Khamis, 8 Mac 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


CUEPACS anggap isu SBPA selesai

Posted: 08 Mar 2012 01:25 PM PST

Nasional

KAKITANGAN Imigresen Malaysia gembira selepas Najib umum 13 peratus kenaikan untuk kakitangan awam  di Putrajaya, semalam.

KAKITANGAN Imigresen Malaysia gembira selepas Najib umum 13 peratus kenaikan untuk kakitangan awam di Putrajaya, semalam.

Kongres gembira sebahagian besar tuntutan kakitangan awam dipenuhi

PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menganggap isu dan polemik mengenai Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) selesai selepas ia dibatalkan dan penggajian diteruskan mengikut Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengenai perkara itu melegakan dan menggembirakan lebih 1.4 juta penjawat awam di seluruh negara.

Kita harap selepas ini, kakitangan kerajaan akan lebih fokus kepada tugas masing-masing dan tidak timbul lagi soal tidak puas hati kerana sebahagian besar tuntutan kita sudah dipenuhi. - Datuk Omar Osman, Presiden CUEPACS.

Katanya, kenaikan gaji itu adalah adil dan saksama serta memberi kebaikan kepada semua penjawat awam kerana SBPA membentuk jurang antara kumpulan pengurusan dengan kumpulan utama.

"Kita harap selepas ini, kakitangan kerajaan akan lebih fokus kepada tugas masing-masing dan tidak timbul lagi soal tidak puas hati kerana sebahagian besar tuntutan kita sudah dipenuhi.

"Kalau nak ikut rasa tidak puas hati sampai bila pun masalah tidak selesai... sekarang kita kena jenamakan semua sikap kerana CUEPACS sentiasa berunding untuk menambahbaik gaji kakitangan awam," katanya.

Dalam pada itu, Omar juga gembira kerana kerajaan turut memansuhkan dasar pemisah (exit policy) selari pembatalan dasar SBPA.
Beliau berkata, dengan pelarasan gaji berkenaan, tidak ada lagi kakitangan awam menerima pendapatan kurang daripada gaji minimum swasta yang diumumkan antara RM800 hingga RM1,000 baru-baru ini.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Lok Yim Pheng, berkata laluan kerjaya yang lebih luas bagi guru memberi manfaat kepada lebih 400,000 golongan itu di seluruh negara.

"Langkah ini menunjukkan golongan pendidik tetap diberikan keutamaan oleh kerajaan kerana guru siswazah (Gred DG41) dan bukan siswazah (DG29) kini tidak perlu menunggu sehingga 10 tahun untuk naik pangkat atau gred lebih tinggi," katanya.

Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) pula meminta kerajaan mengawal kenaikan harga barang di pasaran selepas pengumuman Perdana Menteri supaya tidak menjejaskan penjawat awam yang menikmati pelarasan gaji serta kenaikan elaun sara hidup.

Presidennya, Khairil Niza Khairuddin, berkata selain itu KPISM berharap kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan sentiasa berbincang serta berhubung rapat dengan CUEPACS dalam menentukan hala tuju skim perkhidmatan awam yang lebih baik dan jitu pada masa depan.

Sistem banjir perlu diteliti semula: Muhyiddin

Posted: 08 Mar 2012 01:13 PM PST

Nasional

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu sistem pengurusan banjir di Lembah Klang diteliti semula dalam usaha memastikan ia berfungsi dengan berkesan, sekali gus mengelak kehilangan nyawa dan harta benda.

Timbalan Perdana Menteri meminta Kerajaan PKR Selangor bekerjasama dengan Kerajaan Pusat dan agensi berkaitan di Kuala Lumpur bagi mewujudkan penyelarasan terhadap sistem berkenaan.

"Kita kena lihat balik walaupun sudah ada langkah dibuat di sekitar Kuala Lumpur, termasuk pembinaan terowong SMART kerana apa yang berlaku semalam (kelmarin) bukan saja membabitkan bandar raya ini tetapi juga di kawasan pinggiran termasuk, Selangor. "Penting bagi Kerajaan PKR Selangor mengambil kira situasi ini, kalau boleh mereka bincangkan dengan Kerajaan Pusat dan pihak bertanggungjawab di Wilayah Persekutuan supaya ada penyelarasan.

"Dalam situasi cuaca tidak menentu dan jumlah hujan yang tidak terduga dengan air terlalu banyak mungkin kapasiti saluran air tidak dapat menampungnya. Ini perlu dikaji semula," katanya selepas perasmian MyKomuter di Stesen Sentul di sini, semalam.

Timbalan Perdana Menteri diminta mengulas kejadian banjir kilat akibat hujan lebat di sekitar Lembah Klang, malam kelmarin, sehingga menyebabkan lebih 230 rumah di Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang, musnah ditenggelami banjir.
Dalam kejadian itu, 1,350 mangsa banjir di daerah Hulu Langat turut terpaksa dipindahkan.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai penganugerahan projek Kinrara-Damansara Expressway bernilai RM2.2 bilion kepada seorang peguam UMNO, Timbalan Perdana Menteri berkata, ia dibuat berdasarkan merit.

"Ia berdasarkan penilaian sewajarnya dan kertas kerja yang dikemukakan syarikat itu kepada kerajaan dan agensi berkaitan seperti Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan ia memenuhi penilaian itu.

"Tiada bezanya dengan syarikat konsesi lain yang dianugerahkan projek oleh kerajaan.

"Saya fikir ia berdasarkan merit. Saya tidak fikir kita perlu menafikan peluang mana-mana pihak jika mereka boleh menyumbang kepada penambahbaikan sistem pengangkutan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan