Sabtu, 10 Mac 2012

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Pelaburan RM1 bilion di Perak

Posted:

Pelaburan RM1 bilion di Perak

Pelaburan RM1 bilion di Perak

utusanperak@utusan.com.my">

LUMUT 9 Mac – Syarikat pengeluar lokomotif elektrik terbesar dunia, China South Locomotive & Rolling Stock Corporation Ltd. (CSR Corporation) akan melabur sehingga RM1 bilion bagi membina pusat mengilang dan penyelenggaraan kereta api di Batu Gajah, dekat sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi CSR Corporation, Zhao Xiaogang kepadanya semasa pertemuan dengan delegasi pelabur dari China di Sitiawan di sini hari ini.

"Mereka (CSR Corporation) sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan dan kita sedang berbincang lagi daripada aspek keseluruhan (projek), tetapi pada dasarnya saya boleh katakan mereka telah memilih Batu Gajah sebagai lokasi membina kemudahan itu.

"Syarikat itu menjangka pelaburan awal sebanyak RM500 juta dan akan mencecah lebih RM1 bilion dan ia akan terus meningkat kerana ia industri pembuatan dan perkhidmatan kereta api untuk negara dan rantau Asia Tenggara," katanya selepas bertemu dengan sekumpulan pelabur dari republik berkenaan di Sitiawan di sini hari ini.

Turut serta dalam pertemuan itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Menurut Zambry, perbincangan mengenai pelaburan itu kini di peringkat akhir dan pengumuman selanjutnya akan dibuat kemudian.

"Kerja-kerja untuk penyelengaraan dan pembuatan koc-koc baharu akan dilaksanakan di Malaysia iaitu Perak dan seterusnya ia juga membabitkan pasaran di rantau Asia Tenggara," katanya.

Beliau berkata, pelaburan tersebut merupakan satu bentuk pelaburan langsung asing ke negara ini hasil beberapa siri perbincangan antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan Kementerian Pengangkutan.

Zambry berkata, fasa pertama projek itu akan menyediakan kira-kira 500 peluang pekerjaaan dengan sebahagian besar akan diisi pekerja tempatan.

Patuhi peraturan jalan raya - Raja Muda Perlis

Posted:

Patuhi peraturan jalan raya - Raja Muda Perlis

Patuhi peraturan jalan raya - Raja Muda Perlis


TUANKU Faizuddin Putra Jamalullail memakaikan topi keledar kepada seorang penunggang motosikal selepas solat Jumaat di Masjid Jelempok, Arau, semalam. - utusan/Faizal Abu Hassan


ARAU 9 Mac - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini mengingatkan rakyat supaya mematuhi peraturan dan keselamatan jalan raya, walaupun pada jarak perjalanan yang dekat, termasuklah juga untuk ke masjid atau surau.

Sehubungan itu titah baginda, semua pihak perlu peka serta tidak perlu mengambil ringan terhadap Kempen Pakai Topi Keledar dan juga Pakai Tali Pinggang Keledar.

"Masyarakat perlu sedar akan kesan tidak mematuhinya, termasuk risiko kecederaan parah atau maut lebih tinggi, meningkatkan kadar statistik kematian dan kehilangan besar dalam perolehan sumber tenaga manusia dalam konteks sosioekonomi," titah baginda.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah demikian pada majlis kempen tersebut yang dianjurkan oleh MAIPs di Masjid Al-Barakah, Jelempok di sini hari ini.

Syed Faizuddin menasihatkan penunggang dan pembonceng motosikal memakai topi keledar yang mematuhi piawaian ditetapkan oleh Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

"Pastikan juga tali topi keledar tersebut diikat sebaiknya di samping diselenggara dengan baik," titah baginda.

Titah baginda, penggunaan 'topi kura-kura' adalah dilarang sama sekali.

"Ibu bapa perlu meminta anak-anak mereka memakai topi keledar yang betul dan sesuai dengan peringkat umur," titah baginda.

Bagi yang berkereta pula, titah baginda, bukan sahaja pemandu atau penumpang di hadapan perlu mengenakan tali pinggang keledar ini, malah penumpang di belakang juga perlu berbuat demikian.

"Ini kerana impak atau kesan ketika berlaku pelanggaran, penumpang di belakang akan terhumban ke hadapan dengan kekuatan 40 kali ganda daripada berat penumpang tersebut," jelas baginda.

Siling JTG Kangar runtuh akibat hujan lebat

Posted:

Siling JTG Kangar runtuh akibat hujan lebat

Siling JTG Kangar runtuh akibat hujan lebat

KANGAR 9 Mac – Kakitangan Jabatan Tanah dan Galian (JTG) di Jalan Penjara di sini yang baru hendak memulakan tugas semalam, terkejut apabila mendapati siling di Unit Pembangunan Tanah di tingkat satu bangunan itu runtuh.

Kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 7.30 malam kelmarin ketika hujan lebat melanda negeri ini.

Kejadian itu mengakibatkan air dari talang air hujan atau gutter yang tersumbat melimpah ke ruang siling.

Pengerusi Jawatankuasa Tanah, Perhutanan, Alam Sekitar dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mat Rawi Kassim berkata, limpahan air dari siling yang runtuh itu juga telah menyebabkan lantai pejabat ditakungi air hujan di semua unit kecuali Unit Pentadbiran/Kewangan.

"Ia menyebabkan banyak peralatan pejabat yang rosak terutamanya perkakas komputer dan dokumen yang terdapat di unit tersebut," katanya pada sidang akhbar di jabatan tersebut di sini semalam.

Turut hadir Pengarah JTG Perlis, Hisan Abdullah.

Katanya, Jabatan Kerja Raya telah memanggil kontraktor dan kerja-kerja awal seperti pembersihan dilakukan dengan serta-merta termasuk kawalan sistem elektrik.

"Kerja-kerja pembaikan akan dilaksana oleh kontraktor dan dijangka akan siap pada minggu ini," katanya.

Jelasnya, setakat ini, sistem pendaftaran berkomputer dan sistem pungutan hasil tanah diberhentikan buat sementara waktu di atas nasihat JKR Bahagian Letrik untuk mengelak daripada berlakunya litar pintas.

Katanya, semua urusan pejabat berjalan seperti biasa kecuali di Unit Pendaftaran.

"Unit niaga dan bukan urus niaga tidak dapat dilaksanakan memandangkan operasi bilik server ditutup," katanya.

Katanya, sebagai tindakan jangka panjang arahan juga telah diberikan kepada JKR untuk menjalankan pemeriksaan menyeluruh bangunan yang telah diduduki sejak tahun 1985 bagi mengelak kejadian itu berulang pada masa akan datang.

Orang ramai boleh membuat urusan seperti biasa pada Isnin depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan