Isnin, 12 Mac 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Pekan pusat automotif dunia

Posted: 11 Mar 2012 04:04 PM PDT

Nasional

NAJIB melihat dari dekat kereta Volkswagen Passat selepas melancarkan Volkswagen Passat Pemasangan Tempatan sambil Mohd Kamil Jamil (kiri) pada pelancaran di DRB Hicom Pekan, semalam.

NAJIB melihat dari dekat kereta Volkswagen Passat selepas melancarkan Volkswagen Passat Pemasangan Tempatan sambil Mohd Kamil Jamil (kiri) pada pelancaran di DRB Hicom Pekan, semalam.

Kerajaan ambil pelbagai tindakan termasuk tarik nilai pelaburan besar

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan sedang mengambil pelbagai tindakan termasuk menarik nilai pelaburan besar untuk merealisasikan Pekan sebagai pusat automotif utama antarabangsa.

Perdana Menteri berkata, ia dijangka mewujudkan 10,580 peluang pekerjaan dan akan menyumbang RM12 bilion kepada pendapatan negara kasar menjelang 2015. Beliau berkata, usaha transformasi itu membolehkan Pekan digelar hab automotif yang terkenal terutama bagi kerja pemasangan kereta, pembuatan dan komponen serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Malah, katanya, suntikan pelaburan RM1 bilion menerusi usaha sama DRB-HICOM Berhad dan Volkswagen bagi tempoh empat tahun adalah antara tindakan diambil kerajaan bagi tujuan itu.

"Projek usaha sama dimeterai Disember 2010 sebenarnya banyak memberi manfaat kepada kita seperti mewujudkan peluang pekerjaan dan menyumbang pendapatan kepada warga tempatan.

"Jumlah pekerja DRB-HICOM yang ketika ini 2,300 akan bertambah 3,300 dan Pekan juga sedang dibangunkan menjadi sebahagian kelompok bandar pertumbuhan pembangunan merangkumi Kuantan, Gebeng dan Gambang sama seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
"Kita boleh lihat transformasi ini secara berperingkat menerusi kemudahan prasarana rangkaian jalan raya lebih baik, perkhidmatan jalur lebar untuk teknologi maklumat, institusi pengajian tinggi, penjagaan kesihatan dan kemudahan lain yang semuanya untuk keselesaan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran kereta Volkswagen Passat pemasangan tempatan di Kompleks Automotif DRB-HICOM, di sini, semalam.

Setakat ini, 300 unit Volkswagen Passat 1.8TDI pemasangan tempatan sudah dihasilkan di Kompleks Automotif DRB-HICOM, yang mengikut standard kualiti yang ketat.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Pengerusi DRB-HICOM, Syed Mohamad Syed Murtaza, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil, Ketua Perkilangan Luar Negara Kumpulan Volkswagen AG, Dr Christof Spathelf dan Ketua Operasi Komersial China/ASEAN Volkswagen, Wei Ming Soh.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, untuk industri automotif mengekalkan daya saing, mereka perlu melakukan penstrukturan semula bagi menghasilkan produk secara besar-besaran.

Sementara itu, ketika melancarkan program Vitamin 1Malaysia peringkat kebangsaan, penyampaian sumbangan program Yayasan Pembangunan 1Malaysia Berhad (Yayasan 1MDB) serta penyampaian ang pau Tahun Baru Cina, di Dataran Pekan, beliau berkata pelbagai sumbangan dan bantuan berterusan diberi kepada rakyat adalah hasil kemampuan kerajaan mengurus tadbir serta menjana keuntungan negara secara berhemat dan bijak.

Sebanyak 7,321 sekolah seluruh negara dengan 516,472 pelajar terbabit dalam program Vitamin 1Malaysia, bagi membantu meningkatkan tumbesaran dan taraf pemakanan, seterusnya kecemerlangan pencapaian akademik pelajar.

Bantu tingkat pendidikan negara

Posted: 11 Mar 2012 04:02 PM PDT

Nasional

MOHD SANI Jantan     menjulang   Piala Pusingan Golf Amal 1Malaysia  yang disampaikan   Muhyiddin   pada Majlis Golf Amal 
1Malaysia Alumni dan PIBG Sekolah Tinggi Muar di A'Famosa Resort, dekat  Alor Gajah, semalam.

MOHD SANI Jantan menjulang Piala Pusingan Golf Amal 1Malaysia yang disampaikan Muhyiddin pada Majlis Golf Amal 1Malaysia Alumni dan PIBG Sekolah Tinggi Muar di A'Famosa Resort, dekat Alor Gajah, semalam.

TPM minta pihak berkaitan beri idea terbaik lahirkan modal insan berkualiti

ALOR GAJAH: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak semua pihak yang terbabit dalam bidang pendidikan termasuk guru, bekas guru, alumni sekolah, ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memberi idea atau pandangan terbaik masing-masing dalam membantu meningkatkan sistem pendidikan negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pendapat semua pihak terbabit diperlukan Kementerian Pelajaran untuk melahirkan modal insan berkualiti pada masa depan. Sehubungan itu, katanya kementerian menganjurkan program Sesi Dialog Pendidikan Kebangsaan (SDPK) di seluruh negara, bulan depan bagi membolehkan buah fikiran mereka dikumpulkan.

"Kerajaan ingin mengajak semua yang terbabit dalam bidang pendidikan supaya memberi idea dan cadangan bernas, selain cara bagaimana untuk memperbaiki dan meningkatkan tahap pendidikan di negara ini pada masa akan datang.

"Justeru, kita (Kementerian Pelajaran) akan mengadakan road show di seluruh negara untuk mengadakan sesi dialog dengan mereka," katanya pada Majlis Golf Amal 1Malaysia Alumni dan PIBG Sekolah Tinggi Muar di A'Famosa Resort, dekat sini, semalam.

Pada majlis itu, Yayasan Golf Amal Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMYCF) menyampaikan sumbangan sebanyak RM30,000 manakala Leong Hup Holdings, RM24,000 dan Maha Persada Group Sdn Bhd, RM20,000 kepada alumni sekolah berkenaan.
TSMYCF diwakili ahli majlisnya, Datuk Haris Ismail, manakala Leong Hup Holdings, Pengerusinya, Tan Sri Francis Lau dan Maha Persada Group Sdn Bhd oleh Pengarah Urusannya, Datuk Yusuf Abu Bakar.

Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan sebelum ini memutuskan untuk mengkaji semula sistem pendidikan negara, meskipun sejak berpuluh tahun lalu berjaya melaksanakan dengan jayanya.

Beliau berkata, proses merealisasikan usaha itu dimulakan di peringkat kementerian dengan satu pasukan pakar ditubuhkan mengkaji semua aspek sistem pendidikan negara.

"Disebabkan situasi global yang lebih kompetitif, negara memerlukan masa depan lebih terjamin menerusi usaha melahirkan modal insan berkualiti. Kita percaya bahawa ada keperluan untuk kita melihat semula sistem pendidikan kita.

"Apa yang dilakukan selama ini, dan bagaimana hendak kita menentukan penambahbaikan supaya dalam tempoh beberapa tahun akan datang, kita dapat menggunakan sistem ini (pendidikan) bagi melahirkan modal insan lebih berkualiti," katanya.

Muhyiddin berkata, usaha untuk memperkukuhkan bidang pendidikan negara memerlukan sokongan masyarakat yang sekali gus berperanan mendokong institusi terbabit.

"Dalam usaha sebegini, perkara utama adalah memperkukuhkan bidang pendidikan dan bagaimana peranan masyarakat untuk mendokong institusi ini.

"Sebab itulah, usaha yang kita adakan pada hari ini (Golf Amal) adalah sebagai satu daripada inisiatif iaitu sumbangan daripada ibu bapa, pendokong dan alumni bagi sesebuah sekolah mencapai kejayaan lebih tinggi," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan