Sabtu, 1 Oktober 2011

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


Kapal RV Discovery dilancar

Posted:

Kapal RV Discovery dilancar

Kapal RV Discovery dilancar

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
utusanterengganu@utusan.com.my


Krew dan pelatih UMT melambai dari atas kapal RV Discovery selepas perasmian oleh Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Tuanku Nur Zahirah di Pulau Duyong semalam. - utusan/AZLAN BAHRUM


KUALA TERENGGANU 30 Sept. - Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah merangkap Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkenan menyempurnakan majlis pelancaran kapal latihan dan penyelidikan, Research Vessel Discovery (RV Discovery) milik universiti itu di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa Pulau Duyong, dekat sini, hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin turut berangkat pada majlis bersejarah itu.

Ketibaan Seri Paduka dan Raja Permaisuri disambut oleh Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Aziz Deraman; Pro Canselor UMT, Tan Sri Samsudin Osman dan isteri, Puan Sri Suslita Abdul Majid serta Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan isteri, Toh Puan Halijah Ali.

Seri Paduka berdua kemudiannya turut meluangkan masa selama 30 minit untuk melawat kapal penyelidik bernilai lebih RM15 juta itu sambil diiringi oleh Aziz.

Dalam ucapan alu-aluan, Aziz berkata, pelancaran yang disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong itu akan dapat merangsang semangat warga kerja UMT untuk bekerja lebih keras dalam menjalankan pelbagai kajian penyelidikan melibatkan oseanografi.

Katanya, pemilikan kapal penyelidikan pertama UMT ini meletakkan UMT sebagai universiti pertama di Malaysia memiliki sebuah kapal yang serba canggih untuk penyelidikan samudera.

Kapal ini akan menjadi kebanggaan dan ikon UMT dalam usahanya menjadi sebuah pusat kecemerlangan dalam penerokaan, penjanaan dan penyebaran ilmu yang berkaitan samudera.

"Kita berharap melalui kewujudan kapal yang dilengkapi dengan kemudahan penyelidikan ini akan memberi kita ruang dan peluang yang lebih luas untuk meneroka khazanah laut.

"Kita juga bersedia untuk berkongsi kepakaran dan kemudahan yang kita ada dengan masyarakat luar agar hasil kajian yang diperoleh dapat dimanfaatkan bersama kelak," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di sini, hari ini.

RV Discovery khusus dibina bagi penyelidikan oseanografi dengan kelengkapan terkini setanding dengan kapal penyelidikan luar negara dan berkeupayaan belayar sejauh lebih 4,000 batu nautika serta boleh berada selama dua minggu di lautan.

Kapal sepanjang 35 meter dan seberat 300 tan itu dibina pada September 2008 oleh syarikat tempatan, Kay Marine Sdn. Bhd. dan berkemampuan menampung 12 krew kapal dan 23 pelatih pada satu-satu masa. Kemudahan seperti kabin, ruang makan serta ruang rehat yang selesa turut disediakan.

Ia juga dilengkapi dengan pelbagai peralatan penyelidikan termasuklah peta elektronik, alat bantuan perjalanan, pengukur kedalaman air, pengukur kemasinan air, pengesan haba dan suhu air di samping alat dengar yang mampu berfungsi walaupun sejauh 30,000 meter di dasar laut.

Dalam aspek keselamatan, kapal itu dilengkapi sistem pemadam kebakaran pyrogen, juga kemudahan rawatan air masin untuk bekalan minuman selain makmal kering dan basah serta bilik memproses segala data terkumpul.

Kapal ini akan membuat pelayaran pertamanya ke Langkawi, Kedah bulan ini.

Kumpulan pertama berlepas ke Mekah

Posted:

Kumpulan pertama berlepas ke Mekah

Kumpulan pertama berlepas ke Mekah

KUALA TERENGGANU 30 Sept. - Sebanyak tujuh penerbangan membawa jemaah haji ke tanah suci Mekah mula beroperasi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat berkata, ia melibatkan seramai 3,129 jemaah haji dari zon timur merangkumi tiga negeri iaitu Terengganu, Pahang dan Kelantan.

Katanya, penerbangan kedua dari LTSM ialah pada 1 Oktober dan diikuti pada 5 dan 6 Oktober serta 16, 17 dan 18 Oktober.

"Setiap penerbangan yang membawa 447 jemaah itu menggunakan pesawat Penerbangan Malaysia dengan penerbangan terus ke Madinah atau Jeddah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis meraikan keberangkatan 447 jemaah haji pertama dari Kuala Terengganu ke Arab Saudi di LTSM, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Asha'ari Idris; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh, Muhammad Ramli Nuh dan Pengarah Tabung Haji negeri, Mohammad Mokhzani Mukhtar.

Tambah Khazan, kira-kira 300 kakitangan dari 18 agensi kerajaan termasuk Polis, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pertahanan Awam, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu serta Jabatan Kastam dan Imigresen membantu melancarkan operasi penerbangan haji di LTSM.

"Urusan penerbangan jemaah haji yang masuk tahun keempat itu sehingga kini berjalan dengan lancar dan sempurna," ujarnya.

Sementara itu, seorang jemaah haji, Mohd. Salleh Mohd. Noor, 71, dari Gong Badak, dekat sini semasa ditemui berkata, dia yang berkerusi roda bersyukur kerana akhirnya dapat menunaikan ibadah haji selepas lebih 30 tahun menyimpan hajat.

"Sudah lama pakcik tunggu. Masa anak pakcik masih bersekolah, pakcik dah baca buku-buku tentang ibadat haji," kata warga emas itu yang ke Mekah bersama anaknya, Ahmad Noor Rashidi, 36, seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Kelantan.

Bagi Nurul Huda Che Deraman, 26, pula, dia yang berasal dari Kesom, Manir dekat sini berasa bertuah kerana berpeluang mengerjakan ibadat itu dalam usia muda.

"Memang ini hajat saya dari sekolah menengah lagi. Selepas dapat kerja, impian saya untuk tunaikan haji sebelum berkahwin dan membeli kereta," kata kakitangan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu.

Pegawai Khidmat Pelanggan di balai polis

Posted:

Pegawai Khidmat Pelanggan di balai polis

Pegawai Khidmat Pelanggan di balai polis

KUALA TERENGGANU 30 Sept. - Pegawai Khidmat Pelanggan akan ditempatkan di beberapa balai polis terpilih di negeri ini mulai awal tahun depan dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat Ketua Polis Negeri, Datuk Jamshah Mustapa berkata, selain itu, balai polis berkenaan juga akan dilengkapi dengan sistem nombor elektronik bagi memudahkan segala urusan dilayan mengikut giliran.

Katanya, langkah itu diambil sejajar dengan perkembangan semasa selain untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan dan memberikan keselesaan kepada orang ramai yang berurusan dengan pihak polis.

"Kami akan cuba memberikan perkhidmatan yang terbaik walau dalam apa jua bentuk laporan yang dibuat oleh orang ramai,'' katanya selepas majlis Ramah Mesra Aidilfitri Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Terengganu di Balai Polis Gong Badak di sini semalam.

Perasmian majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri yang juga Pengerusi MCPF Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman.

Jamshah berkata, orang ramai boleh membuat laporan di mana-mana balai polis dan tindakan susulan akan dilaksanakan secepat mungkin.

"Mengenai dakwaan ada sesetengah balai polis tidak mahu menerima laporan yang dibuat oleh orang ramai ia mungkin berlaku sedikit salah faham dan merupakan kes terpencil,'' katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerjasama orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat diperlukan dalam usaha membanteras kegiatan jenayah.

Katanya, pada masa ini kes-kes jenayah yang berkaitan curi motosikal, ragut serta rogol di negeri ini menurun dari semasa ke semasa dan diharapkan ia turun kepada angka sifar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan