Rabu, 7 Mac 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Peniaga Jepun kunjungi PM

Posted: 07 Mar 2012 04:11 PM PST

Nasional

NAJIB mempengerusikan mesyuarat dengan anggota KEIDANREN di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, semalam.

NAJIB mempengerusikan mesyuarat dengan anggota KEIDANREN di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, semalam.

KEIDANREN mahu pertingkat hubungan dua hala, perniagaan

PUTRAJAYA: Sekumpulan ahli perniagaan terkemuka Jepun semalam mengunjungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di pejabatnya di sini sempena rangka lawatan kumpulan berkenaan ke negara ASEAN bermula 4 Mac lalu.

Delegasi diketuai Pengerusi Persekutuan Perniagaan Jepun (KEIDANREN), Yonekura Hiromasa itu tiba di tanah air kelmarin untuk bertemu pemimpin kerajaan dan perniagaan di negara ini dalam usaha meningkatkan hubungan dua hala dan perniagaan kedua-dua negara. KEIDANREN adalah organisasi ekonomi komprehensif yang ditubuhkan pada Mei 2002 hasil penggabungan Persekutuan Persatuan Ekonomi Jepun dan Persekutuan Persatuan Majikan Jepun.

Turut serta dalam delegasi itu adalah Penasihat Eksekutif Kanan JX Holdings Inc, Watari Fumiaki; Iwasa Hiromichi (Pengerusi dan Ketua Eksekutif Mitsui Fudosan); Watanabe Katsuaki (Penasihat Kanan Toyota Motor); Nishida Atsutoshi (Pengerusi Toshiba); Kawamura Takashi (Pengerusi Hitachi); Kojima Yorihiko (Pengerusi Mitsubishi); Kuroyanagi Nobuo (Pengerusi The Bank of Tokyo-Mitsubishi UFJ); Katsumata Nobuo (Pengerusi Marubeni).

Otsuka Mutsutake (Pengerusi East Japan Railway Company); Saito Katsutoshi (Pengerusi The Dai-ichi Life Insuranced); Miyahara Koji (Pengerusi Nippon Yusen Kaisha); Omiya Hideaki (Presiden dan Ketua Eksekutif Mitsubishi Heavy Industries); Kato Susumu (Presiden dan Ketua Eksekutif Sumitomo); Takashi Kyohei (Pengerusi Showa Denko KK); Egashira Toshiaki (Pengerusi Mitsui Sumitomo Insurance ) dan Nakamura Yoshio.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Datuk Seri Idris Jala serta Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shigeru Nakamura.
Idris Jala, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), memberi taklimat kepada delegasi itu mengenai Program Transformasi Ekonomi.

Dalam rangka lawatan ke negara anggota ASEAN itu, delegasi KEIDANREN terlebih dulu melawat Vietnam sebelum tiba ke Malaysia kelmarin dan dijadualkan berlepas ke Filipina hari ini.

Dalam pertemuan dengan pemimpin kerajaan dan korporat negara ASEAN itu, delegasi KEIDANREN berkongsi pandangan ke arah mencapai Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP) seperti Kerjasama Trans-Pasifik (TPP) dan Usahasama Ekonomi Komprehensif di Asia Timur (CEPEA).

Delegasi turut bertukar pandangan dengan pemimpin kerajaan dan ahli korporat ASEAN mengenai pembangunan kawasan utama infrastruktur di sub rantau Mekong dan kawasan kepulauan di ASEAN.

Mengenai kerjasama dua hala pula, delegasi turut meninjau strategi pertumbuhan setiap negara di rantau berkenaan di tengah-tengah peningkatan pengkhususan antarabangsa serantau serta jangkaan komuniti perniagaan Jepun dalam merealisasikan strategi berkenaan.

Phahrolrazi, Ismail diberi portfolio lain

Posted: 07 Mar 2012 04:06 PM PST

Nasional

MB Kedah buat rombakan kecil

ALOR SETAR: Dua bekas EXCO PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh dijangka diberikan portfolio lain, berbanding portfolio kanan yang dipegang mereka sebelum ini jika dilantik semula ke jawatan itu dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dijangka membuat rombakan kecil portfolio yang turut membabitkan lapan EXCO yang mengangkat sumpah pada 28 Februari lalu untuk disesuaikan dengan kemasukan semula Phahrolrazi dan Dr Ismail. Sumber berkata, Azizan dijangka tidak akan menawarkan EXCO kanan kepada Phahrolrazi berikutan hubungan dingin mereka.

Katanya, jika kedua-dua bekas EXCO itu ditawarkan portfolio kanan, ia akan menyukarkan Azizan yang sebelum ini menerima banyak tekanan daripada mereka yang turut cuba menjatuhkan Menteri Besar.

"Mereka dijangka ditawarkan baki portfolio yang kosong iaitu pertanian dan industri asas tani, pembasmian kemiskinan, pembangunan luar bandar, bioteknologi, sains dan inovasi serta pembangunan usahawan.

"Mungkin akan ada sedikit rombakan, namun tidak akan membabitkan portfolio kanan yang sudah diisi EXCO lain," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Phahrolrazi sebelum ini memegang portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan, Sumber Air dan Tenaga, manakala Dr Ismail pula diberikan portfolio Kesihatan, Badan Bukan Kerajaan, Modal Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Portfolio dipegang Phahrolrazi selaku EXCO kanan sebelum ini diserahkan kepada Datuk Amiruddin Hamzah yang sudah mengangkat sumpah sebagai EXCO baru.

Bagaimanapun, sumber berkata, ia bukan hukuman Azizan kepada dua bekas EXCO terbabit, namun lebih kepada proses melicinkan pentadbiran negeri sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Phahrolrazi dan Dr Ismail ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara itu.

Mesyuarat PAS Pusat yang turut membabitkan Azizan dan Phahrolrazi minggu lalu memutuskan Menteri Besar dikekalkan dengan dua EXCO berkenaan menerima semula jawatan mereka.

Bagaimanapun, pelbagai pihak menganggap isu berkenaan belum selesai sepenuhnya berikutan penubuhan Jawatankuasa Pemandu bagi memantau pentadbiran kerajaan negeri yang dipimpin oleh Azizan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan