Sabtu, 1 Oktober 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


SPRM harap bilik VIR dapat tangkis tohmahan

Posted: 01 Oct 2011 03:25 AM PDT

Mutakhir

IPOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berharap bilik rakaman percakapan atau temuduga berkamera video (VIR) yang diwujudkan di semua pejabatnya dapat menangkis tohmahan yang sering dilemparkan kepada agensi itu, berkaitan penderaan, paksaan, dorongan dan ugutan terhadap saksi atau suspek semasa proses siasatan dijalankan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed, berkata bilik tersebut adalah antara kaedah bagi menunjukkan kepada masyarakat ketelusan SPRM ketika menjalankan siasatan.

Katanya, kompleks pejabat SPRM Perak adalah yang pertama mempunyai kemudahan empat unit bilik VIR yang akan digunakan bagi temuduga saksi dan suspek. "Rakaman akan dibuat menggunakan dua kamera video yang merekodkan secara langsung segala percakapan dan perlakuan suspek dan pegawai penyiasat.

"Rakaman dibuat pada tiga unit alat perakam berasingan yang akan diberikan kepada pihak tertuduh, pendakwaan dan untuk tujuan siasatan lanjut pengawai penyiasat," katanya ketika berucap di perasmian kompleks pejabat SPRM Perak di sini hari ini.

Abu Kassim juga berharap kewujudan 14 Mahkamah Khas bagi membicarakan kes berkaitan rasuah di seluruh negara mulai April lalu dapat menyelesaikan lebih banyak kes.

Beliau berkata, SPRM juga mewujudkan satu pangkalan data pesalah rasuah melalui data yang dinamakan 'name dan shame' yang dipaparkan di portal SPRM dan ia boleh dilihat oleh sesiapa sahaja.
Katanya, langkah itu bertujuan mendedahkan individu yang disabitkan dengan kesalahan rasuah, selain memberi peringatan kepada orang ramai mengenai kesan dan hukuman akibat gejala rasuah.

"Ini adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan namun ia akan gagal jika masyarakat sendiri enggan bekerjasama dengan SPRM. Orang ramai perlu menjadi ejen perubahan kepada budaya hidup tanpa rasuah. Hindarkan diri daripada amalan meminta-minta dan menerima sesuatu yang bukan hak kita," katanya.

Kompleks pejabat SPRM Perak bernilai RM24.7 juta yang siap pada 29 Oktober tahun lalu itu dilengkapi auditorium, dewan, gudang sita dan lokap. - BERNAMA


Hanya kerajaan boleh edar borang tanah: Adnan

Posted: 01 Oct 2011 03:01 AM PDT

Mutakhir

RAUB: Kerajaan negeri Pahang tidak pernah melantik mana-mana individu atau kumpulan bagi mewakilinya mengedar borang pemilikan tanah termasuk tanah milik FELDA Plantation.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, menegaskan hanya pihak kerajaan yang boleh mengedar atau memberikan borang itu.

Justeru, beliau menyifatkan tindakan Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (ANAK) serta parti pembangkang yang mengedar borang berkenaan di beberapa kawasan di negeri itu sebagai tindakan karut. "Ia adalah kerja gila dan tidak masuk akal, mana boleh kumpulan atau orang lain mengedar borang tanah melainkan kerajaan negeri sahaja," katanya kepada pemberita di sini.

Adnan berkata, Pahang mempunyai keluasan 3.5 juta hektar tanah termasuk bukit bukau, kawasan tadahan air dan ladang.

"Jika tanah itu dibahagikan dua hektar seorang kepada kira-kira 1.5 juta penduduk negeri ini, sudah tentu ia tidak mencukupi, malah tanah FELDA Plantation pun jika dibahagikan tidak cukup," katanya.

Sehubungan itu beliau meminta peneroka FELDA terutama generasi kedua dan ketiga agar tidak mudah terpedaya dengan taktik itu yang semata-mata bertujuan menarik sokongan dan undi menjelang pilihan raya umum akan datang. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan