masing pada Jun serta November tahun kedua pengajian.
"Keputusan peperiksaan akan dikeluarkan pada setiap penggal, manakala keputusan keseluruhan peperiksaan STPM dibuat berdasarkan gabungan keputusan bagi ketiga-tiga penggal," katanya.

Mohd Noh berkata, sistem itu bakal memberi kelebihan kepada pelajar kerana selain menitikberatkan pendidikan berasaskan hasil dan tidak terlalu berorientasikan peperiksaan, mereka akan mempelajari kandungan kurikulum berbeza pada skala kecil dalam setiap penggal.

Justeru, pelajar boleh lebih fokus menghadapi pembelajaran dan mempunyai peluang lebih besar untuk melakar kecemerlangan.

"Antara kelebihan sistem pentaksiran baru ini adalah pelajar boleh memperbaiki keputusan akhir setiap penggal dengan menduduki semula peperiksaan yang akan diadakan selepas keputusan peperiksaan penggal tiga dikeluarkan.

"Ini adalah kali pertama MPM memperkenalkan PBS bagi hampir semua mata pelajaran. Ini adalah sejarah bagi MPM selepas terbabit dalam bidang pentaksiran selama 30 tahun dan diharap mampu memantapkan sistem penilaian agar lebih holistik serta menguntungkan pelajar," katanya.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

wardatul jannah

sy stuju dgn perncngan tu.

Ali Imran bin Che Man

stuju

C'kenit jie ju

bguslah..seronok. smoga stpm trus jd yg trbaik

hapeez91

kalau umur 21 masih boleh ambil stpm?

etontahir

suatu yg baru, harus diteruskan

SALTMASIN

bagus lah pelaksanaan begitu dapat mendedahkan pelajar stpm dengan kehidupan di universiti kelak dan tidak hanya berorientasikan peperiksaan sahaja.

ARSYAD JAMIL

STPM PERLU SUNTIKAN SEGAR...SUPAYA GRADUAN LEBIH BERKUALITI DI MASA HADAPAN>>>>BANGUN SENYUM


Pulau Kukup mengecil setiap bulan

Posted: 07 Mar 2012 02:14 PM PST

MukaDepan

PONTIAN: Pulau Kukup dekat Tanjung Piai yang tercatat sebagai pulau kedua terbesar di dunia tidak berpenghuni, mungkin akan kehilangan gelaran itu akibat keluasannya yang semakin mengecil disebabkan hakisan pantai yang serius.

Kawasan hutan bakau di situ menyusut lebih 100 meter daripada keluasan sebenar sejak 10 tahun lalu. Malah, hakisan di pesisir pantainya makin ketara apabila air pasang besar, ombak besar kerana aktiviti perkapalan tidak terkawal dan kegiatan mencuri bakau.

Kajian Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) mendapati berlaku hakisan kira-kira satu meter setiap bulan di kawasan pulau hutan bakau berkeluasan 647 hektar yang dikelilingi dataran lumpur seluas 800 hektar itu. Hakisan serius itu juga menyebabkan sebatang pokok bakau Minyak (Rhizophora Apiculata) berusia lebih 100 tahun dan dipercayai terbesar di negara ini dengan garis pusat pada paras ketinggian dada 57.1 sentimeter (sm), mungkin tumbang beberapa bulan lagi disebabkan kedudukannya yang terletak kurang 20 meter dari kawasan hakisan.

Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor, Suhairi Hashim, mengakui terkejut melihat Pulau Kukup yang semakin terhakis, berbanding 10 tahun lalu apabila banyak kawasan yang sebelum ini hijau dengan pokok bakau kini diliputi air.

Katanya, pulau itu menempatkan lebih 38 spesies tumbuhan hutan paya bakau dengan nilai komersial tinggi seperti bakau minyak, kurap, berus, lenggadai, tumu merah, nyireh batu dan tengar berdepan, akan berkurangan jika tiada usaha menyelamatkan pulau itu daripada hakisan.

"Pokok bakau Minyak yang dipercayai tertua di negara ini juga akan tumbang dalam tempoh 30 bulan lagi jika tiada usaha menyelamatkan khazanah itu kerana jarak yang terlalu dekat dengan kawasan hakisan.
"Pencemaran yang berpunca daripada tumpahan minyak disebabkan oleh kapal dagang ketika berlabuh di luar perairan Taman Negara Johor (TNJ) Tanjung Piai dan Pulau Kukup juga dikatakan punca kemusnahan hutan bakau yang semakin meluas sejak lima tahun lalu.

"Kita berharap satu kajian menyeluruh dilakukan pihak berkaitan bagi menyelamatkan Pulau Kukup yang turut diiktiraf sebagai Tapak Ramsar, iaitu tanah lembap yang ada kepentingan antarabangsa," katanya.

Sementara itu tinjauan Berita Harian menaiki bot mendapati pesisir pantai Pulau Kukup mengalami hakisan teruk kerana banyak pokok tumbang di pantai.

Pesisir pantai Taman Negara Tanjung Piai yang menjadi tanah penghujung benua Asia juga mengalami hakisan teruk apabila banyak pokok tumbang, manakala pondok dan laluan pejalan kaki mengalami kerosakan. Laluan pejalan kaki ke penghujung benua itu juga ditenggelami air akibat mendapan.

Difahamkan, apabila air surut, kawasan di Tanjung Piai berhampiran pokok bakau minyak tertua itu tidak dapat dimasuki dengan bot disebabkan kawasan itu semakin cetek.

Suhairi berkata, bagi kajian oleh UTHM, dana sebanyak RM300,000 diperlukan bagi membina cerucuk, batu penghadang hakisan dan jeti untuk menghalang pergerakan tanah di kawasan pokok bakau tertua itu.

"Tahun lalu hampir 2,000 bakau di kawasan seluas 20 hektar dekat Tanjung Piai musnah, manakala 3,000 lagi sekitar pantai Pulau Kukup berdepan masalah sama berpunca daripada kesilapan manusia dan fenomena alam.

"Jika tidak dibendung, ia boleh mengakibatkan hakisan terus berlaku dan kawasan berhampiran pesisir pantai ditenggelami air. Kita harap ada pihak yang prihatin dapat menyediakan dana bagi menyelamatkan pokok tertua itu," katanya.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

..perlu disegerakan berbuat sesuatu sebelum pulau ini lenyap begitu sahaja.

nor'aini

pihak perlu berbuat sesuatu demi melindungi khazanah yang bernilai tinggi.

zafryna zin

Nmpknya,bumi smkin byk dlitupi air brbnding dtaran.

zira

harap pkara ini dpt diatasi dan cara untuk memulihara dan memelihara pilau ini dpt djlnkn dgn baik


Tiada ulasan:

Catat Ulasan