Utusan Online - Selatan |
- Kembara rimba didik kehidupan
- 200 ahli keluarga keturunan diraja Riau bertemu
- Jenayah babitkan belia turun 67%
Posted: Kembara rimba didik kehidupanOleh MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM TIDAK pernah menyangka bahawa jeti usang yang dibuat daripada kayu hanyut ini telah menerima kunjungan lebih sepuluh negara asing bagi melihat keunikan Taman Lokan. ALOR GAJAH 24 Okt. - Deruan angin sepoi-sepoi bahasa, kicau burung yang mempersona dan teriakan unggas hutan cukup mendamaikan. Ia pasti memberikan ketenangan kepada sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke dunia rimba. Selain dihiburkan alunan irama rimba, mata juga dihidangkan dengan keunikan dan kecantikan flora dan fauna. Jika bernasib baik, akan muncul kelibat hidupan yang belum pernah dilihat dan akan menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang hayat. Seperti kata bijaksana, pengalaman adalah guru yang terbaik. Justeru, manusia perlu melalui pengalaman itu bagi memahami sesuatu perkara dengan lebih mendalam. Atas dasar itu memberikan ilham kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Ramuan China Besar (SKRCB), Masjid Tanah, Pouziah Ghani, untuk membawa seramai 50 muridnya meredah hutan belukar dan merentasi ladang kelapa sawit di Kampung Solok Paya Lebar, di sini, baru-baru ini. Tujuannya hanyalah satu iaitu mahu mendidik anak muridnya mengenal erti kehidupan yang bukan sahaja berkisar tentang manusia malah meliputi hidupan flora, fauna dan masyarakat setempat. "Aktiviti ini merupakan salah satu daripada proses pembelajaran yang bermatlamat mendidik murid mengenai erti kehidupan sebenar selain menerapkan sikap cintakan alam sekitar," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini. Menurutnya, sepanjang program berjalan, murid didedahkan dengan kehidupan hutan seperti mengenali jenis pokok, haiwan dan serangga serta jenis-jenis hidupan sungai sama ada yang boleh dimakan dan beracun. Katanya, program yang julung kalinya diadakan itu turut dibantu 10 guru pengiring dan penduduk setempat yang juga merupakan pengusaha Taman Lokan, Zainal Md. Ali. Beliau berkata, program yang bermula seawal pukul 7.30 pagi itu bermula dengan sesi taklimat keselamatan di SKRCB sebelum bertolak ke ladang kelapa sawit di Kampung Solok Paya Lebar. Peserta ekspedisi kemudiannya berjalan kaki kira-kira sejauh 200 meter meredah hutan belukar di kampung berkenaan sebelum tiba di pesisir Sungai Linggi-Rembau dan seterusnya ke Taman Lokan untuk sesi taklimat kali kedua dan aktiviti gotong-royong. Pouziah berkata, sepanjang perjalanan, jelas tergambar keseronokan di wajah muridnya yang ada di antara mereka pertama kali didedahkan pengalaman seumpama ini. "Tidak lekang daripada mulut peserta mengajukan pelbagai soalan mengenai hidupan hutan dan tidak kurang juga yang mengambil kesempatan bergambar dan ada juga yang mencatatkan butir-butir penting dalam buku nota," katanya. Menurutnya, program berkenaan bertujuan mengisi masa lapang murid tahun enam dengan aktiviti berfaedah selepas menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini. Katanya, warga SKRCB berpuas hati dan berbangga apabila berjaya menganjurkan program sedemikian yang merupakan salah satu daripada proses pembelajaran di luar bilik darjah. "Murid bukan sahaja dapat melihat dan mendengar tetapi merasa sendiri melalui sentuhan yang akan memberikan mereka pengalaman baru dan berguna," katanya. Dalam program ini, murid diberikan peluang untuk memasuki ke dalam lumpur di tebing sungai Rembau-Linggi untuk mencari lokan iaitu sejenis spesies yang tergolong dalam kumpulan kepah dan kupang. Keseronokan tergambar di wajah murid apabila kesemua hasil tangkapan itu dibakar bersama udang galah dan ikan yang diberikan oleh nelayan setempat untuk dijadikan juadah makan tengahari sebelum berangkat pulang ke SKRCB kira-kira jam 2 petang. Full content generated by Get Full RSS. |
200 ahli keluarga keturunan diraja Riau bertemu Posted: 200 ahli keluarga keturunan diraja Riau bertemuPERHIMPUNAN keluarga Parimbunis di Merlimau Jasin Melaka, baru-baru ini. JASIN 24 Okt. - Kira-kira 200 ahli keluarga daripada keturunan diraja Riau, Raja Ali dan Raja Chik berkumpul sempena perhimpunan dwitahunan keempat generasi itu baru-baru ini. Penasihat Persatuan Keturunan Raja Ali dan Raja Chik (Parimbunis), Kassim Ahmad, 80, berkata, semua ahli keluarga yang berkumpul pada hari ini terdiri daripada kalangan generasi keempat sehingga ketujuh yang merupakan cicit dan oneng kepada Raja Ali dan Raja Chik. Menurutnya, perhimpunan dinamakan Parimbus Rimbunan Kasih 4 itu merupakan kali keempat diadakan setiap dua tahun bermula Disember 2002. "Matlamat utama perhimpunan diadakan adalah untuk merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli keluarga Parambunis daripada anak, menantu, cucu, cicit, piut, buyut, dan oneng. "Keseluruhan ahli keluarga Parambunis dianggarkan seramai 2,270 orang yang berada di seluruh negara termasuk di Riau Indonesia," katanya di sini baru-baru ini. Katanya, selain menjamu selera dengan pelbagai hidangan, pelbagai aktiviti turut diadakan seperti pertandingan menunjukkan bakat menyanyi selain perbincangan mengadakan program lain seperti ibadah korban. Anak saudara Kasim, Amir Abdul Majid yang mencetuskan idea perhimpunan Parimbus Rimbunan Kasih itu sembilan tahun lalu berkata, perhimpunan itu memberi banyak manfaat kepada keluarga dan warisan pada masa hadapan "Namun, usaha ini bukanlah sesuatu yang mudah tetapi kita akan berusaha mengumpul lebih ramai keturunan Raja Ali dan Raja Chik pada tahun hadapan setelah genap 10 tahun perhimpunan ini," katanya. |
Jenayah babitkan belia turun 67% Posted: Jenayah babitkan belia turun 67%Oleh MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM HASAN Rahman (tengah) dan Chuah Ghee Lye (dua dari kanan) bersama wakil pertubuhan belia, Jabatan Belia dan Sukan negeri dan Kementerian Dalam Negeri ketika melancarkan Skuad Sukarelawan Rakan Muda Antijenayah di Cheng, Melaka, kelmarin. MELAKA 24 Okt. - Kadar jenayah melibatkan golongan belia di negeri ini mencatatkan penurunan sebanyak 67 peratus daripada 1,420 kes yang direkodkan pada tahun lalu berbanding 948 kes tahun ini. Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, kejayaan itu dicapai hasil daripada kempen cegah jenayah yang dijalankan secara berterusan selain penglibatan masyarakat dalam membantu polis membendung kegiatan itu di negeri ini. "Masyarakat memainkan peranan penting sebagai mata dan telinga polis dalam menyalurkan maklumat berkaitan jenayah sehingga membawa kepada penangkapan suspek terlibat," katanya pada majlis pelancaran Program Skuad Sukarelawan Rakan Muda Antijenayah di Cheng, semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman menyempurnakan majlis tersebut. Ghee Lye berkata, antara jenis jenayah yang dikesan dilakukan golongan belia berusia 15 hingga 40 tahun adalah mencuri motosikal, komputer riba dan curi kecil-kecilan sama ada di sekolah atau di institusi pengajian tinggi (IPT). Justeru katanya, golongan belia disaran untuk melibatkan diri dengan aktiviti sukarela seperti menjadi ahli Rakan Cop, Sukarelawan Rakan Muda Antijenayah atau menyertai mana-mana pertubuhan yang mampu mendidik mengenai aspek pencegahan jenayah. Melalui penglibatan belia katanya, usaha membendung kegiatan jenayah dapat dilakukan secara bersama dan bersepadu yang dilihat akan memberikan hasil yang lebih berkesan. "Golongan remaja dan belia ini akan menyalurkan maklumat berkaitan pencegahan jenayah kepada rakan mereka yang secara tidak langsung dapat menghalang jenayah daripada berlaku selain menjadi mata dan telinga polis," katanya. Beliau berkata, dengan wujudnya jalinan kerjasama antara masyarakat, belia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak polis, usaha mengekang kejadian jenayah akan menjadi lebih mudah dan berkesan. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan