Utusan Online - Selatan |
- Rahsia kejayaan penerima anugerah
- 800 pelajar UiTM terima anugerah Dekan dirai
- 100 penuntut USIM terpilih sertai PTKM
Rahsia kejayaan penerima anugerah Posted: Rahsia kejayaan penerima anugerahOleh AMRAN MULUP Mohd. Saiful Izzat Mat Zahari dan Wong Kok Hong (kiri) bersama skrol dan Pingat Anugerah Pelajaran Diraja masing-masing selepas Majlis Konvokesyen Ke-7 UTeM di Melaka, baru-baru ini. – Bernama MELAKA 25 Okt. – Memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pengajian dan belajar secara berkumpulan membolehkan anak seorang pemandu, Mohd. Saiful Izzat Mat Zahari, 23, dari Kelantan muncul antara dua penerima Anugerah Pelajaran Diraja sempena majlis konvokesyen ke-7 Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) baru-baru ini. Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik itu menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh Canselor UTeM yang juga Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob pada majlis di Dewan Besar Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal di sini. Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, Pro-Canselor UTeM, Tan Sri Datuk Dr. Johari Mat dan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan. Seorang lagi yang menerima anugerah tersebut ialah graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik (Kejuruteraan Komputer), Wong Kok Hong, 25, dari Ipoh Perak. Kedua-dua penerima tersebut adalah antara 1,502 graduan yang menerima ijazah dan diploma masing-masing pada konvokesyen kali ini. "Saya amat gembira apabila menerima anugerah ini. Kejayaan ini didorong oleh minat dan ketekunan sepanjang mengikuti kursus dan persediaan rapi yang dibuat terutama ketika sesi kuliah," kata Mohd. Shaiful yang pernah menerima Anugerah Dekan bagi lima semester. Katanya, anugerah yang diterima itu menjadi pendorong kepadanya apabila mula bertugas sebagai jurutera di Bukit Jalil bulan depan. Terdahulu, Mohd. Khalil dalam ucapan perasmian konvokesyen tersebut berkata, graduan universiti berkenaan perlu mempunyai ciri-ciri seorang jurutera profesional dalam menghadapi dunia pekerjaan yang semakin mencabar. "Saya ingin melihat graduan UTeM menceburi bidang kejuruteraan selepas menamatkan pengajian di sini dan menyumbang untuk pembangunan negara," katanya. Jelasnya, bakal jurutera perlu sentiasa berfikiran kreatif dan inovatif dengan mencipta, mereka bentuk serta mengeluarkan produk- produk yang dapat memperbaiki mutu kehidupan masyarakat serta menjadi kemegahan negara. Full content generated by Get Full RSS. |
800 pelajar UiTM terima anugerah Dekan dirai Posted: 800 pelajar UiTM terima anugerah Dekan diraiDr. Mizan Hitam menyampaikan sijil kepada salah seorang pelajar cemerlang pada Majlis Penganugerahan Dekan anjuran Fakulti Perakaunan UiTM Kampus Bandaraya Melaka, Melaka, baru-baru ini. MELAKA 25 Okt. - Seramai 800 pelajar Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Bandaraya Melaka diraikan pada Majlis Penganugerahan Dekan di sini baru-baru ini. Pelajar yang diraikan ialah daripada Diploma Pentadbiran Awam, Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan, Sarjana Muda Perniagaan, Sarjana Muda Perakaunan dan juga pelajar di peringkat Sarjana. Majlis penyampaian anugerah tersebut telah disempurnakan oleh Rektor UiTM Melaka, Prof. Madya Datuk Dr. Mizan Hitam. Dr. Mizan dalam ucapannya berkata, majlis tersebut dianjurkan bagi mengiktiraf pelajar yang berjaya dari segi pencapaian akademik hingga tamat pengajian di peringkat pengajian kursus masing-masing. ''Mereka ini diiktiraf bagi menghargai usaha tungkus-lumus yang telah mereka lakukan untuk mencapai darjat tertinggi dalam bidang akademik. ''Cukup jelas, pelajar kita memiliki kualiti tersendiri dan amat membanggakan apabila kira-kira 95 peratus daripada graduan mudah dilamar majikan setelah menamatkan pengajian," katanya. Dr. Mizan juga mahu pelajar membantu pihak universiti untuk terus memainkan peranan penting dalam mengubah destini anak bangsa sebagaimana dilakukan sejak 55 tahun penubuhan UiTM. Sehubungan itu, beliau meminta pelajar memberikan tumpuan serius terhadap pembangunan modal insan serta mempertahankan jati diri dari aspek pembangunan minda, sahsiah dan juga etika. Katanya, dengan segala kemudahan yang disediakan termasuk dalam bidang teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) ia wajar dihargai dan dikawal agar pelajar tidak leka, alpa dan terpesong daripada perjuangan sebenar. ''Teruskan usaha untuk meningkatkan kualiti agar modal insan UiTM berdaya saing, berintegriti tinggi dan bertanggungjawab sebagai pewaris dan penerus bangsa," katanya. Tambahnya, graduan juga turut perlu sentiasa berusaha mengharumkan namun universiti itu. Full content generated by Get Full RSS. |
100 penuntut USIM terpilih sertai PTKM Posted: 100 penuntut USIM terpilih sertai PTKMAb. Rahim Md. Noor diiringi Dr. Muhamad Muda (dua dari kiri) ketika hadir pada Majlis Program Transformasi Kepemimpinan Mahasiswa di Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini. SEREMBAN 25 Okt. - Seramai 100 penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terpilih menyertai Program Transformasi Kepemimpinan Mahasiswa (PTKM) dalam usaha melahirkan bakal pemimpin masa depan yang berkaliber. Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Muhamad Muda berkata, aspek transformasi diri yang diutarakan melalui program berilmiah itu dilihat mampu menjadi platform terbaik ke arah memperkasakan pembinaan diri mahasiswa. Menurutnya, PTKM adalah bertepatan dengan matlamat membentuk serta melahirkan graduan holistik dan berdaya tinggi. "USIM bukan sahaja menitikberatkan kemajuan pembangunan universiti semata-mata, bahkan turut menekankan aspek pembinaan jati diri mahasiswa. "Antara bidang utama yang membolehkan mahasiswa mampu membina satu anjakan transformasi diri meliputi bidang sukan, kebudayaan dan kesenian, sukarelawan dan khidmat sosial serta aspek politik dan alam sekitar," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Katanya, antara objektif utama yang ingin direalisasikan melalui program tersebut adalah untuk membuka perspektif peserta terhadap elemen sokongan yang berkaitan dengan kepemimpinan, peluasan pemikiran peserta agar berpandangan jauh ke hadapan. Jelasnya, pendekatan tersebut merupakan sebahagian aktiviti yang dijalankan di bawah program 'Global Islamic Students Outreach' (GISO) yang juga merupakan inisiatif awal pihak universiti untuk membentuk modal insan yang mempunyai kredibiliti. "Sebanyak 14 program di bawah GISO yang telah dijalankan di sembilan negara diyakini menjadi pemangkin kepada pihak universiti dalam menjayakan usaha transformasi di kalangan mahasiswa," katanya. Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Ab. Rahim Md. Noor ketika berucap melancarkan PKTM berkata, program tersebut berupaya membentuk peserta menjadi pemimpin yang hebat. "Proses membina personaliti unggul memerlukan usaha dan komitmen yang besar selain mewujudkan gerak kerja secara kolaboratif bersama pihak luar. Minda dan hati masing-masing perlu dimenangi terlebih dahulu sebelum transformasi berjaya dilakukan," ujarnya. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan