Ahad, 30 Oktober 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Terhumban dalam ladang

Posted: 29 Oct 2011 01:42 PM PDT

KUALA LIPIS: Kegembiraan satu rombongan keluarga seramai 28 orang dari Kota Tinggi, Johor, meraikan cuti Deepavali dengan berkunjung ke pusat peranginan, Cameron Highlands, berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka maut manakala empat lagi parah selepas kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 55, Jalan Sungai Koyan-Raub, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.20 malam, M Sivagnanam, 29, dan SV Genesin, 51, meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Pekan Sungai Koyan akibat cedera parah di kepala dan luka dalaman.


Ketua Polis daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, kedua-dua mangsa yang maut menaiki kenderaan Toyota Alphard bersama tujuh anggota keluarga lain yang dipandu anak Genesin.

Menurutnya, kenderaan yang terbabit kemalangan itu berada di belakang dua lagi kereta lain rombongan berkenaan apabila ia dipercayai hilang kawalan sebelum terhumban ke kawasan ladang tanaman semula kelapa sawit dan terbalik.


"Empat lagi mangsa yang menaiki kenderaan sama cedera parah dan tiga lagi hanya cedera ringan. Mereka dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis (HKL) untuk rawatan lanjut.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta menghubungi Inspektor Johnny James Bujang di talian 09-312 2222 untuk membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, anak saudara Genesin, M Letchumi, 34, berkata, sebelum kejadian, mereka sempat singgah di Raub untuk mengunjungi rumah saudara dan bertolak ke Cameron Highlands selepas makan malam.


"Genesin meminta anaknya memandu kenderaan kerana dia penat dan mengantuk akibat memandu dalam perjalanan jauh.

"Kereta saya naiki bersama sebuah lagi kereta berada di depan, manakala kereta dinaiki mendiang berada paling belakang," katanya.


Katanya, ketika dalam perjalanan menuju ke Sungai Koyan mereka mendapati kereta Toyota Alphard yang dinaiki sembilan ahli keluarganya tidak kelihatan.


"Saya cuba menghubungi telefon bimbit seorang daripada mereka dan terkejut apabila dimaklumkan mengenai kemalangan itu.


"Kami kemudian berpatah semula ke tempat kejadian dan cuba menyelamatkan mangsa yang parah dengan menghantar mereka ke Klinik Kesihatan Sungai Koyan. Namun, bapa saudara dan seorang lagi saudara kami disahkan meninggal dunia," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Rebah dalam bilik air

Posted: 29 Oct 2011 01:31 PM PDT

PARIT BUNTAR: Jenazah bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Allahyarham Datuk Abdul Raman Suliman, 62, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedah, di sini, selepas solat Zuhur, semalam.

Allahyarham yang juga Ketua Umno Bahagian Parit Buntar meninggal dunia di Hospital Daerah Parit Buntar jam 12.30 malam kelmarin selepas ditemui terjatuh di dalam bilik air di kediamannya di Kampung Kedah, di sini.


Kejadian berlaku sejurus arwah pulang ke rumahnya selepas menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan Umno Perak di Ipoh, malam kelmarin.

Hadir sama memberi penghormatan terakhir kepada arwah semalam termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan ahli exco negeri iaitu Datuk Ramly Zahari dan Datuk Saarani Mohamad.


Dr Zambry ketika ditemui semalam berkata, beliau terkejut dengan berita kematian itu kerana arwah kelihatan sangat ceria ketika menghadiri mesyuarat berkenaan malam kelmarin.


Beliau berkata, dalam mesyuarat itu, semua ketua bahagian sepakat melantik arwah sebagai wakil perhubungan Umno Perak untuk menghadiri Perhimpunan Agung Umno, bulan depan.

"Allahyarham sangat ceria ketika itu dan menerima keputusan berkenaan. Sebagai Pengerusi Umno Perak, saya merakamkan takziah kepada keluarga arwah.


"Arwah pernah menjawat beberapa jawatan penting termasuk Ahli Parlimen Parit Buntar, Setiausaha Parlimen Kementerian Kesenian dan Pelancongan serta Pengerusi Risda," katanya.

Katanya, arwah juga menjawat Ketua Umno Bahagian Parit Buntar sejak 20 tahun lalu.


Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Saemah Hashim dan enam anak iaitu tiga lelaki dan tiga perempuan.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan