Sabtu, 29 Oktober 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Yingluck antara banjir dan politik

Posted:

Yingluck antara banjir dan politik

Yingluck antara banjir dan politik

Ku Seman Ku Hussain


Banjir besar yang melanda Thailand membantutkan YingLuck memulihkan ekonomi dan politik.


Perdana Menteri Thailand, Yingluck Sinawatra kini berada di antara dua cabaran. Pertama, banjir luar biasa yang melanda beberapa bahagian negara itu termasuk kota metropolitan Bangkok. Keduanya, gelombang politik yang terus mengancam kedudukannya apabila dikaitkan bekas Perdana Menteri dalam buangan, Thaksin Sinawatra. Banjir besar menjadi penghalang utama untuk Yingluck menunaikan janji memulihkan kemelut ekonomi Thailand kepada rakyat.

Krisis banjir menjadi penanda aras kemampuan Yingluck, wanita berusia 44 tahun yang menduduki kerusi Perdana Menteri Ogos lalu. Dua bulan selepas detik gembira membawa parti "baju merah" memenangi pilihan raya, Yingluck diuji dengan bencana banjir. Dia tidak sempat "berbulan madu" apabila banjir mengubah banyak perkara termasuk pelan pemulihan ekonomi dan politiknya. Banjir menuntut tindakan segera, sistematik dan kelicinan penyelarasan antara agensi kerajaan. Dalam mendepani permainan politik di sebalik bencana alam, kekuatan Yingluck sebagai komandan akan diuji. Pada masa yang sama Yingluck didesak menunaikan janji politiknya untuk menaikkan kadar gaji terendah, menyiapkan landasan keretapi laju, memberi komputer tablet percuma kepada pelajar sekolah rendah dan menambahbaikan program kebajikan dan kesihatan kepada rakyat.

Penyelewengan

Harapan rakyat kepada Yingluck terlalu tinggi. Mereka bukan sahaja menanti dasar-dasar popular yang tidak menjejaskan ekonomi malah ketelusan. Yingluck tidak seharusnya menjadi Thaksin yang penuh dengan penyelewengan, skandal, kepentingan peribadi dan sekatan kepada kebebasan media.

Tetapi banjir memaksa Yingluck menangguhkan dasar-dasar bersifat popular kepada rakyat terutama penyokongnya dari parti Thai Rak Thai (TRT). Menangani bencana menuntut tumpuan, terpaksa turun padang dan pada masa yang sama menjadi penyelaras yang bijak antara agensi kerajaan. Ini meletakkan Yingluck dalam tekanan antara langkah-langkah pemulihan ekonomi, merangka strategi untuk menangani pembangkang dari parti "baju kuning", People Alliance for Democracy (PAD) kerana terpaksa memberi tumpuan kepada banjir.

Yingluck sukar mengikis bayangan abangnya, Thaksin sama ada segi kewangan atau strategi dalam kerjaya politiknya. Ini kerana TRT mendapat dana daripada Thaksin yang pernah memiliki syarikat telekomunikasi Shin Corp kemudiannya menjualnya kepada Temasek (Singapura). Kekayaan Thaksin yang luar biasa menjadi faktor kemenangan Yingluck dan TRT pada pilihan raya lalu.

Banjir besar bukanlah fenomena biasa terutama di utara Bangkok yang menjadi jelapang padi Thailand. Wilayah ini juga menempatkan kawasan perindustrian yang dibangunkan oleh syarikat multinasional lebih sedekad lalu sekaligus penyumbang kepada ekonomi Thailand. Sebelum ini banjir besar melanda Bangkok berlaku pada 1942, 1983 dan terbaru sebelum ini pada 1995. Tetapi kali ini yang terbesar akibat limpahan dari sungai Chao Phraya yang menjejaskan kawasan pertanian lebih luas di sekitarnya. Bermula akhir Julai lalu hingga tiga bulan berikutnya, bencana ini mengorbankan 307 nyawa, menjejaskan kehidupan 2.3 juta orang dan mengakibatkan kerosakan harta benda dianggarkan AS$5.1 bilion.

Limpahan sungai Chao Phraya menenggelamkan kawasan enam juta hektar termasuk 300,000 hektar kawasan pertanian dalam 58 wilayah bermula Chiang Mai hingga ke utara dan sebahagian Bangkok. Bencana banjir terburuk dalam sejarah Thailand ini dianggap hamparan permaidani merah dan ucapan "selamat datang" kepada Yingluck.

Persediaan

Tetapi dia kurang pengalaman dan persediaan. Buktinya pelan tindakan kecemasan kerajaan sangat lemah dan tidak ada penyelarasan yang cekap untuk melicinkan tugas. Arahan yang dikeluarkan oleh beberapa agensi kerajaan bertentangan antara satu dengan lain. Malah keutamaan yang diberikan oleh Gabenor Bangkok, Sukhumbhand Paribatra bertentangan dengan Yingluck. Persoalannya apakah ini disebabkan kelemahan Yingluck sebagai komandan atau wujud permainan politik pembangkang di sebalik bencana untuk mengikis keyakinan rakyat?

Dalam keadaan sekarang Yingluck tidak boleh meminggirkan tumpuannya terhadap banjir. Pada masa yang sama rakyat menuntut disegerakan pelan pemulihan ekonomi akibat krisis yang melanda Asia pada 1997. Penyokong-penyokongnya sebahagian besar terdiri daripada kaum pekerja dan petani dari bahagian tengah Thailand hingga kota metropolitan Bangkok. Malah banyak pekerja asing yang berkerja di wilayah ini menyokong Yingluck. Ini berbeza dengan parti PAD yang mendapat sokongan besar daripada kalangan bangsawan dan elitis.

Krisis ekonomi 1997 memberikan kesan yang sangat besar kepada rakyat apabila kerajaan Demokrat gagal menangani dengan bijak. Malah membuat kesilapan besar mengikut nasihat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia. Ini memberi peluang kepada TRT pimpinan Thaksin tampil dengan kerangka pemulihan ekonomi yang menyelamatkan negara dari neokolonialisme ekonomi Barat. Hasilnya TRT berjaya mencatat sejarah dalam politik Thailand menguasai dua pilihan raya berturut-turut pada 2001 dan 2005.

Tetapi TRT diterajui Yingluck masih belum teruji, apa lagi mendepani dua ujian sekaligus. Saki baki PAD dalam kerajaan menjadi penghalang kepada perlaksanaan pelan pemulihan ekonomi. Malah kegagalan menangani krisis banjir juga dilihat sebagai satu tindak balas politik pembangkang yang terdiri daripada kalangan pro istana dan kelas pertengahan. Rakyat akan melihat pendekatan menangani krisis banjir sebagai satu penanda aras kemampuan Yingluck.

Maka timbul persoalan adakah banjir besar ini akan turut menghanyutkan Yingluck sebelum sempat menyelesaikan penggal pertamanya? Perlu diingat, kebangkitan rakyat yang berdarah antara "baju merah" dan "baju kuning" hingga melumpuhkan Bangkok sama hebatnya dengan banjir kali ini. Kebangkitan ini boleh berlaku pada bila-bila masa apa lagi mereka menumpang semangat kebangkitan di dunia Arab yang semuanya membawa kejayaan.

Full content generated by Get Full RSS.

Perkasa dan Rahim

Posted:

Perkasa dan Rahim

Perkasa dan Rahim

Majlis perasmian Persidangan Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di ibu negara, baru-baru ini meninggalkan kesan yang bukan sedikit.

Hampir 7,000 perwakilan dan pemerhati hadir sehingga melimpah ke luar dewan.

Di sebalik Perkasa menerima banyak tekanan dan asakan, ternyata sokongan kepada pertubuhan tersebut terus meningkat termasuk dari kalangan orang muda.

Awang turut hadir ke majlis perasmian Perkasa bagi memenuhi jemputan sebagai pemerhati. Memang terasa getarannya, sorakan daripada perwakilan dan para hadiri silih bergema.

Seperti biasa ucapan Presiden, Ibrahim Ali menjadi tumpuan. Kandungan ucapannya menarik, segar dan dikupas secara ilmiah dengan mencakupi persoalan agama dan bangsa dalam konteks kesejahteraan untuk semua kaum. Memang tepat dengan tajuk ucapannya, Perkasa Pemangkin Perpaduan, yang harus diamati oleh musuh-musuh Perkasa jika mahu berlaku adil kepada pertubuhan itu.

Antara penekanan yang mendapat sorakan besar daripada perwakilan apabila Ibrahim mengulangi tekad Perkasa untuk mempertahankan perlembagaan dan asas kenegaraan.

Selain itu, pendirian Perkasa untuk terus menyokong kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Najib Tun Razak adalah mesej yang jelas kepada semua bahawa pertubuhan itu bukan ancaman.

Awang angkat topi kepada Ibrahim. Sama ada suka atau tidak untuk diakui, hakikatnya beliaulah yang banyak mencorakkan kejayaan Perkasa.

Dari sebuah pertubuhan yang pada awalnya tidak banyak diberi harapan, kini Perkasa terus melangkah gagah. ''Hanya yang cekal dan berani sahaja dapat membina mercu perjuangan penuh mencabar,'' kata Ibrahim. Awang setuju.

Majlis perasmian Persidangan Agung Perkasa ke-2 menyaksikan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor diberi anugerah tertinggi Perkasa.

Anugerah itu diberikan atas sumbangan besar beliau kepada negara terutama aspek keselamatan negara. Rahim merupakan tokoh ketiga menerima anugerah tersebut selepas mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tun Ibrahim Ismail.

Rahim turut diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan perasmian persidangan.

Beliau memberikan perspektif menarik tentang cabaran keselamatan negara dengan berlatar belakang sejarah ancaman pengganas komunis yang ada hubungan kait ketika itu dengan gelombang aliran fahaman marxisme dunia.

Rupa-rupanya banyak yang boleh digali daripada bekas Ketua Cawangan Khas Polis ini untuk mendalami realiti. Ini termasuk sebahagian daripada aktivis Melayu berhaluan haluan kiri yang menjadi musang berbulu ayam. Matlamat ulung mereka adalah untuk menjadikan Malaysia negara republik. Ada yang berselindung atas imej agama dan nasionalis. (Persoalan marxisme dan komunisme turut melanda Indonesia. Antara buku yang boleh dijadikan rujukan ialah Siapa Menabur Angin Akan Menuai Badai tulisan Soegiarso Soeroyo. Ia turut memaparkan sebahagian dari fail sulit unit perisikan yang belum pernah terdedah.)

Alangkah baiknya jika Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dapat mengikuti ucapan Rahim untuk memahami realiti sebenar sebelum menjulang Mat Indera, salah seorang pengganas komunis sebagai wira.

Tetapi Awang lebih tersentuh dengan seruan Rahim agar Melayu kembali bersatu sebagaimana yang dibuktikan ketika menentang Malayan Union dan menolak ideologi komunis.

Katanya, orang Melayu ketika itu miskin dari segi ideologi, ilmu pengetahuan apatah lagi ekonomi. Namun tiga perkara yang orang Melayu 'kaya' iaitu ketaatan kepada raja-raja Melayu, agama dan perpaduan. Kekayaan itulah yang menyebabkan ancaman dan krisis pada era berkenaan mampu ditangani. Persoalannya mampukah Melayu kembali kepada tiga kekayaan tersebut terutama melibatkan perpaduan pada era gelombang lain iaitu hak asasi manusia? Sedangkan ancaman untuk menjadikan Malaysia republik - sama ada disedari atau tidak - makin mengasak kita. Awang tiada jawapan.

BISIK-BISIK MINGGUAN AWANG SELAMAT

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan