Utusan Online - Dalam Negeri |
- 1Malaysia mampu majukan negara
- Krisis identiti belia: Ahmad Shabery jawab pendedahan Ikatan Muslimin Malaysia
- Duta Amerika Syarikat tarik perhatian berbaju Melayu, bertengkolok
1Malaysia mampu majukan negara Posted: 1Malaysia mampu majukan negaraOleh M. SHAHRINNAHAR ABD. LATIB
PEKAN 24 Okt. - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bertitah, falsafah dan pendekatan baru yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri dan kerajaan mampu menjaminkan kemajuan serta kemakmuran rakyat di negara ini. Baginda bertitah, falsafah dan pendekatan baru iaitu gagasan 1Malaysia, program transformasi kerajaan, ekonomi dan politik serta Model Baru Ekonomi (MBE) mampu terus memajukan negara ini dan meningkatkan taraf hidup rakyat. "Beta percaya dan yakin falsafah serta pendekatan ini adalah sangat baik untuk negara. Beta berdoa supaya hasrat Perdana Menteri untuk mengurus dan memajukan negara akan tercapai," titah baginda. Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran Negeri Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-81 baginda di Istana Abu Bakar, di sini hari ini. Turut berangkat Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan isteri, Datin Seri Junaini Kassim. Pada istiadat itu, seramai 66 individu menerima darjah kebesaran dengan 15 orang menerima pingat Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri. Antaranya, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung, Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn. Bhd., Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Datuk Zaleha Kamaruddin dan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal. Dalam pada itu, Sultan Ahmad Shah bertitah, Bajet 2012 yang dibentangkan baru-baru ini ternyata memberi faedah kepada semua golongan termasuk rakyat berpendapatan rendah. "Beta berharap Bajet 2012 dapat menangani masalah kos hidup rakyat yang semakin tinggi serta membantu mereka yang berpendapatan rendah menjalani kehidupan yang lebih selesa," titahnya. Sementara itu, baginda berharap keamanan, kestabilan politik dan hubungan antara kaum di negara ini akan terus stabil tanpa diganggu oleh mana-mana pihak. "Beta sukacita melihat rakyat hidup harmoni, bersatu padu dan menjalani hidup tanpa diganggu. Agama Islam juga perlu terus disuburkan dengan kaedah yang sesuai mengikut perkembangan dunia semasa yang bersifat global. "Rakyat yang bukan beragama Islam juga berhak mengamalkan agama masing-masing tanpa diganggu atau mengganggu sesiapapun," titah baginda. Baginda bertitah, setiap penerima darjah dan pingat agar menghargai kurniaan itu dan tidak merendahkan martabat dalam apa juga cara sekalipun. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Krisis identiti belia: Ahmad Shabery jawab pendedahan Ikatan Muslimin Malaysia Posted: Krisis identiti belia: Ahmad Shabery jawab pendedahan Ikatan Muslimin MalaysiaKUALA LUMPUR 24 Okt. - Kementerian Belia dan Sukan akan meneliti dakwaan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) bahawa lebih enam juta belia di negara ini menghadapi krisis kecelaruan identiti. Sambil menolak kemungkinan program dilaksanakan kerajaan selama ini kurang berjaya, Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau akan mengkaji semula takrifan 'kecelaruan' yang digunakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam itu. "Untuk memahami maksud kecelaruan, satu penelitian yang holistik perlu dilakukan sebagai KPI (Petunjuk Prestasi Utama). "Siapa pula yang tidak celaru identiti? Apakah mekanisme yang digunakan bagi mengukurnya? Adakah ia setakat melalui media alternatif seperti laman sosial Facebook dan Twitter," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau mengulas pendedahan Presiden Isma, Abdullah Zaik Abd. Rahman semalam bahawa lebih enam juta belia di negara ini didakwa menghadapi krisis kecelaruan tersebut disebabkan terpengaruh dengan gaya hidup Barat. Beliau turut memberitahu, usaha memperkasakan belia turut terletak di tangan kementerian lain termasuk Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pertahanan. "Kita perlu mengetahui baki lima juta yang dikatakan tidak celaru itu. Adakah kejayaan mereka itu atas usaha kerajaan atau sebagainya? "Bagaimanapun, saya mengalu-alukan konvensyen seperti yang dilakukan Isma itu. Saya harap mereka akan menghuraikan takrifan tersebut dengan lebih terperinci bagi semua isu yang mereka kemukakan selepas ini," ujarnya. Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, kajian terperinci penting bagi membolehkan tindakan sewajar diambil membendung masalah tersebut. ''Laporan tersebut terlalu umum. Jika dilihat kepada angka enam juta juga terlalu besar, malah akan menjadi liabiliti kepada negara. ''Jadi perlu perincian tentang aspek mana yang mereka kaji sama ada celaru jantina, orientasi seks, moral atau kesihatan,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini. Bagaimanapun, beliau bersetuju masalah tersebut perlu ditangani secara serius kerana ia boleh mendorong belia ke arah pemikiran liberal. ''Laporan tersebut juga dikhuatiri akan menjejaskan peluang kerja kerana majikan tidak berminat untuk menggaji belia yang menghadapi kecelaruan identiti,'' katanya. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Duta Amerika Syarikat tarik perhatian berbaju Melayu, bertengkolok Posted: Duta Amerika Syarikat tarik perhatian berbaju Melayu, bertengkolokPAUL W. Jones (dua dari kiri) berjabat tangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sambil diperhatikan oleh Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Jamaludin Jarjis (dua dari kanan) dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (kanan) di Istana Abu Bakar, Pekan, semalam. – UTUSAN/ Mahathir Ali PEKAN 24 Okt. - Biarpun sesetengah rakyat negara ini selesa memilih pakaian istiadat untuk ke majlis penganugerahan pingat dan darjah kebesaran raja-raja Melayu, namun bagi Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Datuk Paul W. Jones, beliau memilih sebaliknya. Dengan lengkap berbaju Melayu dan tengkolok ketika hadir pada Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran Negeri Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-81 Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar hari ini, pilihan Jones itu ternyata membuatkan beliau menjadi tumpuan ramai. Ketika ditemui pemberita kemudiannya, Jones yang dikurniakan pingat Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk berkata, beliau sebenarnya boleh memilih untuk memakai pakaian istiadat ke majlis tersebut. Namun katanya, dengan memakai baju Melayu yang lengkap bersamping dan tengkolok membuatkan beliau dapat merasai pengalaman sebenar hadir ke majlis penganugerahan darjah kebesaran di negara ini. "Saya sukakannya (baju Melayu), saya nampak berbeza dan ini pengalaman pertama saya memakai baju kebangsaan rakyat Malaysia. "Saya dan keluarga bangga kerana berpeluang untuk menyelami budaya masyarakat negara ini dan memakai pakaian yang dipakai rakyat negara ini," katanya yang hadir ditemani isterinya, Catherine Jones, 48, yang anggun memakai baju kebaya rona krim. Jones yang jelas tidak kekok dengan baju Melayu menyelitkan keris di pinggang dan ternyata ia menarik perhatian para penerima pingat dan tetamu yang lain. "Saya selesa. Ada wakil yang dihantar untuk membantu saya memakainya pagi ini. Memang ini pengalaman pertama saya dan cukup mengujakan," ujarnya. Sementara itu, Catherine yang sentiasa di sisi menemani Jones sepanjang majlis itu mengakui suaminya kelihatan segak dan bergaya memakai baju Melayu. "Saya dan suami sukakan pakaian rakyat Malaysia, ia cantik dan menggambarkan kepelbagaian budaya masyarakat di sini. Inilah 1Malaysia," katanya. Mengenai darjah kebesaran yang diterimanya, Jones berterima kasih kepada kerajaan negeri Pahang dan Malaysia kerana memberi anugerah itu kepadanya. "Saya menerima anugerah ini dengan rasa rendah diri dan melihatnya sebagai tanda persahabatan antara AS dan Malaysia. "Apabila pulang ke AS nanti, saya akan maklumkan kepada penduduk di sana bahawa bukan sahaja rakyat tempatan, malah rakyat negara lain juga berpeluang menerima penganugerahan sebegini di Malaysia," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan