Jumaat, 30 September 2011

Utusan Online - Selatan

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Penduduk terseksa menunggu jambatan baru Jalan Air Keroh

Posted:

Penduduk terseksa menunggu jambatan baru Jalan Air Keroh

Penduduk terseksa menunggu jambatan baru Jalan Air Keroh


BEBERAPA orang penduduk merangkak ketika menyeberangi sebatang anak sungai semalam, selepas jambatan asal dirobohkan untuk diganti dengan jambatan baru di Jalan Air Keroh di Kampung Bukit Senggeh, Nyalas, Jasin, Melaka.


JASIN 29 Sept. - Perkhabaran pembinaan jambatan baru bagi menggantikan jambatan yang rosak awal tahun lalu begitu menggembirakan penduduk Jalan Air Keroh di Kampung Bukit Senggeh di sini.

Senyuman penduduk juga tidak lekang dari bibir apabila melihat kontraktor mula sibuk memecah jambatan lama dan memunggah pembentung konkrit untuk menyiapkan jambatan baru yang dikatakan hanya mengambil masa tiga minggu untuk siap.

Namun, entah apa yang tidak kena, kegembiraan penduduk di situ tidak lama apabila kerja-kerja pembinaan jambatan terbabit yang didakwa penduduk berjalan hanya sehari, tiba-tiba dihentikan dan kini membebankan pula penduduk.

Salah seorang penduduk yang ditemui, Jamaliah Yusof, 57, berkata, masalah tersebut menyebabkan penduduk terputus hubungan dengan masyarakat luar dan sukar untuk melaksanakan urusan harian dengan sempurna.

Katanya, masalah itu lebih memberi tekanan kepada keluarganya kerana menyukarkan penghantaran suaminya, Mohd. Isa Yusuf, 64, ke Hospital Jasin akibat diserang penyakit lemah jantung malam kelmarin.

''Anak-anak terpaksa menggunakan laluan ladang getah yang tidak boleh dilalui langsung oleh kenderaan tetapi kami tiada pilihan terpaksa kerana perlu segera menghantar suami ke hospital," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Katanya, sejak lebih dua minggu, penduduk di situ terpaksa menggunakan laluan getah tersebut untuk keluar menjalankan aktiviti harian termasuklah anak perempuannya yang berulang-alik kerana bekerja di pusat bandar seawal pukul 6 pagi.

Bagi Ibrahim Yusuf, 47, projek pembinaan jambatan baru yang terbengkalai sejak lebih dua minggu itu banyak menimbulkan kesulitan kepada penduduk, khususnya pelajar yang ingin ke sekolah.

''Saya hairan, kalau tidak boleh disiapkan segera atau tidak cukup peruntukan, kenapa tergesa-gesa robohkan jambatan lama.

''Jambatan lama itu hanya rosak kecil dan boleh dibaiki sedikit untuk sementara waktu, kalau terus dibiarkan masalah ini berlaku, susahlah penduduk kampung untuk menjalankan kerja harian," katanya.

Sementara itu, Biramah Beekandaya, 73, berkata, dia dan cucunya berusia lima tahun terpaksa 'merangkak' melalui laluan kecil yang dibuat sendiri oleh penduduk setiap kali menghantar cucu ke Tadika Kemas di kampung itu.

''Mak cik sudahlah uzur tetapi terpaksa melalui juga laluan sempit dan berbukit di tapak projek pembinaan jambatan baru itu, kami perlu merangkak melaluinya, kalau tidak, boleh terjatuh kerana laluannya agak bercerun," katanya.

Tegasnya, penduduk terdedah dengan keadaan berbahaya kerana keadaan tapak projek yang dipenuhi pembentung konkrit, malah apabila waktu hujan, laluan di situ termasuk ladang getah langsung tidak boleh digunakan sebagai laluan.

Lebih 50% kontraktor Melayu tidak aktif

Posted:

Lebih 50% kontraktor Melayu tidak aktif

Lebih 50% kontraktor Melayu tidak aktif

SEREMBAN 29 Sept. - Lebih 50 peratus kontraktor Melayu di negeri ini yang berdaftar di bawah kelas F didapati tidak aktif dan sekadar menjalankan kerja secara sambilan berikutan gagal mendapat projek.

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri Sembilan, Datuk Baharuddin Sariman berkata, buat masa ini, hanya 1,000 daripada lebih 2,000 kontraktor Melayu kelas berkenaan yang dikenal pasti di negeri ini masih aktif menjalankan perniagaan.

''Masalah ini berlaku disebabkan jumlah projek yang ditawarkan berkurangan sekali gus mengakibatkan peluang mendapat tawaran kerja turut merosot.

''Senario itu secara tidak langsung membuatkan kontraktor yang gagal mendapatkan projek terpaksa menjalankan perniagaan secara sambilan, namun setakat ini pihak kami tidak menerima sebarang laporan ada kontraktor kelas F di negeri ini yang terpaksa gulung tikar," katanya di sini, baru-baru ini.

Jelasnya lagi, keadaan tersebut mungkin akan berubah kerana kerajaan baru-baru ini ada mengumumkan pendaftaran kontraktor kelas F yang dibekukan sejak Mac 2005 akan dibuka semula bagi memberi peluang kepada kontraktor berkelayakan meningkatkan industri pembinaan negara.

''Ini merupakan satu perkembangan positif bagi para kontraktor kelas berkenaan.

''Oleh itu, saya harap kontraktor sedia ada dapat bergiat aktif semula untuk mencari peluang serta projek, tidak kira sama ada ia milik kerajaan mahupun swasta," katanya.

Suami isteri maut nahas langgar lari

Posted:

Suami isteri maut nahas langgar lari

Suami isteri maut nahas langgar lari

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my

JEMPOL 29 Sept. – Hasrat sepasang suami isteri untuk menoreh getah tidak kesampaian, apabila pasangan itu maut selepas terlibat dalam kemalangan langgar lari di Jalan Kampung Palong 13, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian pukul 7.20 pagi itu, mangsa, Ismail Amin, 55, maut di tempat kejadian, manakala isterinya, Siti Hendon Andang, 50, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Gugusan Palong 9, dekat sini.

Ketua Polis daerah, Supritendan Mohd. Sabri Muhamad berkata, mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu dipercayai dalam perjalanan dari Felda Palong 13 menuju ke Palong 10.

''Hasil maklumat orang awam, sebuah lori yang datang dari arah bertentangan tidak dapat mengawal kenderaannya sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal jenis Suzuki RC100 yang dinaiki kedua-dua mangsa berkenaan.

''Mangsa telah digilis dan pemandu tersebut yang cemas dengan kejadian tersebut telah bertindak melarikan diri," katanya di sini, semalam.

Menurut Mohd. Sabri, pihaknya berusaha untuk menjejaki pemandu lori terbabit dan kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

''Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Jempol untuk dibedah siasat dan kita meminta kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian itu untuk tampil membantu siasatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah di talian 06-4583449," katanya.

Dalam pada itu, katanya, mangsa yang berstatus penduduk tetap itu telah meninggalkan tiga orang anak perempuan iaitu Liahisma Tusdiana,22, Lilipitriama, 19, serta Julai Normalah, 13.

Sementara itu, Liahisma ketika ditemui berkata, dia ada menghubungi ibunya dua hari yang lalu.

''Saya mengadu bahawa tangan saya sakit. Ibu suruh saya segera pulang ke Palong untuk berubat.

''Tetapi apabila saya beritahu akan pulang ketika perayaan Deepavali, ibu cakap, cepat balik ke Palong takut tidak sempat berubat," jelas anak sulung pasangan tersebut yang kini menuntut di Institut Perguruan Kampus Perempuan Melayu, Melaka.

Manakala, adiknya, Lilipitriama pula memberitahu, bapanya ada berkelakuan aneh sebelum terlibat dengan nahas tersebut.

''Semalam saya ada berjumpa dengan arwah ayah. Oleh kerana saya tinggal bersama ibu angkat saya, ayah bekalkan petai buat saya. Ayah cakap ini petai yang terakhir.

"Ibu pula memeluk saya dengan erat. Semalam saya lihat ibu sangat gembira. Kini mereka sudah tiada," katanya dalam nada sebak.

Jenazah pasangan itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Palong 12, dekat sini.

0 ulasan:

Catat Komen