Utusan Online - Kota |
- Penduduk minta MPAJ bertindak
- Mahkamah Syariah KL di bangunan baru
- Pesara tentera, polis diberi keutamaan
Posted: Penduduk minta MPAJ bertindakOleh SITI AISHAH YUSOFF TERENCE Ee (gambar kecil) mendesak MPAJ membersihkan segera sisa binaan yang dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab di kawasan lapang di Pandan Perdana, Ampang. - utusan/Wahidin Salim AMPANG 26 Okt. - Lambakan sisa binaan yang memburukkan kawasan lapang di Jalan Pandan Perdana 6/2, Taman Pandan Perdana di sini menimbulkan tanda tanya kepada penduduk sekitar - apakah tiada pihak bertanggungjawab yang sepatutnya membersihkannya? Keadaan yang telah berlarutan beberapa lama dan sampah yang semakin menimbun kerana ada pihak yang tidak bertanggungjawab melonggokkan sisa binaan di situ menyebabkan penduduk di situ hilang kepercayaan terhadap pihak berkenaan. Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Pandan Glades, Terence Ee berkata, masalah ini sepatutnya diselesaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai iaitu Janice Lee dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ). "Sepatutnya, mereka tidak membiarkan kawasan lapang ini dipenuhi sampah-sarap dan juga lalang yang semakin panjang yang mencacatkan pemandangan. "Masing-masing tidak mahu peduli dan mengambil langkah penyelesaian. Penduduk yang menjadi mangsa," katanya. Terence berkata, penduduk turut tidak berpuas hati dengan tindakan Janice yang mengarahkan penduduk untuk melakukan gotong-royong membersihkan kawasan itu. "Pada 16 Oktober lalu, satu aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan itu telah diadakan. "Tetapi kami tidak turut serta kerana sepatutnya tugas membersih adalah di bawah tanggungjawab kontraktor yang telah ditugaskan oleh MPAJ," katanya. Tambah beliau, mereka pernah membuat beberapa aduan kepada MPAJ, tetapi tindakan itu tidak dilayan dan dia mendakwa MPAJ tidak mahu masuk campur dalam masalah itu. Katanya lagi, terdapat beberapa lubang sedalam tiga kaki hasil daripada projek pembinaan di kawasan itu sebelum ini telah dipenuhi sampah dan air. Katanya lagi, terdapat dua kes demam denggi yang berlaku pada bulan ini melibatkan penduduk setempat. Full content generated by Get Full RSS. |
Mahkamah Syariah KL di bangunan baru Posted: Mahkamah Syariah KL di bangunan baruKOMPLEKS Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di Jalan Duta turut dilengkapi ruang awam yang terdiri daripada kafeteria, taska, galeri, perpustakaan dan kedai runcit. KUALA LUMPUR 26 Okt. – Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) Kuala Lumpur yang bernilai RM96 juta mula beroperasi di bangunan baru di No. 71, Jalan Hartamas 1, Taman Sri Hartamas di sini, kelmarin. Kompleks tersebut merupakan bangunan mahkamah syariah terbesar dan termahal di negara ini dengan keluasan 37,487 kilometer persegi. Bangunan setinggi enam tingkat itu memuatkan 16 buah bilik bicara termasuk sebuah Mahkamah Rayuan, empat Mahkamah Tinggi dan 11 Mahkamah Rendah. Antara infrastruktur lain yang disediakan adalah 11 buah bilik sulh (mediasi), empat bilik mesyuarat utama, bilik pentauliahan, bilik latihan komputer, bilik perbincangan peguam dan pendakwa raya, dewan seminar dan dewan makan dengan kapasiti 200 orang. Ruang meletakkan kenderaan di bahagian hadapan bangunan tersebut pula dapat memuatkan kira-kira 160 buah kenderaan pada satu-satu masa. Turut dibina adalah ruang awam yang terdiri daripada kafeteria, taska, galeri, perpustakaan, kedai runcit dan bilik-bilik pesuruhjaya sumpah. Penolong Pengarah Seksyen Khidmat Pengurusan dan Sumber Manusia MSWP, Md. Hasrul Faiz Borhanudin berkata, kompleks itu turut dilengkapi sebuah pejabat polis dengan 36 buah lokap dan pejabat pengawal serta sebuah bilik kawalan kamera litar tertutup (CCTV). Kompleks itu yang merupakan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) mula dibina pada 10 April 2006 dan siap pada 31 Mei lalu sebelum diserahkan kepada MSWP pada 29 Julai lalu. |
Pesara tentera, polis diberi keutamaan Posted: Pesara tentera, polis diberi keutamaanOleh MUHAMMAD AZRUL RADI Seorang ahli PVTM bertanya sesuatu pada Majlis Dialog PVTM dengan DBKL di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur baru-baru ini. KUALA LUMPUR 26 Okt. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah bersetuju untuk memberi keutamaan buat pesara tentera dan polis untuk memiliki tapak perniagaan serta rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR). Keputusan tersebut dicapai hasil sesi dialog anjuran Persatuan Veteran Tentera Malaysia (PVTM) yang meminta DBKL mempertimbangkan permohonan mereka untuk memiliki tapak perniagaan serta unit rumah PPR. Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio-Ekonomi DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz berkata, DBKL akan memudahkan proses bagi pesara tentera dan polis untuk mendapatkan lesen perniagaan. "Premis perniagaan kosong sudah sedia ada, mereka hanya perlu memohon lesen perniagaan kepada DBKL dan kami akan bantu dari segi pengesahan lesen. Harga sewaan premis serendah RM150 sebulan juga dapat mengurangkan beban mereka dari segi kos untuk berniaga," katanya. Bagaimanapun, kata Mhd. Amin, tapak tanah yang diminta untuk menempatkan ruang perniagaan khusus buat pesara tentera dan polis harus diperiksa statusnya terlebih dahulu. "Periksa dahulu status tanah tersebut untuk memastikan ia bukan tanah milik kerajaan sebelum diusulkan kepada DBKL untuk dimajukan," tambahnya. Jelasnya lagi, pesara tentera dan polis juga diberi keutamaan untuk memiliki rumah PPR, tetapi mereka juga harus mengikut syarat-syarat yang diperuntukkan untuk memiliki rumah tersebut. Sementara itu, Presiden PVTM, Mohd. Ali Baharom melahirkan rasa lega bagi pihak ahli persatuan di atas penjelasan yang diberikan oleh DBKL. "Apa yang dinyatakan itu sangat jelas serta mampu membuka ruang buat pesara tentera memulakan perniagaan," katanya. Justeru, Mohd. Ali menyeru semua pesara tentera untuk menyertai PVTM dan menjadikan PVTM sebagai platform untuk mereka mencari jalan penyelesaian. Setiausaha UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Mokhtar Samad yang turut hadir mengucapkan syabas dan tahniah di atas sesi dialog tersebut. "Ini adalah satu usaha murni PVTM untuk membela pesara-pesara yang pernah berjuang demi keamanan negara," ujarnya. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan