Ahad, 30 Oktober 2011

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


TLDM gagalkan cubaan lanun rampas kapal tangki

Posted:

TLDM gagalkan cubaan lanun rampas kapal tangki

TLDM gagalkan cubaan lanun rampas kapal tangki

Oleh M. SHAHRINNAHAR ABD. LATIB
nahar.latib@utusan.com.my


Kapal MT Nautica Johor Bahru yang membawa muatan minyak dan gas yang cuba dirampas sekumpulan lanun di perairan Selat Singapura berhampiran Pulau Batu Putih, semalam. –MINGGUAN/RUSHDI SALLEH


KUANTAN 29 Okt. – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan cubaan sekumpulan lanun melarikan sebuah kapal tangki, MT Nautica Johor Bahru yang membawa muatan minyak dan gas bernilai kira-kira RM12 juta, malam tadi.

Kapal yang dalam pelayaran dari Melaka ke Sibu, Sarawak itu dirampas di perairan Selat Singapura berhampiran Pulau Batu Putih pada pukul 5.30 pagi kelmarin oleh sekumpulan 10 perompak berkenaan.

Panglima Wilayah Laut Satu TLDM, Laksamana Pertama Datuk Mohamad Roslan Mohamad Ramli berkata, berikutan itu, kesemua anak kapal dan kapal tersebut dapat diselamatkan pukul 9.10 malam di lokasi kira-kira 17 batu nautika (30.6 kilometer) dari Pulau Jemaja, Indonesia.

"Tiada kecederaan dilaporkan bagaimanapun lanun bersenjatakan sepucuk pistol dan parang itu berjaya melarikan diri dengan menaiki sebuah bot laju.

"Perompak tersebut turut merampas beberapa barangan peribadi 19 krew kapal tersebut antaranya telefon bimbit, wang tunai dan komputer riba. Muatan kapal tersebut dilaporkan selamat," katanya pada sidang akhbar di Pelabuhan Kuantan di sini hari ini.

Sementara itu, katanya, insiden rompakan itu disedari oleh pihak pengurusan kapal tersebut yang gagal menghubungi kapten kapal terbabit sebelum melaporkan kepada Maritim Malaysia semalam.

"Bertindak atas maklumat tersebut, Maritim Malaysia menugaskan pesawat Douphin M7 002 dan berjaya mengesan kedudukan kapal tersebut di lokasi kira-kira 85 batu nautika (153 kilometer) dari timur Pekan," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

CHOGM perlu bentuk piagam

Posted:

CHOGM perlu bentuk piagam

CHOGM perlu bentuk piagam


Najib Tun Razak bersama Presiden Malawi, Dr. Bingu Wa Mutharika di Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel di Perth, Australia, semalam. - BERNAMA


PERTH 29 Okt. - Mesyuarat Ketua-ketua Negara Komanwel (CHOGM) bersetuju supaya Komanwel membentuk piagam dan secara prinsipnya melantik seorang Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia dalam usaha menjadi badan itu kembali relevan.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, secara umumnya, CHOGM bersetuju untuk menerima pakai cadangan Kumpulan Tokoh Terkemuka (EPG) yang mahu nilai dan prinsip semua negara anggotanya digabungkan dalam satu piagam.

Perdana Menteri berkata, melalui cara itu, pemimpin CHOGM percaya dunia dan generasi akan datang dapat mengetahui dan menghayati aspirasi dan matlamat penubuhan Komanwel.

"Bagaimanapun, pengwujudan Piagam itu perlu melalui beberapa proses sebelum ia dapat dibentuk untuk dijadikan rujukan semua negara anggota," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri sesi pemukiman (retreat) sidang CHOGM kali ini yang diadakan di Kings Park dekat sini.

Turut sama dalam sidang akhbar itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Najib menjelaskan, ekoran persetujuan itu, Menteri Luar Komanwel akan menghalusi draf piagam tersebut untuk dibawa ke Mesyuarat Menteri-menteri Luar di Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York pada September 2012.

Selepas itu, katanya, draf tersebut akan sekali lagi dirujuk kepada ketua-ketua kerajaan untuk diterima atau sebaliknya, sebelum ia dijadikan piagam.

Mengenai cadangan melantik pesuruhjaya Hak Asasi Manusia, Najib berkata, perkara itu akan dirujuk kepada Setiausaha Agung Komanwel, Kamalesh Sharma dan Kumpulan Bertindak Menteri Komanwel (CMAG).

Menurut Perdana Menteri, perbincangan itu akan tertumpu kepada bagaimana hasrat memperkukuhkan komitmen setiap negara dalam aspek hak asasi manusia, kedaulatan undang-undang dan demokrasi.

"Secara prinsipnya, ia diterima tetapi kita sedang mengkaji bentuk pelaksanaannya," katanya sambil menambah kedua-dua cadangan itu adalah sebahagian daripada 106 syor EPG kepada Ketua-ketua Negara Komanwel untuk dipertimbangkan dalam sidang CHOGM kali ini.

Menurut beliau, Menteri-menteri Luar CHOGM akan membincangkan baki 104 lagi cadangan EPG malam ini sebelum melaporkan kepada ketua-ketua kerajaan esok, sama ada ia boleh diterima serta-merta atau memerlukan kajian seterusnya.

Perdana Menteri berkata, selain itu, ketua-ketua negara turut membincangkan antaranya mengenai isu perubahan iklim dan kepentingannya kepada negara-negara pulau serta pembangunan mapan.

Katanya, ramai yang telah memberi pandangan mereka mengenai pentingnya mengambi langkah konkrit dan berkesan untuk menyelamatkan negara-negara pulau yang terancam akibat perubahan iklim.

Laporan EPG menyebut beberapa negara pulau dijangka lenyap ekoran daripada perubahan iklim dan keadaan ini dikhuatiri akan menimbulkan isu pelarian atau perpindahan penduduk pada masa akan datang.

Sehubungan itu, Najib berkata, beliau mengambil kesempatan untuk memaklumkan bahawa isu perubahan iklim bukan hanya memberi kesan terhadap negara kecil tetapi turut di rasai oleh negara-negara besar.

Beliau mengambil contoh, Thailand dan Kemboja yang walaupun bukan negara Komanwel, mereka merupakan negara jiran yang kini mengalami banjir yang dahsyat dalam sejarah akibat perubahan iklim.

"Keadaan ini menunjukkan tiada sebuah negara pun yang terkecuali daripada kesan perubahan iklim," katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan CHOGM perlu memastikan matlamat Protokol Kyoto, yang mahu negara-negara maju mengambil tindakan mengurangkan pelepasan gas dipatuhi.

Walaupun Protokol Kyoto akan tamat pada 2012, kata beliau, ia bukanlah alasan untuk negara-negara maju menggubal satu syarat baru terma-terma berkaitan dengan apa yang telah dipersetujui. - UTUSAN

Full content generated by Get Full RSS.

EPG nafi CHOGM galakkan homoseksual

Posted:

EPG nafi CHOGM galakkan homoseksual

EPG nafi CHOGM galakkan homoseksual


Abdullah Ahmad Badawi pada sidang akhbar sempena Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel di Perth, Australia, semalam. Turut sama, ahli EPG (dari kiri) Dr. Emmanuel Akwetey, Samuel Kavuma dan Malcolm Rifkind. - BERNAMA


PERTH 29 Okt. - Kumpulan Tokoh Terkemuka (EPG) Komanwel membidas laporan kononnya ia menggalakkan hubungan homoseksual dengan mencadangkan kepada mesyuarat Ketua-ketua Negara Komanwel (CHOGM) kali ini agar menghapuskan undang-undang yang menjadikan hubungan sejenis sebagai satu jenayah.

Pengerusi EPG, Tun Abdullah Ahmad Badawi menjelaskan, kumpulan itu sebaliknya hanya mencadangkan supaya undang-undang yang berupa diskriminasi terhadap mereka yang mengidap AIDS dan HIV dihapuskan.

Menurut beliau, ini kerana masih terdapat banyak negara Komanwel yang mewarisi sistem perundangan British yang menghalang pengidap AIDS dan HIV daripada menerima rawatan kerana ia dianggap sebagai satu jenayah.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di sini hari ini, mantan Perdana Menteri itu menjelaskan, pada masa ini, jumlah penghidap AIDS dan HIV di negara-negara anggota Komanwel adalah dua kali ganda lebih tinggi daripada negara-negara bukan ahli pertubuhan itu.

Sehubungan itu, katanya, EPG menerima cadangan daripada negara-negara anggotanya yang berdepan dengan masalah ini dan mahu sesuatu dilakukan bagi membolehkan penghidap AIDS dan HIV menerima rawatan sewajarnya bagi membendung penularan wabak itu.

"Apa yang dikemukakan oleh EPG hanyalah satu syor dan ia terpulang kepada setiap negara anggota sama ada untuk menerimanya atau tidak. Laporan yang dikemukakan oleh EPG tidak mengikat mana-mana negara anggota untuk melaksanakannya,'' jelas beliau.

Syor EPG berhubung isu AIDS dan HIV dilaporkan telah mendapat tentangan kerana ia dikhuatiri akan dianggap homoseksual sebagai satu perlakuan yang boleh diterima.

Cadangan EPG itu bagaimanapun masih terbuka kepada pelbagai tafsiran sebelum ia diterima atau ditolak oleh para pemimpin CHOGM di akhir persidangan mereka esok.

Abdullah berkata, satu lagi cadangan yang mendapat tentangan ialah penubuhan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Demokrasi dan Kedaulatan Undang-undang.

Menurut beliau, cadangan itu sebenarnya ialah untuk membantu menteri-menteri luar negara Komanwel dan setiausaha agung badan tersebut menjalankan kerja masing-masing dengan lebih efisyen.

"Seorang Pesuruhjaya yang bebas dan tidak terikat dengan kepentingan politik boleh memainkan peranan untuk memaklum atau menghebahkan sesuatu masalah kepada umum jika ada.

"Pesuruhjaya ini juga boleh membantu dari segi membela negara yang dikecam secara tidak adil berhubung perlanggaran hak asasi manusia,'' jelas beliau.

Terdahulu Abdullah memberitahu, CHOGM harus menerima sebulat suara cadangan EPG demi survival pertubuhan 54 negara bekas tanah jajahan British itu yang kini didakwa lesu dan tidak relevan.

Ini kerana, katanya, 106 syor yang dikemukakan EPG kepada Mesyuarat CHOGM adalah suara negara-negara anggota yang mahu perubahan dilakukan ekoran ia didakwa tidak bersikap pro-aktif ketika sesuatu krisis berlaku, walaupun di kalangan negara anggota.

Katanya, dalam tempoh 16 bulan EPG diwujudkan, ia menerima 330 cadangan daripada pertubuhan dan individu dalam negara-negara Komanwel sebelum memutuskan untuk menyenarai pendekkan 106 daripadanya, dikumpul dan kemukakan untuk perbincangan Ketua-ketua Negara CHOGM.

Hari ini, para pemimpin CHOGM meneruskan perbincangan mereka dalam sesi pemukiman (retreat) yang diadakan di Kings Park tidak jauh dari sini.

Delegasi Malaysia diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. - UTUSAN

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan