Berita Harian: Mutakhir |
| MOM beri peluang terakhir kepada persatuan sukan Posted: 25 Sep 2011 02:15 AM PDT Mutakhir KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memberi peluang terakhir sehingga esok kepada persatuan sukan kebangsaan untuk menghantar senarai nama atlet dan pegawai mereka yang akan menyertai kontinjen negara ke Sukan SEA KE-26 di Indonesia dari 11 hingga 22 November ini.Setiausaha Agung MOM, Datuk Sieh Kok Chi, berkata persatuan yang gagal berbuat demikian sebelum mesyuarat jawatan kuasa pemilihan Sukan SEA 2011 yang akan diadakan pada petang esok, dikira tidak berminat untuk menyertai temasya sukan dwi-tahunan itu. "Sehingga kini lima acara sukan iaitu olahraga, kempo, bola tampar, akuatik (beberapa acara) dan petanque masih belum menghantar senarai penuh nama atlet dan pegawai mereka. "Kita berharap persatuan terbabit dapat mematuhi arahan yang telah dikeluarkan MOM," katanya ketika ditemubual oleh Bernama di Wisma MOM hari ini.Beliau berkata, pihaknya perlu segera menghantar borang pendaftaran kepada penganjur Sukan SEA 2011 memandangkan pendaftaran akan ditutup pada 30 September ini. "Mengikut perancangan awal kita akan menghantar seramai 950 atlet dan pegawai namun sehingga hari ini, MOM hanya baru menerima 600 pendaftaran daripada persatuan sukan terbabit," katanya. Sementara itu, Seih berkata, Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) terpaksa menarik balik penyertaan atlet beregu wanita apabila salah seorang atletnya, Ng Sock Khim cedera di bahagian siku.
Indonesia sebagai tuah rumah Sukan SEA ke-26 menawarkan 542 pingat emas menerusi 43 jenis sukan yang akan diadakan di dua venue utama iaitu di Jakarta dan Palembang. Kontinjen Malaysia yang diketuai Datuk Naim Mohamad di Jakarta dan Datuk Syed Mustaffa Syed Ali di Palembang dijangka menghantar 950 atlet dan pegawai untuk bersaing dalam 39 acara. - BERNAMA |
| SPRM tukar tiga pegawai dituduh samun pengurup wang Posted: 25 Sep 2011 01:38 AM PDT Mutakhir KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan tegas menukar tiga pegawainya yang disyaki menyamun pengurup wang rakyat asing pada 15 September lalu, ke bahagian pentadbiran jabatan itu.Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Zakaria Jaffar, berkata pertukaran itu bagi memastikan ketiga-tiga pegawai berusia 20 hingga 35 tahun itu tidak terbabit dalam kes penyiasatan sepanjang siasatan polis. "SPRM memandang serius kes ini dan tidak akan melindungi pegawai-pegawai berkenaan yang didakwa terbabit dalam perbuatan jenayah. "Justeru tindakan diambil untuk menukar pegawai-pegawai berkenaan ke Bahagian Pengurusan Sumber Manusia berkuatkuasa serta merta dan hanya akan menjalankan tugasan pentadbiran sepanjang siasatan polis," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian penyerahan Kompleks Pejabat SPRM Kelantan di sini hari ini.Tiga pegawai SPRM yang dilaporkan bertugas di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya sebelum ini ditahan kerana disyaki menyamun seorang pengurup wang rakyat asing kira-kira RM900,000 pada 15 September lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Zakaria berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kes itu bagi menentukan sebarang pelanggaran peraturan yang serius dan jika terdapat pelanggaran, SPRM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih berat dan setimpal. Beliau berkata, ketiga-tiga pegawai terbabit terdiri daripada pegawai berpangkat Pemangku Penolong Pesuruhjaya (Gred P48), Penolong Kanan Penguasa (Gred P32) dan Penolong Penguasa (Gred P29).
Beliau berkata, bangunan yang mula dibina pada Ogos 2008 di atas tanah seluas 0.727 hektar di Mukim Kenali, berhampiran bandar Kota Baharu itu dilengkapi pelbagai prasarana termasuk bilik temubual dan rakaman saksi, bilik menunggu saksi serta tiga unit lokap untuk lelaki dan wanita selain kemudahan untuk golongan kelainan upaya seperti lif, bilik air dan kawasan parkir khas. "Aspek keselamatan turut diberi perhatian khusus dengan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) di luar dan dalam kawasan bangunan, tingkap yang dipasang jeriji besi serta pintu masuk yang dilengkapi sistem 'kad akses'," katanya. Majlis penyerahan replika kunci itu disempurnakan oleh Pengarah Kanan Cawangan Kerja Bangunan Am, Jabatan Kerja Raya Kuala Lumpur, Datuk Dr Amer Hamzah Mohd Yunus kepada Zakaria. - BERNAMA |
| You are subscribed to email updates from Berita Harian: Mutakhir To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan