Utusan Online - Utara |
- Mengangkat legasi kraftangan negara
- Teknik asas pembuatan tembikar pengalaman berharga
- Kes dera kanak-kanak menurun
Mengangkat legasi kraftangan negara Posted: Mengangkat legasi kraftangan negaraOleh KHAIRUL ABIDIN NUAR Sebahagian peserta melakukan teknik anyaman asas rotan pada program Pendidikan Kraf Perdana Peringkat Negeri Perak anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perak di Enggor, Kuala Kangsar, baru-baru ini. KUALA KANGSAR 24 Okt. - Tatkala hasil kraftangan tempatan menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa ekoran nilai estetika yang tersendiri, masih ada pihak yang lebih cenderung mengagung-agungkan produk dari luar negara. Keunikan hasil kraftangan anak tempatan yang ternyata halus buatannya wajar dikagumi apatah lagi kepelbagaiannya melangkau pelbagai sempadan negeri. Di Perak misalnya, nama labu Sayong cukup sinonim dengan kegiatan perusahaan seni tembikar tradisional sejak zaman-berzaman. Diperbuat daripada tanah liat yang diuli, ia kemudiannya diterap dengan pelbagai corak sebelum diasap serta dibakar bagi menghasilkan bentuk yang cukup unik. Pada kelazimannya, labu Sayong yang berwarna hitam mudah didapati di bandar ini dan biasanya ia dijadikan sebagai bekas untuk menyimpan air minuman. Corak permukaannya yang menggarapkan motif alam seperti bunga padi, pucuk rebung, bunga cengkih serta perspektif geometri harmoni membangkitkan lagi hiasan luarannya. Di Bumi Kenyalang, 'Pasu Sarawak' terkenal dengan motif hiasannya yang berwarna-warni sementara tembikar mambong pula lebih dikenali dengan warnanya yang kemerah-merahan dan biasa digunakan sebagai perkakas dapur di Kelantan. Bukan sahaja produk tembikar, kekayaan kraftangan tempatan juga terserlah melalui seni tekat emas yang dihasilkan dengan menggayakan sulaman benang ke atas kain baldu. Menyingkap sejarahnya di Perak, seni bermutu tinggi ini pada asalnya dimonopoli golongan bangsawan istana berikutan ia hanya digunakan dalam adat istiadat dan upacara tertentu. Raja Permaisuri Perak pada akhir abad ke-19 dikatakan merupakan pereka bentuk selain banyak menghasilkan reka hiasan tekat suatu masa dahulu. Namun kini, potensi mengangkat seni warisan ini kepada produk komersial yang bermutu tidak sama sekali boleh dinafikan. Menyedari kepentingan meneruskan tradisi ini kepada generasi muda, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perak buat julung kalinya menganjurkan Program Pendidikan Kraf Perdana peringkat negeri di Enggor, Kuala Kangsar baru-baru ini. Pengarahnya, Mohd. Yusof Abd. Rani berkata, program yang antara lain bertujuan memberi kesedaran, pendedahan dan pengetahuan kepada golongan itu disertai oleh kira-kira 300 peserta. Mereka terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri Perak termasuk mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Universiti Teknologi Petronas (UTP) serta Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh. "Kita mahu kumpulan sasar ini mampu menghayati dan mengenali warisan melalui motif-motif seni yang melambangkan identiti tertentu khususnya di negeri Perak," katanya. Melihat kepada senario pada masa kini, beliau berkata, hanya golongan yang berusia 45 tahun ke atas yang benar-benar memahami manifestasi seni yang ditonjolkan melalui kraftangan tempatan. Sebaliknya, kata beliau, golongan lebih muda hanya cenderung memandang kraftangan sebagai hadiah dan cenderamata untuk kenang-kenangan. "Industri kraftangan di Perak berpotensi untuk dibangunkan. Selain Sayong di sini yang terkenal sebagai tempat penghasilan labu Sayong, ia juga ada diusahakan di Parit. "Selain itu, kita juga mempunyai usahawan yang membangunkan kraf berasaskan kayu dan acuan kuih masing-masing di Sitiawan dan Taiping selain anyaman di Jenalik dan batik di sekitar Ipoh," katanya. Tambah beliau, kraftangan Perak juga boleh dijadikan ikon kepada pencetus perkembangan pelancongan negeri melalui Tahun Melawat Perak 2012. Full content generated by Get Full RSS. |
Teknik asas pembuatan tembikar pengalaman berharga Posted: Teknik asas pembuatan tembikar pengalaman berhargaKUALA KANGSAR 24 Okt. - Pertama kali mempelajari teknik asas pembuatan tembikar merupakan pengalaman berharga buat Nurul Haniza Abdul Rahman, 22, yang mengikuti Program Pendidikan Kraf Perdana Peringkat Negeri Perak baru-baru ini. Mahasiswa tahun akhir jurusan Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi Petronas (UTP) itu ternyata tidak kekok untuk mempraktikkan kembali teknik picit cubit yang baru dipelajarinya tidak sampai sehari. "Pembuatannya tidak begitu susah. Hanya bentukkan tanah liat menjadi bebola, kemudian tekan ibu jari ke dalamnya di tapak tangan kiri, seterusnya tekan ia dengan jari lain untuk membentuk dinding pasu. "Selepas itu, picit dengan tangan kanan sambil dipusingkan pasu itu dengan tangan kiri. Akhir sekali, pasu itu diletakkan di atas permukaan rata untuk dileperkan pada bahagian tapak," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Nurul Haniza berkata, penyertaannya dalam program tersebut secara tidak langsung mampu meningkatkan kemahirannya dalam bidang seni memandangkan tiada pembelajaran seumpama itu dapat dipelajari di universiti. "Bagi saya, kalau bukan kita generasi muda yang mempertahankan seni kraftangan negara, siapa lagi yang akan berbuat demikian? "Lagipun, peluang mengikuti program sebegini semuanya percuma," katanya yang turut menyertai Kelab Gamelan UTP sebagai aktiviti sampingannya di universiti. Sementara itu, penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh, Hoo Wai Yee, 21, yang terpilih memenangi hasil kraf terbaik dalam teknik asas batik mengakui berasa teruja dapat menyertai program tersebut. Dia yang pernah mengikuti program sama sewaktu di bangku sekolah, menyifatkan teknik tekap, canting serta mewarna batik memerlukan satu hasil kerja yang teliti. "Namun, bagi saya, ia tidaklah sukar berbanding mewarna lukisan pada poster kerana ia hanya menggunakan cat air," kata Wai Yee yang mengambil mata pelajaran Pendidikan Seni sebagai subjek elektif dalam pengajiannya di IPG. Seorang lagi peserta sekolah rendah, B. Kaviscyna, 12, daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mahatma Gandhi Kalasalai, Sungai Siput turut terpilih memenangi hasil cantingan batik terbaik. "Saya fikir program sebegini harus diadakan pada setiap tahun dan diperluaskan kepada semua pelajar berbilang kaum," katanya sambil menyifatkan seni kraftangan Malaysia cukup unik dan menarik untuk dipelajari. Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: Kes dera kanak-kanak menurunOleh Ani Awang IPOH 24 Okt. - Sebanyak 207 kes penderaan kanak-kanak dan 26 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di negeri ini sejak Januari hingga Ogos lalu. Jumlah itu lebih rendah berbanding 336 kes penderaan kanak-kanak dan 42 kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan sepanjang tahun lalu. Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pihaknya bimbang kerana kes penderaan ke atas kanak-kanak dan keganasan rumahtangga akan meninggalkan kesan buruk kepada mangsa. Beliau berkata, penderaan terhadap kanak-kanak berlaku dalam pelbagai bentuk termasuk penderaan emosi. "Tingkah laku buruk ibu bapa menyebabkan kecederaan ke atas fungsi psikologi dan emosi kanak-kanak. "Keganasan terhadap wanita pula melibatkan kes rogol, gangguan seksual, keganasan rumah tangga dan penyimbahan asid yang boleh mengakibatkan kecederaan fizikal dan mental serta kematian kepada mangsa," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Kesedaran Pencegahan Penderaan Kanak-Kanak dan Keganasan Rumah Tangga peringkat negeri di Dewan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Taman Meru di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Datuk Dr. Mah Hang Soon. Zambry berkata, mangsa penderaan akan menanggung kesengsaraan akibat kecederaan fizikal dan masalah kesihatan di samping mengalami trauma akibat gangguan mental dan emosi seperti rasa takut, tekanan perasaan dan rasa rendah diri. Bagi mangsa rogol pula katanya, selain kecederaan fizikal, mangsa turut menanggung risiko kehamilan dan jangkitan virus HIV serta penyakit kelamin. "Trauma yang dialami mangsa mengakibatkan mangsa dipandang hina oleh masyarakat, kehilangan harga diri akan meninggalkan kesan buruk kepada mangsa sepanjang hayat mereka," ujarnya. Menurut beliau, kajian menunjukkan, keluarga yang tidak berupaya menghadapi cabaran dan tekanan hidup merupakan penyumbang kepada peningkatan gejala negatif seperti keretakan keluarga, keganasan rumah tangga, penceraian, penyalahgunaan dadah, seks bebas, pelacuran, pembuangan bayi dan jangkitan HIV. Sehubungan itu Zambry berkata, usaha membanteras keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak merupakan tanggungjawab dan komitmen bersama semua pihak dalam aspek pencegahan, intervensi dan pemulihan. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan