Sabtu, 3 Mac 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Pergolakan PAS susahkan rakyat: PM

Posted: 03 Mar 2012 04:06 PM PST

Nasional

NAJIB bersalaman dengan orang ramai pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat, di Padang Awam Kuala Ketil, semalam.

NAJIB bersalaman dengan orang ramai pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat, di Padang Awam Kuala Ketil, semalam.

Krisis kepemimpinan di Kedah cetus kekalutan parti pembangkang

BALING: Pergolakan dalaman kerajaan PAS Kedah yang tidak berkesudahan akan menyebabkan rakyat di negeri ini dilanda kesusahan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, senario politik kerajaan PAS Kedah yang tidak stabil ketika ini menyebabkan keadaan menjadi serabut sehingga menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap kepemimpinan parti itu menerajui negeri ini. Katanya, kekalutan yang melanda PAS Kedah ketika ini membuktikan parti itu tidak pernah reda daripada perkara yang serabut.

"Sesuailah dengan namanya, Parti Asyik Serabut (PAS). Sehari dua ini serabut tak sudah-sudah... saya pun tak faham... "

"Kalau pada peringkat PAS Pusat, sekejap mahu perjuangkan negara Islam.. sekejap nak perjuangkan negara berkebajikan... Itu belum lagi kalau Karpal (Singh) (Pengerusi DAP) bunyi sikit...

"Kalau dekat Kedah lagilah serabut, pi mai ... pi mai... malam ni dengarnya ada pula mesyuarat, isu ini tidak selesai-selesai dan ia menyusahkan rakyat," katanya berucap sempena Majlis Bersama Rakyat di Padang Awam Kuala Ketil di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan Penyelaras Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Krisis kepemimpinan PAS Kedah semakin meruncing selepas wujud gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang didakwa didalangi Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi.

Kekalutan itu tercetus apabila Phahrolrazi bersama Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh enggan dilantik semula ke jawatan EXCO dalam usaha memberi tekanan kepada Azizan supaya meletakkan jawatan.

Pergolakan dalaman berpanjangan kerajaan PAS Kedah mendapat perhatian kepemimpinan tertinggi parti itu sehingga satu mesyuarat khas diadakan di Alor Setar untuk menyelesaikan isu terbabit.

Najib berkata, keserabutan dalam PAS itu menyebabkan parti berkenaan berpecah berikutan perbezaan pendapat antara pemimpin tertingginya.

"Orang kalau dah serabut macam itulah.. orang ini macam ini orang itu cakap macam itu. Jadi lepas ini kalau nampak saja PAS maka kita boleh panggil sebagai Parti Asyik Serabut.

"Kalau PKR pula kita panggil Parti Kalut dan Ribut (PKR) sebab depa ini macam-macam masalah isu video tak selesai, jam tangan Omega tak selesai, isu khalwat dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) pun tak selesai," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak meminjam untuk membiayai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang membabitkan peruntukan RM2.6 bilion.

"BN ada kemampuan mentadbir dan mengurus negara dengan baik... kita tidak meminjam sebab kita ada kekuatan ekonomi hasil urus tadbir yang baik," katanya.

Terdahulu, Najib menghabiskan masa selama hampir setengah jam menziarahi Ketua Cawangan UMNO Kuala Ketil, Datuk Zakaria Abdul Raof, 71, di kediamannya di Kampung Pekan Lama Kuala Ketil.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Dialog pendidikan mulai April

Posted: 03 Mar 2012 04:03 PM PST

Nasional

MUHYIDDIN  mendengar permasalahan rakyat ketika minum petang bersama masyarakat Cina di kedai kopi Cawan Mas di Taman Bukit Pasir, semalam.

MUHYIDDIN mendengar permasalahan rakyat ketika minum petang bersama masyarakat Cina di kedai kopi Cawan Mas di Taman Bukit Pasir, semalam.

Nilai semula sistem pendidikan untuk lahir rakyat berilmu: Muhyiddin

PAGOH: Kementerian Pelajaran akan memulakan siri Dialog Pendidikan Nasional mulai bulan depan, bagi mendapatkan pandangan pelbagai peringkat masyarakat untuk menambah baik sistem pendidikan negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dialog itu sebahagian daripada kajian menyeluruh yang dimulakan sejak tahun lalu, bagi menilai semula sistem pendidikan negara untuk mencapai matlamat melahirkan rakyat terdidik dengan ilmu berkualiti. "Sudah banyak kemajuan kita capai tetapi dalam dunia penuh saingan dan kompetitif ini, kita mahu melihat semula apa yang kita lakukan terhadap sistem pendidikan, kelemahan dan kekurangan yang dihadapi, apa yang perlu untuk menambah baik mutunya.

"Kita akan anjur Dialog Pendidikan Nasional bulan depan, bagi mendapatkan apa jua pandangan, cadangan dan idea pemikiran daripada semua lapisan masyarakat pelbagai kaum dan keturunan yang mewakili mereka yang berkepentingan. Kita akan pergi ke semua negeri dan mempelawa pihak yang berminat untuk mengemukakan cadangan," katanya selepas Majlis Penyerahan Baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jorak dalam Parlimen Pagoh di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), di sini semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata sesiapa saja termasuk persatuan, pertubuhan dan organisasi boleh mengemukakan cadangan atau memorandum kepada panel dialog itu selaras dengan gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang didukung Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, dialog yang akan mengambil masa beberapa bulan hingga akhir tahun ini bagi memberi peluang kepada semua pihak mengemukakan cadangan masing-masing dalam pelbagai bidang untuk penilaian.
"Kita mahu rakyat sama ada Cina, Melayu, India atau di Sabah dan Sarawak supaya tampil ke depan mengemukakan pandangan sistem yang boleh dibaiki, apa perkara perlu ditokok tambah, diubah atau perkara berkaitan dasar, program baik dalam pembelajaran dan pengajaran, kokurikulum dan soal guru di peringkat nasional, negeri atau daerah, " katanya.

Sementara itu, ketika berucap merasmikan Kolej Komuniti Segamat 2 Batu Anam, Muhyiddin berkata Kolej Komuniti wajar menjadi tonggak dalam menyediakan tenaga kerja berkemahiran bagi kelompok masyarakat terbesar kerana ia berpotensi membantu melonjakkan ekonomi negara.

Katanya, dasar komprehensif Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang diperkenalkan kerajaan mengandungi strategi efektif, menyeluruh dan bersesuaian dengan peranan Kolej Komuniti yang mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat setempat.

Beliau berkata, satu daripada Pelan Induk Pembelajaran Sepanjang Hayat Peringkat Nasional 2011-2020 yang dilancarkan tahun lalu, dirangka dengan objektif menjadikan PSH sebagai satu gaya hidup masyarakat bagi melengkapkan mereka dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran mendalam.

"Dalam konteks ini, Kolej Komuniti dipertanggungjawabkan sebagai hab PSH dan melaksanakan program berorientasikan kemahiran dan berfokus kepada program seperti latihan perantis untuk golongan masyarakat yang kurang mempunyai latar akademik yang tinggi," katanya.

Selepas majlis perasmian itu, Muhyiddin turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) semalam.

Ketika berucap merasmikan Karnival Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Bersama Rakyat sempena Ulang Tahun Ke-10 penubuhannya, di Kompleks Sukan Pagoh, dekat sini, Muhyiddin berkata, kerajaan akan membuat pembaharuan terhadap Akta Syarikat supaya bercirikan perundangan korporat yang dinamik dengan mengambil kira keperluan semasa dan situasi akan datang.

Katanya, langkah itu bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif serta kompetitif di negara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan