Khamis, 8 Mac 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Terkandas jalan tenggelam

Posted: 07 Mar 2012 02:21 PM PST

KUALA LUMPUR: Ribuan kenderaan dan orang ramai terkandas di sekitar ibu kota akibat banjir kilat di beberapa jalan utama berikutan hujan lebat sejak lewat petang semalam.

Selain beberapa jalan utama di pusat bandar, turut dilaporkan kejadian pokok tumbang dan kemalangan kecil membabitkan kenderaan ringan akibat jalan dinaiki air.


Tinjauan Harian Metro mendapati, antara kawasan terjejas ialah Jalan Pudu, Jalan Istana, Jalan Bukit Bintang, Jalan P Ramlee dan beberapa kawasan di Ampang terutama Bukit Belacan dan Lembah Jaya dinaiki air sehingga ke paras pinggang akibat hujan lebat tanpa henti sehingga jam 9 malam tadi.

Jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, antara jalan yang terjejas teruk dalam kejadian banjir kilat ialah Jalan Travers, Jalan Bangsar-Mahameru, Jalan Silang manakala beberapa kawasan di Ampang termasuk Desa Pahlawan, Hiliran Ampang serta jalan Hulu Langat dinaiki air sehingga ke paras lutut.


Menurutnya, sebuah kereta dan motosikal terbabit kemalangan sebelum terhumban ke dalam longkang di hadapan Balai Polis Travers, bagaimanapun tiada kejadian yang tidak diingini berlaku kerana kedua-dua pemandu dan penunggang motosikal diselamatkan.


Katanya, pihaknya sudah menghantar skuad bantuan ke semua kawasan termasuk meminta bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memutuskan bekalan elektrik di kawasan yang mengalami kejadian pokok tumbang seperti Jalan Silang bagi memudahkan proses pembersihan kawasan dijalankan.

Sementara itu, Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata, hujan lebat di ibu kota menyebabkan Jalan Sultan Ismail ditutup kepada kenderaan ringan, namun kembali dibuka sepenuhnya mulai jam 10 malam tadi.


Beliau berkata, empat jalan utama mengalami kesesakan teruk sejak petang semalam iaitu Jalan Raja Chulan, Jalan Naga Sari, Jalan Dato' Onn dan Jalan Sultan Ismail.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya sudah menggerakkan semua jentera bomba di kawasan terjejas teruk untuk menyalurkan bantuan bagaimanapun, sehingga kini tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat kejadian terbabit.



Pelajar mati tertimbus

Posted: 07 Mar 2012 02:11 PM PST

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar, Raja Mohd Irfan Raja Mohd Azlan, 13, tertimbus dari paras pinggang ke bawah selama lebih 10 minit sebelum diselamatkan jiran dalam kejadian tanah runtuh di rumahnya di Kuarters Kerani Polis, Jalan Belfield Off Jalan Maharajalela, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian hujan lebat jam 9.20 malam itu, mangsa berada di belakang rumah sebelum diarah bapanya masuk ke dalam rumah berikutan hujan semakin lebat.


Bagaimanapun, ketika mahu masuk ke dalam rumah, tiba-tiba tanah di tebing belakang rumah yang terletak lima meter dari rumah mangsa runtuh dan menimbus separuh badan mangsa termasuk muka.

Keadaan itu menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri.


Ibu bapa mangsa yang menyedari kejadian itu menjerit meminta tolong.


Jiran mangsa, Zaharah Hashim, 54, berkata dia yang pada mulanya menyangka bunyi bising yang didengari dari belakang rumah kerana dipecah masuk pencuri, tetapi selepas terdengar jeritan meminta tolong, dia keluar melihat apa yang berlaku.

Katanya, dia ternampak muka anak jirannya diliputi tanah dan menghubungi ambulans bagi meminta bantuan.


"Sebaik dikeluarkan, mangsa yang tidak sedarkan diri diberi bantuan oleh paramedik dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Mangsa yang berjaya diselamatkan dihantar ke HKL untuk rawatan lanjut," katanya.


Bagaimanapun, mangsa dilaporkan meninggal dunia pada jam 11.50 malam tadi.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan