Rabu, 28 September 2011

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Misi serampang dua mata

Posted:

Misi serampang dua mata

Misi serampang dua mata

Oleh SOFIAN BAHAROM
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Tindakan Lim Guan Eng memburukkan-burukkan Johor merupakan misi serampang dua mata Ketua Menteri Pulau Pinang itu yang terdesak mahu memperbaiki imejnya setelah indeks pelaburan langsung asing (FDI) di negeri itu merudum tahun ini.

Dalam masa yang sama, tindakan Setiausaha Agung DAP itu dilihat sebagai meneruskan misi Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu memperlekehkan polis.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, Guan Eng hanya seorang pemimpin 'berjiwa kecil' yang sentiasa dibelenggu fahaman politik kepartian sehingga mengetepikan soal kemakmuran nasional dan imej negara sendiri.

"Dia (Guan Eng) hanya hendak bawa Pulau Pinang bersaing dengan negeri-negeri lain walhal di bawah program transformasi Barisan Nasional (BN), kita mahu menjadikan Malaysia secara keseluruhannya kompetitif untuk bersaing di dunia.

"Realitinya, Pulau Pinang tidak boleh berdiri sendiri. Pulau Pinang tidak akan berjaya tanpa bantuan negeri lain. Negeri tersebut hanya satu pelabuhan atau pintu masuk yang disediakan kerajaan Pusat dan telah menjadi kondusif kepada pelabur.

"Kemudahan infrastruktur yang dibina di dalam negara kita menyebabkan faedah ini dinikmati negeri-negeri. Justeru, saya mahu menyatakan kepada Guan Eng bahawa pesaing kepada Johor adalah Singapura, bukannya Pulau Pinang," katanya di sini, hari ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed semalam mendedahkan, pelaburan langsung asing (FDI) Pulau Pinang merudum tahun ini kepada RM4.6 bilion daripada RM12.2 bilion tahun lalu.

Razali yang juga Ahli Parlimen Muar menambah, DAP sememangnya gemar merendahkan kemampuan polis, mengganggu-gugat ketenteraman awam dan tidak mahu menerima hakikat bahawa Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) berjaya mengurangkan kadar jenayah kerana khuatir kekeringan modal menjelang pilihan raya.

"Sebagai rakyat Johor, saya terguris kerana di Johor rupa-rupanya sudah tidak boleh berjalan, takut diculik. Saya kagum bagaimana penjenayah boleh tahu mana satu orang Johor atau Singapura," ujarnya.

Guan Eng cemburu kejayaan Johor

Posted:

Guan Eng cemburu kejayaan Johor

Guan Eng cemburu kejayaan Johor

JOHOR BAHRU 28 Sept. - Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memburuk-burukkan negeri ini kerana beliau cemburu dengan keupayaan Johor menarik banyak syarikat multinasional Singapura melabur di Iskandar Malaysia.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ini kerana sebaik sahaja Iskandar Malaysia dilancarkan beberapa tahun lalu, ramai ahli perniagaan dari republik itu melabur di koridor ekonomi tersebut.

Malah, sebelum kewujudan Iskandar Malaysia, ramai pelabur dari negara jiran itu telah melabur di kawasan perindustrian Pasir Gudang, Tebrau, Kulaijaya dan Senai.

"Ini sebenarnya yang dicemburui oleh Guan Eng dan bagi saya tindakannya itu berniat sabotaj dan tidak patriotik, tidak bertanggungjawab serta tidak bersikap kolektif.

"Sepatutnya sebagai Ketua Menteri, dia tidak boleh bertindak sebagai pembangkang dalam menarik para pelabur asing ke negara ini kerana dia dan Pulau Pinang merupakan sebahagian daripada Malaysia," katanya diminta mengulas kenyataan Guan Eng yang didakwa memburukkan negeri Johor dalam satu temuramah dengan media asing di Singapura, baru-baru ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pengurusan Pendidikan Pengetua-pengetua Sekolah Menengah Johor di sini, malam tadi.

Mohd. Puad yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat menegaskan, kedatangan dan kepercayaan pelabur asing itu menunjukkan Johor merupakan negeri yang selamat bukan sahaja bagi aktiviti pelaburan, malah untuk bercuti dan membeli-belah.

Beliau berkata, sepatutnya selaku pemimpin, Guan Eng wajar keluar daripada kotak pemikiran kepompong lama.

"Macam kita (kerajaan Persekutuan) apa juga dasar yang dilaksanakan semuanya jelas dan telus, terutamanya dalam usaha menarik para pelabur dan tidak pernah sekali-kali negeri-negeri dibawah pembangkang," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan