Sabtu, 1 Oktober 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Terbang masuk rumah

Posted: 30 Sep 2011 11:56 AM PDT

KUANTAN: "Selepas terdengar dentuman kuat, keadaan di dalam rumah tiba-tiba gelap dengan asap tebal menyebabkan saya menggigil ketakutan," kata warga emas, Hasnah Yusuf, 72, ketika menceritakan detik cemas rumahnya dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Peramu, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, sebuah kereta Perodua Myvi dipandu seorang lelaki dari arah pusat bandar menuju ke arah Pekan dipercayai hilang kawalan dan merempuh dua rumah.


Kejadian itu juga menyebabkan kenderaan berkenaan terbalik dengan keempat-empat tayarnya berada di atas.

Trak penunda terpaksa mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan kereta berkenaan daripada beranda rumah Hasnah yang hampir roboh akibat rempuhan kuat itu, namun Hasnah tetap bersyukur tiada ahli keluarganya yang tercedera dalam kejadian itu.


Menurut Hasnah, sebelum kejadian, dia berada di ruang tamu sedang menghayun buaian cucunya yang berusia dua tahun manakala anak perempuannya, Nor Asyikin Awang, 36, pula sedang menjemur pakaian di bahagian dapur.


"Akibat terlalu takut, saya tidak mampu berdiri namun tetap mengerah kudrat untuk bangun dan melihat apa yang berlaku sebelum dimaklumkan kejadian sebenar oleh anak perempuan saya yang terlebih dulu keluar menjenguk," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Nor Asyikin berkata, dia terdengar bunyi kuat seperti kereta membrek selama beberapa saat disusuli dentuman kuat dan pada masa sama rumahnya bergegar sebelum dia bergegas keluar melihat apa yang berlaku.


"Saya terkejut mendapati sebuah kereta terperosok dalam keadaan terbalik di bawah beranda rumah yang hampir roboh dan seorang lelaki berada di dalam kereta itu sebelum dia dikeluarkan dengan bantuan orang ramai namun pemandu kereta berkenaan tidak cedera.

"Kejadian ini yang kedua berlaku di rumah kami selepas kejadian pertama pada Februari lalu membabitkan sebuah kereta Proton Satria yang terbabas dan merempuh van milik saya yang diletakkan di depan rumah. Van itu rosak teruk dan tidak boleh digunakan lagi," katanya.


Sementara itu, pemandu Perodua Myvi yang merempuh rumah Hasnah yang hanya ingin dikenali sebagai Rais, 30-an, berkata, sebelum kejadian dia dalam perjalanan ke Yayasan Pahang untuk urusan kerja.


"Setibanya di lokasi kejadian, kereta saya hilang ketika saya cuba mengelak seorang pejalan kaki melintas jalan," katanya yang tidak cedera, namun masih trauma dengan kejadian itu.

Ugut sebar gambar bogel

Posted: 30 Sep 2011 11:55 AM PDT

KUALA LUMPUR: Rakaman gambar bogel mangsa di depan kamera web turut menjadi alat lelaki Nigeria memeras ugut wanita tempatan bagi mendapatkan wang.

Ketua Unit Keselamatan Siber, Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Superintendan Victor Sanjos berkata, tindakan itu menunjukkan anggota sindiket penipuan itu semakin berani dan tidak lagi sekadar melakukan jenayah kolar putih.

"Selepas memerangkap mangsa dengan ayat-ayat cinta, mereka meminta mangsa berhubung menggunakan kamera web, tetapi mereka sendiri tidak menunjukkan identiti sebenar dengan alasan tidak mempunyai peralatan itu.

"Mangsa yang sudah hanyut dengan cinta palsu suspek dipujuk berbogel depan kamera web sebelum suspek merakam aksi berahi pasangan mereka itu," katanya.


Menurutnya, selepas itu, suspek menyamar sebagai individu lain dan mendakwa mempunyai rakaman gambar bogel mangsa dan memeras ugut mereka.


Katanya, akibat takut gambar bogel mereka disebarkan, mangsa sanggup membayar wang ribuan ringgit kepada suspek tanpa menyedari mereka diperalatkan kekasih maya terbabit.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan