Ahad, 30 Oktober 2011

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


IKM RM120 juta dibina di Raub

Posted:

IKM RM120 juta dibina di Raub

IKM RM120 juta dibina di Raub

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my

RAUB 30 Okt. - Sebuah Institut Kemahiran Mara (IKM) akan dibina di tapak seluas 60 hektar berdekatan bandar ini dalam tempoh Rancangan Malaysia kesepuluh (RMK-10).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, projek yang membabitkan peruntukan RM120 juta itu bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan daerah Raub.

"Saya difahamkan pelajar lepasan sekolah menengah di daerah ini serta daerah-daerah berhampiran akan diberikan keutamaan bagi mendapatkan pelbagai latihan kemahiran yang disediakan nanti.

"Ia merupakan IKM pertama dibina di kawasan Pahang Barat setakat ini dan seterusnya membantu menjana ekonomi penduduk di daerah ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dan penyampaian elaun kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Ketua Kampung daerah Raub di sini, kelmarin.

Turut hadir, ADUN Batu Talam, Datuk Abdul Aziz Mat Kiram dan Pegawai Daerah Raub, Datuk Ismail Mat Ali.

Menurut Shahiruddin, kerja-kerja projek akan dilaksanakan sebaik sahaja reka bentuk serta proses tender dikeluarkan tidak lama lagi.

Tambahnya, projek tersebut merupakan terbesar dilaksanakan kerajaan di daerah ini dalam usaha untuk meningkatkan latihan dan kemahiran kepada belia dalam pelbagai bidang.

Katanya, sebagai permulaan seramai 300 pelajar bakal diambil apabila ia mula beroperasi kelak.

Beliau yang juga Pengerusi Giat Mara yakin matlamat kerajaan untuk melatih dan melahir ramai tenaga mahir dari kalangan belia terutamanya lepasan sekolah.

Full content generated by Get Full RSS.

RM50j bina jalan pintasan

Posted:

RM50j bina jalan pintasan

RM50j bina jalan pintasan

KUANTAN 30 Okt. - Syarikat Kumpulan ZCM akan membina sebuah jalan pintasan bernilai kira-kira RM50 juta bagi mengatasi masalah pencemaran dan kesesakan lalu lintas di pekan Sri Jaya, Maran disebabkan aktiviti perlombongan oleh syarikat itu.

Presidennya, Datuk Seri Tan Hoe Beng berkata, jarak jalan pintasan itu dianggarkan sejauh 24 kilometer dan dijangka dapat digunakan pada akhir tahun depan.

"Jalan pintasan ini akan bermula dari tapak kilang pemprosesan ke jalan utama tanpa melalui pekan Sri Jaya untuk mengangkut bijih besi ke Pelabuhan Kuantan," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Kejadian banjir lumpur pada pukul 10 malam, 9 Oktober lepas telah mengakibatkan dua buah rumah, sebuah kedai dan lapan buah trak rosak teruk, manakala kawasan ladang sawit seluas 12.15 hektar, tanaman pisang dan tebu yang diusahakan penduduk turut terjejas.

Kejadian itu berpunca daripada dinding sebuah daripada tiga kolam yang terdapat di tapak kilang berkenaan pecah berikutan berlakunya laluan air di bawah tanah.

Mengulas lanjut, katanya, Kumpulan ZCM juga akan membina dua buah kolam basuhan sebagai langkah jangka pendek supaya lori pengangkut bijih besi milik syarikat itu dapat dicuci terlebih dahulu sebelum memasuki jalan utama.

Katanya, pembinaan dua kolam terbabit dianggarkan bernilai RM450,000 dan dijangka dapat mengatasi masalah pencemaran udara dalam masa terdekat.

"Pada masa ini, kami telah melaksanakan kerja-kerja mencuci jalan raya melibatkan kos RM15,000 sebulan selain memperbaiki jalan yang rosak untuk keselesaan penduduk," katanya.

Katanya, ia merupakan tanggungjawab sosial korporat syarikat itu kerana sedar 70 peratus daripada penggunaan jalan utama melalui pekan tersebut digunakan oleh lori-lori syarikat berkenaan.

Hoe Beng juga berkata, pihaknya telah memberikan hampir keseluruhan pampasan kepada penduduk Sri Jaya yang terlibat dalam kejadian banjir lumpur tersebut.

"Hampir keseluruhan mangsa yang terlibat dengan banjir tersebut sudah menerimanya dan bakinya akan diperoleh dalam masa terdekat selepas pihak kami meneliti serta menilai jumlah kerugian itu," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Zaid menang RM20,000 selepas berjaya 'naikkan' keli 6.6 kilogram

Posted:

Zaid menang RM20,000 selepas berjaya 'naikkan' keli 6.6 kilogram

Zaid menang RM20,000 selepas berjaya 'naikkan' keli 6.6 kilogram


WAN Rosdy Wan Ismail (dua dari kiri) menyampaikan replika cek RM20,023.10 kepada Zaid Khairishas (dua dari kanan) di Kampung Beletik, Kuala Lipis baru-baru ini.


KUALA LIPIS 30 Okt. - Ikan keli seberat 6.6 kilogram (kg) yang berjaya dipancing Zaid Khairishas membawa tuah apabila melayakkan beliau muncul johan pertandingan memancing anjuran Kolam Sempurna Sejati, Kampung Beletik dekat sini, kelmarin.

Kemenangan itu membolehkan Zaid, 42, yang berasal dari Sega, Raub, membawa pulang wang tunai bernilai RM20,023.10 dan hamper selaku juara pertandingan itu.

Tempat kedua pula dimenangi oleh Sabdi Ahmad, 46, manakala tempat ketiga diraih Baharuddin Mohamad, 59, pada pertandingan yang diadakan buat kali ke-10 pada tahun ini.

Sabdi yang berasal dari Chenor, Maran berjaya menaikkan ikan keli seberat 5.81kg manakala Baharuddin dari Kampung Lubuk Kulit, Lipis pula mendapat ikan jenis sama seberat 5.75kg.

Sabdi membawa pulang hadiah wang tunai RM8,023.10 beserta hamper manakala Baharuddin (RM2,023.10 dan hamper).

Hadiah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail. Hadir sama Penghulu Mukim Telang, Abdullah Zawawi Kamaluddin.

Seramai 550 peserta dari daerah Raub, Maran, Temerloh, Bentong dan Lembah Klang menyertai pertandingan berkenaan.

Penganjur pertandingan, Hishamuddin Hashim ketika ditemui berkata, pertandingan memancing Kolam Sempurna Sejati miliknya diadakan setiap bulan berikutan sambutan menggalakkan kaki pancing di negeri ini dan Lembah Klang.

"Dianggarkan lebih 2,000 pengunjung hadir pada hari ini dan mereka juga berpeluang membeli peralatan memancing di gerai-gerai jualan yang disediakan pada harga istimewa," katanya.

Menurutnya, tawaran hadiah yang lumayan antara faktor penyertaan ramai kaki pancing dengan tiga buah kolam yang menjadi lokasi pertandingan menempatkan 100,000 ekor spesies ikan keli, patin, rohu dan pacu.

Sementara itu, johan pertandingan tersebut, Zaid ketika ditemui berkata, dia terkejut apabila hasil tangkapannya mampu menjuarai pertandingan memancing kali ini.

"Semasa bertolak dari rumah, saya hanya menaruh harapan memperoleh hadiah sagu hati sahaja, tetapi tuah menyebelahi saya, boleh menang tempat pertama pula pada pertandingan kali ini," tambahnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan