Isnin, 26 September 2011

Utusan Online - Utara

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Basikal tua jangan dilupa

Posted:

Basikal tua jangan dilupa

Basikal tua jangan dilupa

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my


Sebahagian daripada ahli Getuas beriadah bersama basikal tua mereka untuk mengeratkan silaturahim, baru-baru ini. - utusan/ Halim Khalid


ALOR SETAR 25 Sept. - Sama seperti peminat-peminat barangan lama yang lain, masyarakat yang menggemari basikal tua juga sangat unik.

Sebuah basikal tua atau gerek yang mungkin sekadar besi buruk kepada orang lain, tetapi bagi mereka adalah satu khazanah tidak ternilai.

Barang kali golongan ini lebih istimewa kerana barangan lama yang disimpan bukan sekadar untuk dipamerkan di rumah, malah digunakan walaupun sudah berusia berpuluh-puluh tahun lantas membolehkan khazanah ini dikongsi dengan seluruh anggota masyarakat.

Komuniti yang dimaksudkan adalah ahli Persatuan Gerek Tua Alor Setar (Getuas) yang menaungi lebih 54 ahli terdiri daripada penggemar fanatik basikal tua atau gerek tua.

Persatuan yang diwujudkan sejak lapan tahun lalu itu aktif merancang dan menjalankan pelbagai aktiviti dalam mendekatkan mereka dengan orang ramai.

Usaha tersebut tentu sedikit sebanyak dilihat mampu mengembalikan nostalgia masa silam yang telah dipinggir dan dilupakan oleh masyarakat hari ini.

Menurut salah seorang peminat basikal tua, Mansor Shaari, 56, yang juga merupakan Setiausaha Getuas, setiap basikal tersebut menyimpan nostalgia tersendiri memandangkan ia sudah digunakan sejak tahun 40-an.

Katanya, keunikan Getuas adalah setiap ahli cuma menyimpan koleksi basikal lama buatan Inggeris dari tahun 40-an hingga 60-an seperti Raleigh, Hercules, Robinhood, Philips, BSA, Hopper Chopper dan Road Puppy.

"Mengikut sejarah, basikal diperkenalkan sebagai pengangkutan untuk kegunaan golongan bangsawan dan kenamaan beratus-ratus tahun dahulu.

"Hanya ketika zaman Inggeris ia digunakan sebagai pengangkutan asas kepada orang awam. Ketika itu juga pelbagai basikal dibawa masuk ke Tanah Melayu seperti Hercules yang segagah namanya digunakan oleh para petani bagi tujuan mengangkut padi," katanya yang memiliki lebih 12 koleksi basikal tua.

Kata Mansor, setiap koleksi basikal tua yang berada dalam simpanannya selain Hercules menyimpan nostalgia tersendiri.


MANSOR Shaari asyik dengan basikal tua kesayangannya.


"Antaranya, Raleigh yang pada tahun 50-an menjadi pengangkutan utama dalam kalangan pegawai kerajaan, Road Puppy pula popular pada tahun 60-an setelah ia digunakan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam filem Ali Baba Bujang Lapuk," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Stadium di sini baru-baru ini.

Mansor turut berbangga kerana memiliki koleksi basikal lama yang pernah digunakan oleh posmen Jabatan Perkhidmatan Pos Malaysia pada tahun 50-an.

Seorang lagi peminat basikal lama, Abdul Rahman Jamil, 56, berkata, dia sanggup merantau hingga ke luar negara untuk mendapatkan basikal tua idamannya.

"Saya terjumpa basikal lama jenis Phillips buatan tahun 60-an di Indonesia beberapa tahun lalu dan terus tertarik lalu membawanya pulang," katanya yang menyimpan lapan basikal lama pelbagai jenis.

Abdul Rahman tidak menafikan hobi menyimpan koleksi basikal tua bukan murah, sebaliknya menelan kos sehingga ribuan ringgit bagi membaik pulihnya.

"Maklumlah nama pun basikal lama, bukan mudah untuk dapat barang ganti. Jadi, kami perlu merantau jauh dan paling tidak mendapatkannya dari Internet. Tetapi adalah satu kepuasan apabila dapat 'menghidupkan' semula basikal ini," katanya.

Sejajar dengan objektif penubuhan Getuas iaitu antaranya mengembalikan nostalgia dan kenangan lama, persatuan itu sering melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti daripada majlis kenduri kahwin, pameran, kempen sehingga sambutan negara seperti Hari Kemerdekaan.

Menurut seorang lagi ahli Getuas, Noor Khairi Mohd. Noor, 33, khazanah warisan negara itu wajar diterokai oleh semua anggota masyarakat.

"Saya berbangga apabila dapat berkongsi nostalgia ini dengan anggota masyarakat ketika menyertai pelbagai aktiviti persatuan," katanya.

Teman jadi projek perintis RTC

Posted:

Teman jadi projek perintis RTC

Teman jadi projek perintis RTC

Oleh ASLIZA MUSA
utusanperak@utusan.com.my


Mohd. Shafie Apdal meninjau hasil perikanan usahawan desa yang menjalankan perniagaan di Pusat Transformasi Luar Bandar di Simpang Pulai, Ipoh, kelmarin.


IPOH 25 Sept. - Pelaksanaan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di Terminal Agribisnes Negara (Teman), Simpang Pulai di sini dilihat mampu merancakkan ekonomi masyarakat luar bandar selain membuka peluang menceburi pelbagai bidang keusahawan yang mampu menjana pendapatan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, menerusi projek yang diterajui bersama Kementerian Pertanian dan Asas Tani serta beberapa kementerian lain itu, mampu menggalakkan masyarakat luar bandar agar lebih berdaya maju dalam meningkatkan pendapatan mereka.

Katanya, projek perintis Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Teman itu juga membolehkan produk usahawan desa diketengahkan seterusnya menghapuskan miskin tegar di kawasan luar bandar.

"RTP merupakan program bersepadu yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 31 Mei lalu dan kita memilih kompleks Teman di sini sebagai lokasi perintis RTC.

"RTC bertindak sebagai pusat sehenti yang kelak membolehkan sesuatu produk yang dihasilkan penduduk luar bandar dipasarkan di seluruh negara dan akhirnya dapat menembusi pasaran eksport," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat RTC di Kompleks Teman di sini semalam.

Mohd. Shafie berkata, melalui RTP terdapat lapan inisiatif tindakan yang sedang dilaksanakan di RTC di sini.

Ia termasuklah latihan kepada penduduk luar bandar, penubuhan kios informasi 1Malaysia, pertanian bernilai tinggi dan pemprosesan produk agro makanan.

"Kita juga akan melaksanakan program pengurusan rantaian bekalan hasil makanan, kerjasama universiti itu melibatkan sukarelawan pelajar dan pemindahan ilmu, perkhidmatan keselamatan makanan dan farmaseutikal serta pembiayaan kewangan kepada penduduk luar bandar.

"Latihan yang ditawarkan di RTC akan berterusan dan kita berharap kumpulan sasar tidak melepaskan peluang yang terhidang luas ini," katanya.

Katanya, selain di Teman di sini, pihaknya merancang untuk melaksanakan RTC di empat lagi lokasi termasuk di Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat.

"Menerusi pendekatan baru ini, KKLW bersama kementerian-kementerian lain berganding bahu menawarkan peluang untuk menambah pengetahuan, kemahiran danm keupayaan bagi meningkatkan pendapatan, pekerja dan taraf hidup," katanya.

Program lawat kampung dapat sambutan

Posted:

Program lawat kampung dapat sambutan

Program lawat kampung dapat sambutan


DR. Zambry Abd. Kadir dan Zainol Fadzi Paharudin (dua dari kanan) melihat rumah usang yang didiami warga emas, Manis Mat (tengah) di Kampung Kunci air 12, Pasir Salak, baru-baru ini.


PASIR SALAK 25 Sept. - Program lawatan sehari Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik di sini kelmarin, mendapat sambutan hebat daripada penduduk pelbagai kaum di setiap kampung yang dilawati beliau.

Program pertama beliau adalah merasmikan Hari Peladang Hilir Perak di Chenderong Balai di sini yang turut disertai Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Pada majlis itu, Zambry menyampaikan anugerah pertanian kepada 10 kakitangan Jabatan Pertanian, 10 petani dan 70 dermasiswa Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR).

Beliau turut menyampaikan bantuan membina rumah baru bernilai RM70,000 kepada seorang warga emas, Manis Mat, 71, yang tinggal di Kampung Kunci Air 12, Chenderong Balai, di sini.

Bantuan tersebut merupakan sumbangan YBUDR menerusi Projek Infra Bina Upaya (IBU).

Selepas merasmikan Hari Peladang Hilir Perak, Zambry kemudiannya berkonvoi bersama puluhan motosikal Pemuda Barisan Nasional (BN) untuk melakukan upacara pecah tanah Dewan Kuil India Langkap dan Sekolah Agama Rakyat Taman Pelangi.

Beliau turut merasmikan Dewan Orang Ramai Orang Asli dan Dewan Terbuka Kampung Baru Palawan di Langkap dekat Teluk Intan.

Pada majlis di Palawan itu, Menteri Besar menyampaikan geran tanah kepada 206 petani Cina dan penyambungan tempoh pajakan hak milik tanah dari 30 tahun kepada 60 tahun kepada 246 petani Cina.

0 ulasan:

Catat Komen