Isnin, 31 Oktober 2011

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


Elak tanggapan negatif

Posted:

Elak tanggapan negatif

Elak tanggapan negatif


mohd. Puad


KUALA LUMPUR 30 Okt. - Laporan Ketua Audit Negara 2010 sepatutnya lebih bersifat komprehensif dengan menjelaskan secara terperinci bagaimana sesuatu perkara itu diklasifikasikan sebagai perbelanjaan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ia penting bagi mengelakkan tanggapan negatif rakyat bahawa berlaku penyelewengan dan salah laku oleh pegawai atau kakitangan kementerian serta agensi dalam perbelanjaan yang dilaporkan.

"Sebagai contoh, Kementerian Pelajaran dikatakan berbelanja melebihi peruntukan sebenar bagi perbelanjaan pengurusan 2010.

"Hakikatnya, kementerian telah mendapat peruntukan tambahan kerana peruntukan yang diterima untuk perbelanjaan tersebut termasuk elaun perjalanan guru tidak mencukupi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2010 bahawa sembilan kementerian atau jabatan berbelanja RM3.73 bilion melebihi peruntukan keseluruhan yang diluluskan.

Sembilan kementerian itu adalah Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Mohd. Puad turut hairan bagaimana laporan berkenaan projek bekalan air bersih di luar bandar menerusi program Perigi Tiub (Tube Well) hanya menyentuh dua syarikat iaitu Rossington Consolidated Sdn. Bhd. (RCSB) dan Duta Sierra Development Sdn. Bhd.

Katanya, sebuah lagi syarikat iaitu Azair Sdn. Bhd. juga mempunyai kelemahan dan patut ditegur dalam melaksanakan program tersebut di Sabah dan Sarawak.

Berhubung laporan bahawa hanya dua daripada 300 makmal komputer sekolah rendah yang dirancang dibina dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Sabah berjaya disiapkan, beliau berpendapat Ketua Audit Negara sepatutnya membuat pendedahan yang lebih telus.

Katanya, ini termasuk mendedahkan bahawa masalah yang berbangkit adalah berpunca daripada pihak kontraktor yang tidak bertanggungjawab dan ingin mengaut keuntungan semata-mata.

"Bagaimanapun, setiap laporan Ketua Audit Negara perlu diambil secara positif walaupun terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki," ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon mendesak pihak berkuasa terutama SPRM mengambil tindakan segera menyiasat kes penyelewengan dalam perbelanjaan di jabatan kerajaan seperti yang didedahkan dalam laporan audit itu.

Tsu Koon berkata, langkah itu akan membuktikan komitmen kerajaan untuk menjadi lebih telus.

"Siasatan perlu dilakukan segera terutama bagi kes berkaitan pembelian barang yang dibayar dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga pasaran. Perkara ini sudah menjadi buah mulut orang ramai," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Deepavali Parti Gerakan di sini hari ini.

Tsu Koon memberi contoh, pendedahan laporan audit mengenai harga tiga barang yang dibeli oleh Jabatan Taman Laut Malaysia berjumlah RM56,350 amat mengejutkan ramai pihak sedangkan harga pasarannya tidak semahal itu.

Full content generated by Get Full RSS.

Martabatkan semula bahasa Melayu

Posted:

Martabatkan semula bahasa Melayu

Martabatkan semula bahasa Melayu

Oleh SAIFULIZAM MOHAMMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu kelapan yang berakhir hari ini mahu bahasa Melayu dimartabat dan digunakan sepenuhnya termasuk dalam bidang ekonomi, kewangan serta perundangan.

Pada masa sama, kongres mengumumkan penubuhan Majlis Pemantauan dan Tindakan Bahasa Kebangsaan yang berperanan sebagai badan pemantau usaha-usaha memartabat dan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Selain itu, kerajaan didesak menggunakan istilah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti diperuntukkan di dalam Perlembagaan dan bukannya bahasa Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Resolusi Kongres, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling ketika membentangkan resolusi tersebut berkata, kongres juga menggesa semua kementerian, agensi kerajaan dan pihak swasta segera menubuhkan jawatankuasa pemantau bagi mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini.

Sebanyak lapan ketetapan diputuskan iaitu;

l Sistem pendidikan - Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelajaran hendaklah bertegas iaitu dengan berlandaskan Perlembagaan serta akta berkaitan menegakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam semua urusan rasmi. Sebarang dasar yang melanggar undang-undang seperti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) hendaklah dilarang.

l Kerajaan Tempatan - Kerajaan negeri dikehendaki menyeragamkan peruntukan undang-undang berkaitan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan nama jalan, bangunan dan iklan menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu dan begitu juga urusan meluluskan permit dan lesen hendaklah selaras dengan kedudukan bahasa kebangsaan.

l Ekonomi dan kewangan - Kerajaan melalui Kementerian Kewangan dan Bank Negara hendaklah melaksanakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam semua urusan ekonomi dan perniagaan serta menjadikan bahasa itu sebagai penggerak utama sistem ekonomi negara.

l Pengajian tinggi - Kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi hendaklah melaksanakan sepenuhnya sistem pendidikan kebangsaan dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pada semua tahap pendidikan selain berusaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam semua bidang keilmuan.

l Perkhidmatan awam - Kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hendaklah sentiasa memperkasakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam semua tadbiran negara dan menjadikan JPA sebagai pelindung bahasa kebangsaan.

l Media, komunikasi dan penyiaran - Kerajaan melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan hendaklah sentiasa menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam penyiaran berita dan pengucapan pemimpin negara sebagai kaedah penyampaian maklumat kepada seluruh rakyat.

l Perlembagaan - Kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri hendaklah sentiasa memastikan penghakiman dan penulisan penghakiman di semua tahap mahkamah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan demi menegakkan keadilan berasaskan undang-undang.

l Pemasyarakatan Persuratan Melayu : Kerajaan melalui pelbagai kementerian dan jabatan hendaklah sentiasa berusaha memperbanyakkan penerbitan dalam bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam semua bidang ilmu.

Sementara itu, Pengerusi Kongres, Profesor Datuk Dr. Abdul Latif Abu Bakar dalam ucapan penangguhan meminta semua pihak khususnya golongan pemimpin supaya menjadi peneraju utama dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Full content generated by Get Full RSS.

Sistem pengesan jual beli asid

Posted:

Sistem pengesan jual beli asid

Sistem pengesan jual beli asid

Oleh NORHIDAYUMOHD. HASSAN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan satu sistem pengesan bagi proses jual beli barangan berbahaya seperti asid dan bahan beracun dengan merekodkan data peribadi pembeli.

Naib Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, dengan adanya sistem tersebut pihak polis boleh mengesan penjenayah dengan lebih mudah dan cepat.

"Banyak negara sudah menggunakan sistem pengesan ini seperti di Eropah dan Amerika Syarikat.

"Dengan sistem ini, pembeli perlu daftarkan nama, menyatakan sebab pembelian atau kegunaan membeli barangan berbahaya seperti asid, bahan beracun serta cuka getah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas cadangan Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Khairun Aseh supaya kerajaan memperketatkan prosedur jual beli asid terutama cuka getah bagi mengelakkan jenayah simbah asid daripada terus berlaku.

Menurut Lam Thye, kerajaan harus mempertimbangkan cadangan-cadangan yang diberikan oleh mana-mana pihak agar jenayah itu dapat dielakkan.

"Cadangan atau saranan yang baik perlu dikaji dan dipertimbangkan. Mungkin cadangan yang diberikan adalah jalan terbaik untuk menangani jenayah ini," katanya.

Lam Thye berharap dengan wujudnya sistem yang dicadangkan itu, ia mampu menyelamatkan ramai orang awam daripada menjadi mangsa simbahan asid.

"Kita bimbang ia memberi kesan jangka panjang buat mangsa tidak kira dari segi mental mahupun fizikal. Paling membimbangkan, mangsa simbahan asid akan trauma untuk berhadapan dengan dunia luar," katanya lagi.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, draf undang-undang berkaitan kawalan penggunaan asid sudah disiapkan dan kini dalam peringkat semakan terakhir oleh Pejabat Peguam Negara.

Menurut beliau, undang-undang baru itu bakal mensyaratkan pengguna asid perlu mendapatkan lesen bertujuan memudahkan kawalan terhadap pengedaran bahan itu.

"Sebenarnya kawalan yang lebih ketat untuk penggunaan bahan itu telah dibincang dalam proses penggubalan Akta Baru Farmasi. Ia bagi mewujudkan undang-undang dan peraturan kawalan yang lebih ketat terhadap penggunaan bahan itu.

"Kita berharap ia akan sedia untuk dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Rosnah berkata, hukuman juga akan dipertingkatkan dengan denda sehingga RM100,000 dan atau penjara sehingga empat tahun ke atas mereka yang menyalahi akta tersebut.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan