Ahad, 30 Oktober 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Minta maaf sebelum ajal

Posted: 29 Oct 2011 03:19 PM PDT

KOTA BHARU: "Mungkin ini kuasa Tuhan. Dia (arwah) tersedar daripada koma Sabtu lalu dan sempat minta maaf daripada ahli keluarga," kata Mohd Zulkhairi Mat Nor, adik kepada Mohd Anuar Mat Nor, 31, yang ditembak dalam kejadian dekat Simpang Empat Salam, Rantau Panjang, lebih dua minggu lalu.

Bagaimanapun, Mohd Anuar yang sebelum ini ditembak kenalannya selepas bertengkar dipercayai masalah hutang, disahkan meninggal dunia jam 6.55 pagi semalam selepas paru-paru dan buah pinggangnya gagal berfungsi akibat jangkitan kuman.


Mohd Zulkhairi berkata, abangnya tidak sedarkan diri selama 18 hari selepas dirujuk dan menjalani pembedahan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) pada malam kejadian.

"Pada mulanya, jangkitan hanya berlaku di paru-paru arwah, namun keadaannya semakin teruk berikutan jangkitan itu merebak ke buah pinggang.


"Akibat jangkitan itu menyebabkan kedua-dua buah pinggang gagal berfungsi dan menjadi punca kematian," katanya di Jabatan Perubatan Forensik HRPZII, semalam.


Katanya, abangnya tidak sedarkan selepas dibedah, menyebabkan mereka sekeluarga bergilir-gilir menjaganya hinggalah arwah menghembuskan nafas terakhir semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan, dalam kejadian jam 9.30 malam di Cabang Empat Salam, Rantau Panjang, 12 Oktober lalu, Mohd Anuar bernasib baik kerana hanya terkena sebutir peluru daripada beberapa das tembakan dilepaskan rakannya.


Tembakan itu terkena bahagian pinggang kiri dan menembusi dada kanannya.

Walaupun cedera parah, Mohd Anuar sempat menunggang motosikal sejauh satu kilometer ke rumahnya di Taman Wahyu, Rantau Panjang, untuk membawa pulang anaknya, Mohd Hifni Hamka, 6, yang dibawa bersama ketika bertemu dua kenalannya.


Mangsa berjumpa dan berbincang dengan kenalannya sebelum bertengkar dipercayai berkaitan masalah hutang. Seorang daripada kenalan mangsa mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa.


Isterinya, Miss Mati Mat Rashid, 29, sebelum ini berkata, sebelum kejadian, suaminya yang bekerja sendiri keluar bersama anak sulung jam 8 malam dengan menunggang motosikal tanpa memaklumkan tujuannya.


Katanya, dia hanya sempat mendengar anak dan suaminya bersembang dan anaknya mengajak suami pergi ke kedai.


"Saya tidak tahu motif suami ditembak. Anak sulung masih trauma dan hanya mampu memberitahu papanya (suami) ditembak di kawasan semak," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Mangsa lemas meronta-ronta ketika cuba diselamatkan

Posted: 29 Oct 2011 03:19 PM PDT

DUNGUN: "Dia meronta-ronta ketika saya cuba menyelamatkannya. Ini menyebabkan saya hampir lemas," kata Abu Dzhar Hamdan, 22, menceritakan detik cemas ketika dia cuba menyelamatkan rakannya di kolam takungan air di Kawasan Industri Batu 7, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 petang, Muhammad Safwan Che Roslan, 18, bagaimanapun gagal diselamatkan Abu Dzhar apabila tenggelam ke dasar kolam sedalam 15 meter.


Abu Dzhar berkata, sebelum kejadian, dia datang ke rumah mangsa untuk menjemput rakannya ke kedai menjual peralatan aluminium milik bapanya di Batu 50, di sini, jam 2.30 petang.

"Arwah membantu saya membersihkan kedai bapa memandangkan pada Jumaat bapa tidak membuka kedai dan kami berdua sempat makan tengah hari selepas membersihkan kedai," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, kelmarin.


Menurutnya, sepanjang dua jam di kedai, arwah kelihatan banyak termenung, menyebabkan dia bertanya arwah mengenai perubahan sikapnya namun arwah menjawab tiada apa-apa sebelum mereka menonton televisyen.


"Arwah kemudian memberitahu dia bosan dan mengajak saya ke kolam itu untuk mandi. Kami membonceng motosikal sebelum sampai di situ, jam 5 petang.

"Saya pernah mandi bersama rakan di kolam itu sementara arwah baru pertama kali mencuba dan ketika mandi kami berdua berbual-bual sambil memegang sebuah tiub tayar lori yang dijadikan pelampung," katanya.


Abu Dzhar berkata, arwah kemudian melepaskan pelampung dan mereka berdua berenang secara berpecah sebelum tiba-tiba arwah menjerit meminta tolong.

"Saya pada mulanya menyangka arwah bergurau namun sebaik melihat dia tenggelam timbul, saya menghampirinya untuk memberi pertolongan," katanya.


Dia menyelam dan berusaha menolak arwah naik, namun keadaan arwah yang meronta-ronta membuatkan dia tidak bertenaga, tambahan pula kedua-dua belah kakinya kemudian kejang.


"Saya hampir lemas akibat keadaan kelam kabut itu, menyebabkan saya melepaskan badan arwah sebelum timbul di permukaan air untuk menarik nafas, namun arwah ketika itu hilang daripada pandangan," katanya.


Dia kemudian bergegas naik ke daratan dan menemui seorang pemancing tidak jauh dari situ untuk memaklumkan kejadian sebelum mereka menghubungi bomba.


Sepasukan anggota bomba diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Penolong Penguasa Bomba Nor Azizi Che Noh bersama dua anggota polis tiba di tempat kejadian jam 6.20 petang untuk memulakan operasi mencari mangsa.


Mayat Safwan dinaikkan ke daratan pada jam 6.50 petang sebelum dikejarkan ke Hospital Dungun.


Mangsa tinggal bersama ibu bapa angkatnya di Kampung Teluk Lipat, di sini, sejak lima tahun lalu selepas ibu bapa kandungnya berpisah.


Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan