Selasa, 6 Mac 2012

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


30 peniaga kesal MPK tidak tepati janji

Posted:

30 peniaga kesal MPK tidak tepati janji

30 peniaga kesal MPK tidak tepati janji


Sebahagian daripada peniaga menunjukkan surat daripada Majlis Perbandaran Kangar yang mengarahkan mereka berpindah dari gerai sedia ada ke tapak baru yang belum siap di Kuala Perlis, semalam.


KANGAR 5 Mac - Kira-kira 30 peniaga makanan dan buah-buahan di jeti Kuala Perlis membantah tindakan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) kerana gagal menyediakan gerai di tapak baru sedangkan mereka telah menerima notis perpindahan berkuat kuasa esok.

Wakil peniaga, Shahrul Nizam Omar, 36, berkata, notis tarikh perpindahan itu diterima oleh peniaga berkenaan pada 2 Mac lalu.

"Apa yang dikesalkan, kami hanya disediakan dengan tapak kosong sedangkan notis perpindahan tidak sampai 24 jam lagi," katanya ketika ditemui di tapak baru yang disediakan oleh MPK bersebelahan dengan stesen bas ekspres.

Beliau berkata, kebanyakan daripada peniaga yang terlibat adalah yang menjual makanan. Mereka berhadapan dengan masalah untuk meletakkan perkakas memasak.

"Takkan kami (peniaga) hendak letak segala peralatan ini seperti dapur, tong gas dan kerusi meja di kawasan terbuka ini apabila berpindah esok kerana pastinya barangan ini dicuri," katanya.

Shahrul Nizam berkata, Yang Dipertua MPK, Rosly Mat dalam satu pertemuan dengan peniaga berkenaan pada Disember lalu telah berjanji akan menyediakan gerai berbumbung serta kemudahan air dan api kepada mereka.

Tambahnya, keadaan tapak sekarang pastinya akan menyebabkan para peniaga di situ mengalami kerugian antara 80 hingga 90 peratus sehari sebelum dapat memulakan kembali perniagaan mereka.

"Lebih perit kerana kami (peniaga) terpaksa membina gerai sendiri yang lengkap berbumbung dan berlantai simen. Ia memerlukan perbelanjaan sekurang-kurangnya RM3,000," kata beliau.

Menurut Shahrul Nizam, jumlah itu belum lagi merangkumi perbelanjaan untuk menyediakan bekalan air dan elektrik.

Lebih dikesalkan kata wakil peniaga itu, sepatutnya MPK menyediakan gerai yang sempurna sebelum mengeluarkan notis pindah bagi mengelak peniaga mengalami sebarang masalah dan kerugian.

"Lagipun kami (peniaga) telah membayar harga sewa gerai sebanyak RM120 setiap bulan sejak 14 tahun lalu," katanya.

Beliau menegaskan, peniaga juga tidak puas hati dengan tapak baru berkenaan kerana bukan sahaja jauh dari jeti yang menjadi tumpuan pelancong, malah dipenuhi dengan puluhan ekor anjing liar.

Katanya, lebih menyakitkan mata apabila di tapak ini juga terdapat tandas awam yang dibiarkan dalam keadaan tiada pintu yang pastinya akan menimbulkan rasa tidak selesa kepada bakal pengunjung.

Sementara itu Rosly ketika dihubungi memberitahu, pihaknya cuma berjanji untuk menyediakan tapak, elektrik dan air sahaja ketika pertemuan dengan para peniaga berkenaan baru-baru ini.

Pembangunan semula dipercepat

Posted:

Pembangunan semula dipercepat

Pembangunan semula dipercepat

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUARkhairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 5 Mac - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mahu supaya pelan pembangunan semula 14 pekan kecil di Perak dipercepatkan supaya kesannya boleh dinikmati oleh penduduk di kawasan terbabit dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun akan datang.

Menurut beliau, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) telah diminta menjalankan kajian terperinci berhubung pelan pembangunan di kawasan berkenaan supaya sebarang program yang akan dilaksanakan kelak mampu memenuhi keperluan penduduk setempat.

"Kita tidak mahu kajian ini hanya tinggal kajian sahaja. Justeru itu, pasukan khas bagi memantau perkembangan ini melibatkan pegawai daerah dan Yang Dipertua (pihak berkuasa tempatan) sudah ditubuhkan dan saya sendiri mempengerusikan mesyuaratnya setiap bulan.

"Selain itu, kita juga mahu Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menyediakan pelan perancangan di kawasan utara melibatkan Parit Buntar, Bagan Serai, Gerik, Lenggong dan sebahagian kawasan Kuala Kangsar bagi membantu pertumbuhan pekan kecil," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu ramah dalam program Selamat Pagi Perak yang disiarkan secara langsung di Perak FM di sini hari ini.

Zambry berkata, pembangunan semula 14 pekan kecil terbabit bertujuan mengimbangi pembangunan serta agihan ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar di negeri ini.

Sebanyak 14 pekan kecil yang dikenal pasti ialah Tapah, Lawin, Gugusan Majoi, Changkat Lada, Ijok, Bandariang, Changkat Tin, Trong, Lekir, Batu Kurau, Sauk, Kati, Pengkalan Pegoh dan Kubu Gajah.

Beliau menjelaskan, pembangunan semula yang dirangka di bawah pelan Perak Amanjaya itu akan memberi penekanan terhadap potensi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sekali gus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat.

"Kita juga ada menerima cadangan untuk membangunkan sekali Tanjung Rambutan. Namun, apa yang penting di sini adalah kita mewujudkan semula permintaan dari segi ekonomi terutamanya melibatkan pekan-pekan 'mati'.

"Dahulunya, pekan-pekan ini menjadi laluan utama, namun selepas lebuh raya dibuka, kawasan ini kelihatan seperti tertinggal dan terbiar selain terdapat banyak bangunan yang usang," katanya.

Didik masyarakat kitar semula

Posted:

Didik masyarakat kitar semula

Didik masyarakat kitar semula

Oleh MALINDA ABDUL MALIK
utusanpenang@utusan.com.my


Kedai Value de Cash milik Susan Cante Moey menjadi tarikan kepada semua golongan termasuk pelancong asing di Kompleks Tun Abdul Razak, Pulau Pinang, baru-baru ini. - UTUSAN/MALINDA ABDUL MALIK


PULAU PINANG 5 Mac - Kebanyakan kita membuang begitu sahaja barang-barang lama yang mungkin sudah bosan dipandang atau dianggap ketinggalan zaman jika digunakan.

Namun, bagi Susan Cante Moey, 32, dia menjadikannya sebagai punca pendapatan dengan mengutip dan menjual semula barangan tersebut kepada orang ramai.

Katanya, dia mengamalkan konsep perniagaan yang berbeza kerana selain berniaga secara langsung, dia juga mengajar orang ramai tentang kitar semula barangan yang tidak diingini.

"Kalau ada pelanggan yang datang menjual barangan terpakai di kedai saya, saya akan membelinya.

"Ia secara tidak langsung mengajar masyarakat mengitar semula, sekali gus mengurangkan pelupusan sampah yang boleh menyebabkan pencemaran," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kedainya, Value de Cash di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini baru-baru ini.

Sebut apa sahaja barangan yang diinginkan, semua boleh didapati di kedainya.

Antaranya majalah, kasut, baju, kaset, cakera padat (CD) muzik era 70-an, patung dan barangan elektrik.

Kebanyakan barangan berjenama serta perabot yang dijualnya dibeli daripada rakyat tempatan termasuk premis yang diisytihar muflis.

Ditanya sambutan orang ramai terhadap kedainya, dia memberitahu, setakat ini amat menggalakkan.

"Barangan terpakai biasanya mempunyai pengikut tersendiri.

"Kebanyakan pelanggannya teruja melihat barangan yang dipamerkan kerana kebanyakannya jarang boleh didapati.

"Bagi yang bijak memilih, mereka mungkin boleh memperoleh barangan yang jauh lebih murah daripada yang dijual di pasar raya,'' katanya.

Pelanggan yang mengunjungi kedai Susan datang daripada golongan muda sehingga warga emas termasuk pelancong asing.

"Mungkin segelintir masyarakat menganggap barangan terpakai tidak berkualiti atau barangan curi menyebabkan ia dijual murah, tetapi hakikat itu tidak benar," ujarnya.

Dia mengusahakan kedai Value de Cash sejak dua tahun lalu dan kedainya bukan sahaja menawarkan barangan pada harga berpatutan, malah pelanggan boleh tawar-menawar.

Lebih menarik, golongan warga emas berpeluang mendapat potongan sehingga 25 peratus pada setiap Selasa.

"Melihat kepada sambutan yang diterima, saya menganggap ini juga sebagai tanggungjawab sosial saya kepada masyarakat, khususnya golongan kurang berkemampuan," jelasnya.

Sebelum mengakhiri pertemuan, Susan berpesan kepada orang ramai untuk mengunjungi kedainya jika ada masa terluang.

"Bagi yang mahu menjual barangan, mereka boleh menghubungi saya di talian 016-4973637 dan saya akan ke tempat mereka jika kuantiti yang ditawarkan memenuhi kriteria kami," katanya.

Kedai Value de Cash terletak di Lot IC-2-06, Komtar, Pulau Pinang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan