Selasa, 6 Mac 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Pasar sepi pengunjung

Posted: 05 Mar 2012 09:36 AM PST

GOMBAK: Pasar Besar Gombak di sini yang lebih 30 tahun beroperasi tidak lagi semegah seperti pada 80-an apabila kini semakin sepi daripada kunjungan orang ramai.

Tinjauan Harian Metro mendapati banyak kedai di tingkat atas pasar itu ditutup dan pemilik tidak mahu mengambil risiko kerugian, sebaliknya mereka menjadikan ruang di pintu hadapan pasar untuk menjalankan urus niaga walaupun ramai pihak tidak berpuas hati dengan tindakan sedemikian.


Peniaga yang mahu dikenali sebagai Munah, 54, berkata sejak lebih lima tahun lalu, pasar ini tidak lagi menerima kehadiran ramai pengunjung dan peniaga seakan berputus asa untuk menguruskan perniagaan kerana semakin hilang tarikan untuk dikunjungi.

Menurutnya, pasar yang diurus Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu juga mengalami beberapa masalah dari segi infrastruktur.


Katanya, disebabkan masalah itu, peniaga membuka kedai di ruang legar selain ada yang menyewakan premis kepada orang luar dengan harga RM250 hingga RM300.


"Jika kami tidak buat begini, macam mana mahu dapat untung kerana pasar ini sudah seperti 'hidup segan mati tak mahu'. Lagipun pihak terbabit tiada perancangan langsung mahu membantu peniaga mempromosikan pasar ini dan hanya mahu mengutip sewa setiap bulan.

"Tapak di depan ini kami sewa dengan DBKL walaupun mendapat bantahan pemilik kedai lain kerana menghalang laluan orang ramai. Walaupun setiap hari terpaksa mengangkat barang-barang untuk dipindah ke situ, tetapi kami tidak kisah," katanya ketika ditemui.


Menurutnya, ada di kalangan mereka yang 'mengalibabakan' lesen perniagaan kepada orang luar dan keadaan itu seperti tidak dapat dihidu pihak berkuasa.

"Keuntungan yang diterima tidak seberapa berbanding dulu. Jika sebelum ini jam 7 atau 8 malam kami tutup kedai, tetapi sekarang jam 3 atau 4 petang kami semua beredar kerana tiada pelanggan.


"Jadi tidak mustahil peniaga memberikan lesen perniagaan kepada orang luar, paling tidak dapat juga untung RM200 hingga RM300 sebulan. Hendak mengharapkan untung hasil daripada jualan tidak memadai," katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan Sosio Ekonomi ) DBKL, Datuk Amin Nordin Abd Aziz berkata, pihaknya akan melaksanakan pemeriksaan secara menyeluruh dalam tempoh terdekat bagi mengenal pasti permasalahan yang wujud di pasar bawah penyelenggaraan DBKL itu.


Katanya, Pasar Besar Gombak, Pasar Taman Tun Dr Ismail dan Pasar Besar Cheras antara yang tersenarai dalam bancian DBKL dan sekiranya ada penyewa berlesen yang melanggar arahan pengurusan, tindakan tegas bakal diambil dengan menamatkan lesen perniagaan mereka.



Jimmy mengaku tampar isteri

Posted: 05 Mar 2012 09:33 AM PST

SHAH ALAM: "Kami sudah ada masalah daripada hari pertama perkahwinan," kata pengacara Jimmy Shanley ketika memberi keterangan di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.

Jimmy berkata perkahwinan dengan isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy adalah atas dasar suka sama suka dan ia permintaan ibu mentuanya selepas dia dan isteri berkenalan enam bulan sebelum diijab kabul.

Bagaimanapun, dalam keterangannya semalam Jimmy mengakui dirinya sering diabaikan Nursuhaila selaku defendan dalam kes yang lebih banyak meluangkan masa bersama rakan-rakan berbanding suami.

Menurutnya, dia pernah menampar Nursuhaila dua kali iaitu pada hari ketiga perkahwinan mereka dan kali kedua pada 19 Oktober 2010 ketika mereka berbulan madu di Koh Samui, Thailand.


Jimmy berkata mengikut perancangan awal mereka dijadualkan berbulan madu empat hari iaitu dari 18 hingga 21 Oktober 2010, bagaimanapun pada hari ketiga di sana, Nursuhaila pergi ke Bangkok, Thailand tanpa izinnya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan