Kosmo Online - Negara |
Risiko letupan kuat dari dapur Posted: Risiko letupan kuat dari dapur
KUALA LUMPUR - Tong gas memasak yang biasanya seberat 14 kilogram (kg) yang boleh dilihat hampir di setiap dapur rumah serta restoran berupaya menyebabkan kemusnahan besar jika berlaku kebocoran gas dan meletup. Ketua Jabatan Kejuruteraan Gas, Fakulti Kejuruteraan Petroleum dan Tenaga Diperbaharui, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr. Zainal Zakaria berkata, disebabkan gas asli cecair itu lebih tumpat daripada udara, gas yang bocor itu tidak akan meresap keluar dengan mudah daripada kawasan tertutup seperti rumah dan premis perniagaan. "Gas itu sebaliknya mudah tersebar ke seluruh ruang. Jika ada percikan api yang kecil sekalipun, ia dengan mudah boleh menyambar setiap kawasan yang mempunyai sisa-sisa gas berkenaan," katanya kepada Kosmo! Ahad. Beliau diminta mengulas kejadian letupan yang memusnahkan tingkat bawah pusat beli-belah Empire Shopping Gallery di Subang Jaya Rabu lalu. Kejadian pada pukul 3.45 pagi itu dipercayai berpunca daripada kebocoran gas memasak di sebuah restoran di situ. Malah dipercayai saluran gas memasak melingkari hampir sebahagian besar bahagian bawah kompleks beli-belah itu. Menurut Zainal, insiden letupan gas memasak tidak boleh dipandang ringan kerana berjuta-juta rumah di Malaysia masih menggunakan bahan bakar itu setiap hari. "Walaupun dapur elektrik atau dapur solar lebih selamat, kos untuk membeli sebuah tong gas adalah lebih murah," kata beliau. Buat masa ini, harga setong gas memasak 14kg ialah RM27. Zainal mendedahkan, punca kebocoran gas memasak di rumah selalunya disebabkan kepala gas dipasang dengan cara yang salah ataupun paip getah dapur gas bocor digigit haiwan perosak seperti tikus. Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini. | ||
Posted: Mangsa asid tiada biji mataOleh FAIZAL NAZARUDDIN
PADANG BESAR – Deria penglihatannya terpaksa dibuang, manakala kedua-dua kelopak mata ditutup serta dijahit dan sedikit lubang ditinggalkan bagi membolehkan air matanya mengalir keluar. Begitulah sengsara ditanggung seorang pemandu lori, Muhamad Hanif Sunaid @ Shuib, 25, yang menderita akibat disimbah asid oleh seorang individu di Kampung Sentang, Utan Aji dekat sini pada Mei lalu. Muhamad Hanif menjadi sedemikian rupa disebabkan simbahan asid tersebut terkena matanya yang mengakibatkan pancaindera tersebut terpaksa dibuang selain dia melecur hampir 50 peratus di muka dan badan. Dia memberitahu, kulit pada belakang badan, paha dan kaki dijadikan pengganti kulit di bahagian muka dan badan depannya yang rosak teruk terkena simbahan asid tersebut. "Kini seluruh badan saya terpaksa berbalut kerana sedang bersalin kulit dan ini menyukarkan saya bergerak selain hanya mampu terlantar di atas katil. "Dulu saya tidak macam ini tetapi kini dah jadi begini, saya hanya mampu reda dan cuba menyesuaikan diri," katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Baru, Batu Bertangkuk dekat sini semalam. Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini. | ||
Posted: Chin Peng koma di BangkokKUALA LUMPUR - Bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaysia (PKM), Chin Peng (gambar) kini koma di sebuah hospital swasta di Bangkok. Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, 86, kini hidup dalam buangan di Thailand. Sumber yang rapat dengan keluarganya berkata, Chin Peng yang telah dimasukkan ke hospital itu sejak sebulan lalu. "Dia semakin uzur, malah ahli keluarganya tidak tolak kemungkinan bimbang Chin Peng akan menamatkan riwayatnya di atas katil hospital,'' katanya yang enggan identitinya didedahkan. Usaha Chin Peng untuk pulang ke Malaysia menerusi saluran undang-undang gagal pada tahun 2005, malah kerajaan tidak membenarkan dia pulang kerana tidak mahu melukakan hati banyak pihak, terutamanya mereka yang kehilangan ahli keluarga dalam perang menentang komunis. Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan