Selasa, 13 Mac 2012

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


Dirang dibunuh

Posted: 12 Mar 2012 11:27 AM PDT

JOHOR BAHRU: Misteri kehilangan kanak-kanak berusia lima tahun, Nurul Nadirah Abdullah, dari kediamannya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam pada 1 Mac lalu terjawab apabila polis mengesahkan dia mati dibunuh.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, mayat rentung yang ditemui berhampiran kediaman berkenaan pada 8 Mac lalu dikenal pasti sebagai mayat Nadirah atau lebih mesra dipanggil Dirang.


"Kami menemui satu mayat rentung di Nusa Damai di sini, pada 8 Mac lalu dan siasatan di lokasi kejadian berjaya menemui serpihan tulang.

"Kami juga berjaya mendapatkan sampel deoxyribonucleic asid (DNA) daripadanya. Ia dihantar ke makmal dan hasilnya mendapati ia sepadan dengan DNA ibu mangsa," katanya, di sini, semalam.


Menurut Roslan, siasatan awal mendapati rangka berkenaan adalah milik manusia dewasa, tetapi selepas siasatan lanjut dijalankan, ia sebenarnya milik kanak-kanak malang itu.


"Berikutan pengesahan DNA itu, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh berbanding sebelum ini yang disiasat atas aduan orang hilang.

"Semua empat individu termasuk bapa kandung mangsa yang ditahan sebelum ini akan dilanjutkan tempoh tahanan reman bagi membantu siasatan," katanya.


Menurut Roslan, pihaknya juga belum dapat memastikan motif sebenar kejadian.

Roslan berkata, berdasarkan pemeriksaan di lokasi kejadian, mayat yang ditemui pada 8 Mac lalu itu rentung teruk hingga menyukarkan pihaknya membuat pengecaman.


Sebelum ini, penemuan serpihan rangka manusia di dalam kawasan ladang kelapa sawit Nusa Damai pada 8 Mac lalu menggemparkan penduduk sekitar kerana menyangka ia milik Dirang.


Rangka manusia yang awalnya disangka dewasa dibakar hingga rentung itu ditemui di dalam sebuah lubang oleh orang awam sebelum memaklumkannya kepada polis.


Siasatan awal polis mendapati serpihan rangka manusia berkenaan sudah dibakar lebih dari lima hari hingga menyukarkan proses untuk mengenal pasti identiti dan jantinanya.



‘Saya nak bersama dia’

Posted: 12 Mar 2012 11:20 AM PDT

KUALA LUMPUR: "Saya tahu dia tak berniat nak tinggalkan saya. Selepas ini, saya nak tinggal dengan dia kerana hanya dia yang saya ada di dunia ini. Terima kasih kepada semua, dapat jumpa dia (anak)," kata Faridah Maulud ketika dipertemukan dengan anaknya buat pertama kali semalam sejak ditinggalkan 10 hari lalu.

Dalam pertemuan penuh sayu itu, kedua-dua mereka dilihat tidak berenggang dengan sesekali anaknya, Amir Mohd Omar, 27, menyeka air mata di pipi ibu berusia 66 tahun itu sambil menerangkan dia tidak meninggalkan ibunya sendirian, tetapi terpaksa berbuat demikian atas faktor kesihatan.


Menafikan anaknya sengaja berbuat demikian, Faridah berkali-kali menyatakan yang dia tahu anaknya mengalami masalah kesihatan dan dia sendiri bersetuju untuk dibawa ke sebuah hotel berhampiran Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi memudahkan mereka berdua menerima rawatan.

"Dia ada beritahu saya yang dia nak ke hospital, jadi lebih elok saya ikut dia ke sana kerana takut tinggal berseorangan di rumah di Wangsa Maju kerana baru-baru ini ada kes pergaduhan di situ.


"Cumanya, saya tidak tahu ke mana dia pergi selepas tiga hari tak muncul, tapi dia ada tinggalkan sedikit wang untuk membeli makanan. Hari ini baru dapat jumpa," katanya ketika ditemui semalam.


Pertemuan itu diadakan hasil inisiatif Harian Metro dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) diketuai pengarahnya, Noormah Abd Rauf.

Sebelum itu, Amir hadir ke pejabat JKM WPKL di sini untuk memberi penjelasan kepada Noormah berhubung tindakannya meninggalkan ibu itu bersendirian sehingga membawa kepada laporan polis yang dibuat penyelia hotel itu pada 8 Februari lalu. Selepas itu, dia di bawa ke Pusat Sehenti Bina Diri di Sungai Buloh untuk bertemu ibunya dan berbincang mengenai kewajaran untuk mengambil semula wanita berkenaan tinggal bersamanya dalam waktu terdekat.


Sebaik melihat kelibat anak tunggalnya itu, Faridah tidak henti-henti menangis dan terpaksa ditenangkan Noormah seketika sebelum perbincangan lanjut mengenai status terkini dirinya.

"Saya hendak tinggal dengan dia kerana dia anak saya. Kalau dapat nanti, saya ingin mengajar al-Quran seperti di kampung sebelum ini. "Saya baca artikel mengenai diri saya, tapi saya tahu anak saya buat yang terbaik untuk saya. Mungkin lebih baik di hotel berbanding di rumah kerana saya tinggal seorang, di hotel orang ramai," katanya.


Sementara itu, Amir berkata, dia bersyukur kerana akhirnya dapat bertemu ibunya dan berterima kasih kepada semua pihak termasuk JKM yang membantu menjaganya sepanjang tempoh itu.


Katanya, ketika ini, fokusnya hanyalah untuk mencari pekerjaan baru selepas berhenti sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta di ibu negara petang kelmarin.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan