Isnin, 31 Oktober 2011

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Keropok Ghani Black jadi sebutan

Posted:

Keropok Ghani Black jadi sebutan

Keropok Ghani Black jadi sebutan

Oleh NOREHAN SALEH
utusanpahang@utusan.com.my


proses mengisar isi ikan dilakukan dengan mesin bagi mempercepatkan penghasilan keropok lekor.


KUANTAN 31 Okt. – Kesulitan hidup sebagai nelayan membuatkan Mat Roni Mamat nekad mencari sumber pendapatan lain bagi membolehkan beliau sekeluarga dapat hidup lebih selesa.

Dengan kemahiran asas membuat keropok lekor yang diwarisi sejak turun-temurun, Mat Roni, 53, membulatkan tekad untuk menceburi perusahaan tersebut yang dilihatnya mempunyai potensi untuk menjamin masa depan keluarganya.

Ternyata, keputusan sedekad lalu untuk membuka perniagaan berhampiran Pasar Peramu di sini membuahkan hasil seperti yang diharapkan bagi membolehkan beliau menyara 10 anak hasil perkahwinan dengan Samsiah Mohd. Zain, 50.

Perusahaan kecil yang diberi nama "Keropok Lekor Ghani Black" itu kini terus menjadi perhatian penduduk setempat dan juga pelancong.

Malah keropok lekor yang dihasilkannya turut mendapat permintaan tinggi di kalangan peniaga keropok goreng tempatan.

"Dahulu ketika menjadi nelayan, kami sentiasa kesempitan wang malah saya bersama empat anak sering diancam bahaya ketika di laut.

"Sedar tentang bahaya tersebut, saya kemudian merancang membuka kilang kecil untuk menjual keropok lekor 10 tahun lalu.

"Sebagai permulaan saya menjual dua enjin bot saya yang bernilai lebih RM100,000 dan membuka sebuah kilang keropok lekor," katanya ketika mengungkap kisah lalu.

Menurut beliau, hasil wang jualan itu digunakan untuk membeli mesin membuat keropok lekor dan kini bertambah kepada 15 buah.

"Selain itu, saya juga membeli kotak ais untuk menyimpan ikan yang dihancurkan supaya tahan lebih lama," katanya.

Mat Roni yang dikenali sebagai Ghani Black di kalangan penduduk setempat berkata, beliau mendapat bekalan ikan di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini dalam jumlah satu tan setiap dua hari.

Dalam pada itu, isteri Mat Roni, Samsiah berkata, penggunaan ikan yang banyak dalam keropok lekornya menjadi 'rahsia' ia mendapat sambutan ramai.

"Saya belajar membuat keropok ini daripada keluarga mertua saya di Terengganu yang juga menjalankan perniagaan sama.

"Kini saya mempunyai 15 pekerja termasuk anak, menantu dan penduduk kampung dalam membantu mengusahakan perniagaan keropok lekor ini," jelasnya.

Samsiah berkata, keropok lekornya turut mendapat permintaan tinggi dari peniaga di Kuala Lumpur, Melaka, Johor, Sabah, Sarawak dan Singapura.

"Setiap hari anggaran pelanggan tetap saya yang terdiri daripada peniaga keropok goreng di sekitar bandar ini adalah kira-kira 40 orang," katanya.

Selain menjual keropok lekor, perniagaan yang beroperasi dari 10 pagi sehingga 7 malam itu turut menjual keropok goreng dan keropok kering.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan bekalan keropok Ghani Black boleh menghubungi talian 014-8436769.

Full content generated by Get Full RSS.

Keropok lekor penuhi cita rasa

Posted:

Keropok lekor penuhi cita rasa

Keropok lekor penuhi cita rasa


Azlan Abdul Hamid (kanan) mengakui keenakan keropok lekor Ghani Black memenuhi citarasanya.


KUANTAN 31 Okt. - Populariti keropok lekor sehingga ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak menyebabkan perusahaan menghasilkan makanan tradisonal itu bukan lagi terhad di negeri Terengganu sahaja.

Walaupun demikian, bagi penggemar tegar makanan berkenaan, keropok lekor yang dihasilkan di negeri lain dianggap tidak dapat menandingi keenakan keropok dihasilkan di negeri itu terutamanya Kuala Terengganu.

Namun, pandangan sedemikian sebenarnya tidak tepat kerana keropok lekor yang dihasilkan di daerah ini juga sebenarnya cukup enak dan mampu menambat penggemarnya.

Malah ada juga yang berpendapat keropok lekor di daerah ini seperti yang dijual di gerai Mat Roni bukan sahaja mampu menandingi keluaran Terengganu malah lebih sedap.

Bagi pelanggan Mat Roni, Ahmad Tarmizi Yunan, 49, berkata, dia kerap membeli keropok lekor Ghani Black untuk dimakan bersama keluarga.

"Selain itu, saya juga membelinya untuk diberikan sebagai buah tangan kepada saudara mara dari jauh yang berkunjung ke sini.

"Keluarga saya cukup sukakan keropok tersebut. Tak perlu pergi jauh-jauh sampai Kuala Terengganu," kata kerani di sebuah syarikat swasta di sini.

Bagi Azlan Abdul Halim, 35, dia sering membeli keropok lekor Ghani Black kerana rasanya yang enak terutama jika dimakan panas-panas.

"Saya kerap membelinya kerana keropok itu berbeza dengan yang lain apabila ia mempunyai banyak ikan dan rasanya juga rangup," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Manfaatkan kemajuan teknologi

Posted:

Manfaatkan kemajuan teknologi

Manfaatkan kemajuan teknologi

Oleh NOREHAN SALEH
utusanpahang@utusan.com.my


Maznah Mazlan bersama sebahagian peserta Bengkel Pengenalan Laman Sosial dan Kesedaran ICT di Universiti Malaysia Pahang (UMP), baru-baru ini.


KUANTAN 31 Okt. – Seramai 311 ibu tunggal dan anak yatim di negeri ini diberi peluang meningkatkan pengetahuan dalam bidang teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) menerusi penyertaan dalam Bengkel Pengenalan Laman Sosial dan Kesedaran ICT di Universiti Malaysia Pahang (UMP), kelmarin.

Bengkel itu dianjurkan oleh Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Perisian, Persatuan Wanita UMP (Matahari) dengan kerjasama Yayasan Salam Malaysia serta MSC Pahang.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, keperluan teknologi penting dalam usaha melonjakkan taraf ekonomi golongan tersebut sekali gus mengubah cara hidup dan pemikiran ke arah yang lebih baik.

"Program ini selari dengan hasrat kerajaan dalam usaha membantu golongan ibu tunggal dan anak yatim mempelajari penggunaan laman sosial bagi memperolehi maklumat.

"Kemahiran yang diperoleh itu juga membolehkan golongan ibu tunggal memantau aktiviti anak mereka dalam menggunakan laman sosial agar tidak terjerumus dalam aktiviti negatif ketika melayari Internet," katanya ketika menutup bengkel sehari tersebut.

Selain itu, katanya, kaum ibu juga dapat memantau anak mereka supaya tidak terjebak dengan aktiviti penipuan dalam Internet yang kini amat berleluasa sekiranya mereka menguasai ilmu teknologi maklumat.

Maznah berkata, ibu tunggal di negara ini seharusnya mengambil peluang dengan menyertai pelbagai program yang disediakan termasuk mengambil upah bekerja dari rumah.

"Kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan ibu tunggal ini dan saya sendiri berharap kajian menyeluruh terhadap pembangunan ibu tunggal dapat dilaksanakan dari semasa ke semasa," ujarnya.

Seorang peserta, Noraida Mohd. Sulong, 43, berkata, dia akan memanfaatkan bengkel itu untuk berhubung dengan pelanggan dan rakan perniagaan menerusi laman maya.

"Menerusi Internet, perniagaan kek lapis dan produk kecantikan saya berjalan lancar. Jadi program ini lebih membantu saya menguasai Internet," kata ibu kepada enam anak ini.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan