Sabtu, 29 Oktober 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Songlap duit menang kes

Posted: 28 Oct 2011 12:03 PM PDT

KUALA LUMPUR: "Saya sedih melihat keadaannya yang sering mengamuk dan menyalahkan diri sendiri sejak enam tahun lalu. Lebih merisaukan, dia juga mencederakan anggota badan terutama lengan kirinya yang cacat akibat kemalangan itu.

"Kami sekeluarga berikhtiar dengan mendapatkan khidmat pengamal perubatan tradisional kerana dia berang dan berubah sikap apabila mendengar perbualan mengenai peguam yang menipunya," kata warga emas, Noreah Mat Resat, 58, mengenai perubahan sikap suaminya selepas ditipu peguam pada 2005.


Suaminya, Osman Din, 56, mengalami masalah itu sejak mengetahui peguam dilantik keluarganya untuk menyaman bekas majikan yang menyebabkan kecacatan kekal, menipu dan tidak membayar wang hasil kemenangan kes yang berlaku 20 tahun lalu.

Selain menjadi panas baran, dia juga sering menghantukkan kepalanya ke dinding rumah sehingga cedera dipercayai berpunca daripada tekanan perasaan tidak terkawal menyebabkan ahli keluarga bimbang berlaku sesuatu kejadian tidak diingini. Menceritakan kejadian itu, Noreah berkata, segala-galanya berlaku selepas suaminya yang juga penyelia di sebuah kilang papan di Karak, dekat Gombak, mengalami kemalangan akibat mata gergaji mesin pemotong kayu terputus dan menghiris lengan kirinya.


Disebabkan itu, dia dimasukkan ke Hospital Bentong dan kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta disahkan mengalami kecacatan kekal di lengan mengakibatkannya hilang punca pendapatan selepas tidak mampu bekerja.


"Namun, selepas dikunjungi peguam di HKL dan memfailkan saman di Mahkamah Sesyen Temerloh, Pahang, suami yakin dia akan memenangi kes itu dan ingin menggunakan wang saman untuk membiayai pengajian anak yang masih kecil.

"Empat belas tahun menunggu, akhirnya ahli keluarga yang tidak sabar membuat semakan di mahkamah dan mendapati suami memenangi kes berkenaan dan layak menerima pampasan RM89,900 yang diserahkan kepada peguam sejak 2002," katanya selepas membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam (PPIM) di sini, semalam.


Terkilan dengan tindakan peguam yang cuba menyembunyikan perkara itu, mereka menemuinya di ibu negara dan terkejut sebaik dimaklumkan mereka perlu membayar kos guaman dan bayaran tertunggak lain berjumlah RM40,000.

Mendapati mereka menjadi mangsa keadaan, perkara itu dirujuk kepada Biro Bantuan Guaman Raub dan dipanjangkan ke Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam untuk tindakan lanjut.


Sementara itu, Ketua Operasi PPIM, Imran Yusof, berkata pihaknya akan meneliti aduan berkenaan sebelum mengambil tindakan susulan termasuk berbincang dengan majlis peguam untuk mendapatkan gambaran kejadian itu.


"Siasatan awal mendapati, aduan ini berasas kerana pengadu ditipu peguam yang mungkin mengambil kesempatan ke atas keluarga berkenaan. Justeru, kami menggesa Biro Bantuan Guaman tampil memberi penjelasan mengenainya," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

10 penyamun hentak mangsa guna topi keledar

Posted: 28 Oct 2011 12:01 PM PDT

GOMBAK: Seorang lelaki cedera di kepala dan badan selepas dihentak dengan topi keledar oleh sekumpulan lelaki sebelum disamun menyebabkan kerugian dianggarkan RM5,000, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, mangsa yang berusia 21 tahun bersama rakannya berjalan pulang ke rumah di Taman Tun Teja, di sini, selepas makan di restoran berhampiran.


Bagaimanapun, tiba-tiba muncul 10 lelaki menunggang motosikal menghampiri mangsa.

Menurut sumber, terkejut dengan kehadiran suspek, mangsa dan rakannya cuba melarikan diri namun gagal kerana kumpulan itu mengepung mereka.


"Seorang daripada suspek memaki-hamun mangsa sebelum suspek lain menghentak topi keledar ke kepala mangsa beberapa kali," katanya.


Sumber berkata, selepas beberapa minit dibelasah, suspek merampas telefon bimbit, gelang tangan perak dan rantai emas dipakai mangsa. "Suspek yang mendapatkan barangan berharga mangsa melarikan diri meninggalkan mangsa bersama rakannya yang cedera," katanya.

Sumber itu berkata, mangsa dan rakannya yang cedera pergi ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.


Bimbang kejadian sama berulang, dia membuat laporan di Pondok Polis Hospital Selayang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan