Harian Metro: Mutakhir |
Pusat perubatan UKM buat pembedahan kaedah lubang kunci bayi berusia 14 hari Posted: 27 Oct 2011 03:34 AM PDT BANGI: Pusat Perubatan UKM (PPUKM) telah menjalankan pembedahan kaedah lubang kunci yang pertama di dunia ke atas bayi yang baru berusia 14 hari bagi mengeluarkan 95 peratus daripada organ pankreasnya. Pembedahan itu dilakukan pada Ogos lepas tetapi tidak diumumkan kerana PPUKM perlu mendapat kepastian yang ia adalah yang pertama di dunia ke atas bayi yang berusia bawah 30 hari.
"Kami telah melakukan carian perubatan dan bayi yang termuda yang pernah melalui pembedahan laparoscopic pancreactectomy berusia 40 hari yang dilaporkan telah dilakukan di Vietnam," kata Dr Dayang Anita Abdul Aziz, Pakar Bedah Pediatrik dan Ketua Unit Pediatrik PPUKM, yang melalukan pembedahan itu. Pembedahan itu terpaksa dilakukan untuk melindungi bayi itu daripada kecacatan otak. Ia menghidap penyakit Persistent Hyperinsulinemic Hypoglycemia of Infancy (PHHI) di mana pankreasnya mengeluarkan insulin yang berlebihan daripada yang sepatutnya.
Rawatan adalah dengan mengeluarkan hampir keseluruhan pankreas tetapi ia mesti dilakukan dengan tepat. Jika terlalu banyak pankreas bayi itu dikeluarkan ia akan membawanya menghidap diabetes apabila dewasa kelak. "Maka itu pembedahan perlu dilakukan dengan sempurna. Ia dikenali sebagai near total pancreatectomy," kata Dr Dayang Anita, yang dibantu satu pasukan pembedahan yang cekap yang telah memberinya keyakinan untuk melakukan pembedahan itu. Dengan menggunakan kamera laparoskopi yang dimasukkan melalui bahagian pusat pesakit, pankreas dapat dilihat dengan jelas di skrin berdefinisi tinggi tanpa perlu membuat torehan yang panjang di perut pesakit. Dr Dayang Anita kemudiannya memasukkan suatu alat untuk melakukan pembedahan melalui torehan yang kecil yang tidak melebihi dua sentimeter di bahagian kiri dan kanan perut bayi itu. Berpandukan gambar yang berada di skrin, beliau memotong pankreas bayi itu dengan hirisan yang kecil untuk mengeluarkannya sedikit demi sedikit. Semua proses untuk menghiris dan memotong termasuk menjahit dilakukan dengan mengerakkan picu yang berada di luar perut bayi itu. Pembedahan mengambil masa dua setengah jam. Dr Dayang Anita, yang sedang menulis mengenai pencapaiannya itu untuk diterbitkan dalam jurnal, berkata pembedahan lubang kunci adalah seperti membina kapal miniatur dalam sebuah botol dengan menggunakan angkup. Perbezaannya adalah, Dr Dayang Anita menggunakan peralatan moden yang terkini sebagai angkup untuk mengeluarkan pankreas yang terletak di belakang perut. Pembedahan itu telah berjaya dilakukan dan bayi tersebut telahpun pulang ke Terengganu. "Dia kini berada dalam keadaan sihat dan tidak memerlukan rawatan susulan sehingga berusia empat bulan kelak," kata Dr Dayang Anita. Pembedahan lubang kunci kini sering dilakukan di hospital kerajaan dan swasta tetapi apa yang membezakan bagi PPUKM adalah kemudahan dan kepakaran melakukan pembedahan yang kompleks menggunakan kaedah lubang kunci untuk bayi yang baru lahir. - BERNAMA Full content generated by Get Full RSS. |
JPAM siap hadapi banjir di Terengganu Posted: 27 Oct 2011 03:29 AM PDT KUALA TERENGGANU: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Terengganu telah bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan banjir yang dijangka akan berlaku pada bila-bila masa di negeri itu. Pengarah JPAM negeri Lt Kol (PA) Kamal Mokhtar berkata bagi tujuan itu pihaknya telah menempatkan 128 anggota dalam keadaan bersiap sedia.
"Selain itu, kita ada 2,000 anggota sukarela yang terlatih di seluruh negeri Terengganu yang akan dikerahkan sebaik bencana alam itu berlaku," katanya kepada pemberita selepas majlis latihan menyelamat di kem JPAM di sini hari ini. Kamal berkata JPAM juga menyediakan kenderaan dan bot penyelamat selain anggota yang akan menjalankan kerja-kerja menyelamat dan juga menjaga pusat pemindahan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata JPAM yang mempunyai cawangan di semua daerah di negeri itu kini mempunyai seramai 26,000 anggota di seluruh negeri. Kamal berkata pengambilan anggota baru sentiasa dibuat dan untuk tahun ini sahaja seramai 13,250 orang anggota baru telah diterima setakat ini. - BERNAMA Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Mutakhir To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan