Sabtu, 24 September 2011

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Boboi! Tolong bukakan pintu

Posted: 24 Sep 2011 03:24 PM PDT

Nasional

 KETUA Kampung, Moin Siri, menunjukkan kepada Mohd Puad tempat mayat Allahyarham Hasan ditemui rentung di Kampung Parit Jabar Laut, Senggarang,  awal pagi semalam.

KETUA Kampung, Moin Siri, menunjukkan kepada Mohd Puad tempat mayat Allahyarham Hasan ditemui rentung di Kampung Parit Jabar Laut, Senggarang, awal pagi semalam.

BATU PAHAT: Boboi! Tolong abah bukakan pintu ni, lekas nak... ya Allah, panasnya..., jeritan terakhir seorang ayah sebelum rentung dalam kebakaran rumah mereka di Kampung Parit Jabar Laut, Senggarang, dekat sini, awal pagi semalam.

Bagaimanapun usaha Boboi atau Ahmad Borhan, 15, untuk membantu ayahnya Hassan Daeng Patangga, 68, dengan memecahkan pintu rumah gagal kerana sebaik berbuat demikian jeritan itu tidak kedengaran lagi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, Hasan maut selepas masuk kali ketiga ke dalam rumah yang sedang terbakar selepas menyelamat isterinya yang mengalami angin ahmar, Rohana Mohd Amin, 53, dan Boboi. Ketika itu, hanya mangsa bersama isteri dan anak bongsunya berada di rumah, manakala anak sulung serta anak keduanya iaitu Norashima, 22, adalah penuntut Kolej Teknikal Yayasan Melaka manakala Nor Ummi, 17, pula pelajar Sekolah Menengah Vokasional Pendidikan Khas Inderapura, Kulaijaya.

Rohana berkata, dia terjaga daripada tidur berikutan terdengar letupan yang disangkakan bunyi mercun, namun terkejut apabila ternampak api dan asap mula marak dalam rumah menyebabkannya mengejut suami yang tidur di ruang tamu serta anak yang berada di sampingnya.

Malam tadi, arwah kelihatan gelisah berbanding kebiasaan sebelum tidur di ruang tamu berikutan kepanasan. Saya mengejutnya sebaik ternampak api dan asap dari bilik sebelah sebelum arwah kemudian memapah saya dan mengejutkan Boboi untuk lari keluar dengan segera.

Saya tidak menjangka suami masuk semula ke dalam rumah buat kali ketiga kerana dia sudah masuk sebelum itu untuk mengambil beberapa dokumen penting sebaik menyelamatkan saya dan anak... namun kali ini arwah tidak sempat menyelamatkan diri.
Laungan akhirnya yang meminta Boboi membuka pintu bagi menyelamatkannya amat menyentap semangat saya kerana hingga kini terngiang-ngiang di telinga... ujian ini amat berat untuk kami sekeluarga, katanya yang tidak henti mengalirkan air mata ketika ditemui di rumahnya.

Sementara itu, Ahmad atau Boboi terkilan kerana gagal menyelamatkan ayahnya disebabkan api terlalu marak selepas berjaya menendang serta memecahkan pintu rumah selepas terdengar jeritan ayahnya.

Laungan terakhir ayah yang meminta saya membuka pintu bagi menyelamatkannya tidak mungkin saya lupakan sepanjang hayat, katanya hiba.

Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr Mohd Puad Zarkashi, melawat keluarga mangsa pagi semalam dan mengumumkan bantuan RM25,000 bagi membantu membina semula rumah keluarga terbabit yang kini terpaksa menumpang rumah jiran berdekatan selain membantu anak mangsa yang masih bersekolah.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

Miss Asma

Al fatihah dan takziah untuk keluarga arwah..setiap apa yang berlaku ada hikmahnyaaaa...

zuan

Takziah buat keluarga mangsa..takdir menentu segalanya...

siti zulaika

saya amat bersimpati kepada mangsa..takziah..

Alin Zahar

Alfatihah buat keluarga. Diharapkan tabah dengan dugaan ke atas keluarganya.

Siti

Alfatihah. Semoga rohnya ditempatkan bersama2 orang
Beriman

eqen lockman

Al fatihah untuk arwah dan keluarga arwah...
semoga arwah ditempatkan di kalangan org2 yang beriman...AMIN

nuzul

Alfatihah semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-rang yang beriman,,amin

mohd shahrir

alfatihah buat keluarga puan rohana...

zam

Sudah janji dan ketentuan allah dia di situ dan dalam keadaan demikian, namun suatu pengajaran untuk kita semua.. nyawa lebih penting dari dokumen dan seumpamanya yg mana boleh ditukar ganti semula. tetapi nyawa tidak..kita yg masih hidup bertindaklah ikut keperluan.

siti

takziah di ucapkan kpd family
semoga roh arwah ditempatkan dkalangan org yg beriman
banyakkan bersabar dgn ujian allah

misga

Takziah.Semoga tabah menghadapi sebahagian kecil sahaja daripada ujian Allah. Semoga roh allayarham termasuk dalam golongan hamba hamba Allah yang beriman. Amin

hani

alfatihah buat keluarga mangsa....saya mengalirkan air mata tatkala membaca..saya dapat rasa kan kesedihan mereka.......

Zuenani Saifnani

Takziah.setiap apa yang berlaku ada hikmah dan sebabnye...

saiful azam

takziah buat keluarga pn rohana. anggap itu ujian dr allah.

Amin Ayong Al Yahya

Al fatihah dan takziah untuk keluarga arwah. Insya ALLAH rohnya akan bersama para solihin kerana mati terbakar adalah syahid akhirat.


Bonus ikut kemampuan: Najib

Posted: 24 Sep 2011 03:22 PM PDT

Nasional

TANJUNG TUALANG: Pemberian bonus dan kenaikan gaji kepada kira-kira 1.2 juta kakitangan awam masih menjadi teka-teki apabila Datuk Seri Najib Razak, semalam enggan mengesahkan atau menafikan kesediaan kerajaan berbuat demikian dalam Bajet 2012.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata sebarang keputusan pemberian bonus dan kenaikan gaji bergantung kepada kemampuan kerajaan.

Saya punya pendirian, apa-apa yang akan diumumkan dalam bajet tidak akan dibocorkan lebih awal lagi. Kalau kita mampu (berikan bonus dan kenaikan gaji), kita buat, kalau kita tak mampu kita tak buat, katanya selepas membuat tinjauan mesra dan merasmikan Karnival 1Malaysia Tanjung Tualang di sini, sempena lawatan turun padang sehari ke Perak, semalam. Hadir sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli, beberapa Menteri Kabinet serta Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Kampar, Datuk Lee Chee Leong.

Perdana Menteri ditanya sama ada kerajaan berada dalam kedudukan berkemampuan untuk memberikan bonus dan kenaikan gaji dan elaun seperti diperkatakan beberapa pihak.

Semalam, akhbar ini melaporkan kakitangan sektor awam dijangka sekali lagi menikmati kenaikan gaji tahun ini, dan kemungkinan perkara itu antara berita baik yang akan diumumkan Najib dalam Bajet 2012 di Dewan Rakyat pada 7 Oktober ini.

Ditanya pula sama ada bajet kali ini akan memberi banyak kejutan, Najib berkata: Saya tidak tahu, tunggulah dulu, saya gemar membuat kejutan, katanya.
Perdana Menteri bagaimanapun menegaskan kerajaan melalui bajet berkenaan akan memberi tumpuan mengukuhkan permintaan dalaman berikutan persekitaran luaran yang lemah dan tidak menentu.

Kita perlu bersandar kepada permintaan dalaman, jadi bajet ini mesti merangsangkan pelaburan dan mesti membawa kepada keyakinan pengguna untuk terus belanja dengan secara berhemah supaya ekonomi domestik atau dalaman kita ini terus berpaksi kepada permintaan yang kukuh sama ada dari segi pelaburan mahupun dari segi penggunaan.

Keduanya, kita telah menetapkan NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) untuk memerangi kenaikan harga dan kos hidup rakyat, jadi kita tengah tengok bagaimana kita boleh bantu melindungi rakyat daripada kesan negatif, katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan