Berita Harian: Wilayah |
Posted: 24 Oct 2011 02:47 PM PDT Wilayah JAMBATAN sempit di Paka dikhuatiri membahayakan nyawa pengguna jalan raya. DUNGUN: Keadaan jambatan Sungai Gemuruh di KM 92.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, di Paka yang sempit menyebabkan pengguna boleh terdedah kepada risiko kemalangan terutama apabila kenderaan berselisih. Jambatan itu disifatkan orang ramai sebagai tidak lagi sesuai dalam arus pembangunan yang semakin pesat kerana jumlah kenderaan yang melaluinya semakin bertambah.Jambatan seusia dengannya seperti Jambatan Merchang, Pulau Serai dan Rhu Kubur sudah dinaik taraf. Setiap kali lori berselisih dengan kereta, sedikit kealpaan boleh menyebabkan nahas. - Amran Musa, Pemandu lori Tinjauan Berita Harian mendapati, permukaan jambatan sempit mengundang kesesakan lalu lintas, terutama jika kenderaan dari kedua arah bertentangan berselisih di atas jambatan itu.Pemandu lori, Amran Musa, 44, berkata sepanjang perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kemaman, jambatan berkenaan adalah satu-satunya yang belum dilebarkan. Beliau berkata, setiap kali lori berselisih dengan sebuah kereta, perasaan gerun dan cemas timbul dan sedikit kealpaan boleh menyebabkan kemalangan. "Jambatan seusia dengannya seperti Jambatan Merchang, Pulau Serai dan Rhu Kubur sudah dinaik taraf," katanya. "Keadaan lalu lintas menjadi sesak berikutan pengguna memperlahankan kenderaan apabila sampai di jambatan itu kerana berhati-hati supaya tidak berlaku kemalangan," katanya. Juhafizu Jusoh, 33, berkata, banyak kemalangan berlaku di situ termasuk kemalangan maut dan keadaan itu menyebabkan pengguna yang biasa melalui kawasan itu akan berhati-hati. "Selain itu, apabila tiba musim tengkujuh air sungai akan mencecah permukaan jalan menyebabkan jambatan itu ditutup kepada lalu lintas," katanya. Ahli Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh berkata, beliau dimaklumkan isu jambatan itu sudah dibawa kepada Kerajaan Persekutuan dan menunggu peruntukan untuk menjalankan kerja pelebaran jambatan terbabit. "Kita berharap peruntukan ini disegerakan bagi memudahkan pihak berkuasa mengeluarkan tender untuk kerja pelebaran jambatan itu yang amat membimbangkan semua pengguna jalan raya," katanya. |
Kedai kad tambah nilai caj 60 sen Posted: 24 Oct 2011 02:45 PM PDT Wilayah Peniaga di beberapa negeri jual RM10.60 walaupun cukai perkhidmatan ditangguhKUALA LUMPUR: Beberapa kedai prabayar kad tambah nilai telefon mudah alih dikesan mengenakan bayaran tambahan 60 sen walaupun empat syarikat pengendali utama telekomunikasi bersetuju menangguhkan caj cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus pada September lalu. Peniaga didapati menjual kad prabayar dengan harga RM10.60, berbanding harga asal RM10.Kerajaan perlu beri perhatian serius bagi mengelak pengguna tanggung kos. - Faidrus Aszmi Suhaimi, Pengguna Tindakan peniaga terbabit sudah pasti membebankan pengguna walaupun isu caj cukai perkhidmatan itu masih dalam kajian semula Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).Kegiatan itu bukan saja berlaku di sekitar Lembah Klang, sebaliknya di beberapa negeri seperti Pahang, Terengganu dan Negeri Sembilan. Wakil akhbar ini yang membeli kad prabayar di sebuah kedai runcit di Seksyen Tujuh, Bandar Baru Bangi di sini, turut dikenakan bayaran tambahan 60 sen ketika membeli kad prabayar berharga RM10. Peniaga yang menjual kad prabayar terbabit ketika ditanya tindakannya mengenakan bayaran tambahan itu enggan memberi penjelasan. "Pada mulanya saya ingatkan peniaga terbabit mengenakan bayaran tambahan itu selepas kerajaan menaikkan caj cukai perkhidmatan enam peratus, tetapi selepas saya semak di laman web syarikat telekomunikasi, saya dapati pelaksanaannya masih ditangguhkan," katanya. Seorang pembaca Berita Harian dari Jengka, Pahang, Noordayana Noordin, 23, berkata beliau juga terkejut perlu membayar RM10.60 ketika membeli kad prabayar di sebuah kedai di Terminal Bas Sementara Bandar Tun Abdul Razak. "Saya ada bertanya kepada peniaga sama ada ia berkaitan dengan caj cukai perkhidmatan atau keuntungan sendiri namun peniaga tidak memberi seberang jawapan," katanya yang masih menuntut di Universiti Institut Teknologi Mara (UITM) Jengka, Pahang. Seorang pengguna dari Bukit Kuang, Kemaman, Terengganu, Faidrus Aszmi Suhaimi, 27, berkata beberapa kedai runcit di bandar terbabit seakan kebal dari tindakan undang-undang mengenakan bayaran tambahan itu, tanpa dikenakan tindakan pihak berkuasa. "Kerajaan perlu memberi perhatian serius bagi mengelak pengguna menanggung kos yang tidak sepatutnya dikenakan. Saya yakin ramai peniaga yang mengenakan bayaran itu," katanya. Mohd Ridhuan Mohamed, 25, dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan, juga terpaksa membayar RM10.60 di sebuah kedai di medan selera berdekatan rumahnya dan menyifatkan tindakan peniaga terbabit sebagai tidak masuk akal. Pada 13 September lalu akhbar melaporkan empat syarikat pengendali utama telekomunikasi di negara ini bersetuju menangguhkan caj cukai perkhidmatan enam peratus terhadap pengguna perkhidmatan talian telefon prabayar dikuatkuasa 15 September. Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata persetujuan itu diputuskan secara bersama oleh empat syarikat terbabit selepas mengadakan perbincangan bersama kementerian itu di pejabatnya di Angkasapuri di sini. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Wilayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan