Selasa, 27 September 2011

Utusan Online - Muka Hadapan

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Tanggungjawab Raja-Raja Melayu

Posted:

Tanggungjawab Raja-Raja Melayu

Tanggungjawab Raja-Raja Melayu

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 26 Sept. – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengingatkan bahawa teras utama konsep Raja Berperlembagaan yang telah diguna pakai sejak negara mencapai kemerdekaan 54 tahun lalu ialah Raja-Raja Melayu mempunyai peranan dan fungsi yang amat penting dalam sistem pemerintahan negara.

Seri Paduka bertitah, Raja-Raja Melayu juga khususnya berperanan memelihara kedudukan orang Melayu, penduduk pribumi serta agama Islam yang disifatkan sebagai mampu menyelesaikan masalah rakyat pelbagai kaum.

Titah Tuanku Mizan, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan pula telah menetapkan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan dan dalam masa yang sama agama-agama lain boleh diamalkan dalam keadaan harmoni dan damai.

''Kepelbagaian kaum dan etnik yang merupakan ciri atau pola utama demografi di negara kita pula telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang unik dan menariknya kepelbagaian ini disulami dengan kontrak sosial yang mendasari Perlembagaan Persekutuan.

''Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kepada setiap rakyat untuk memelihara dan mengekalkan keharmonian hidup bersatu padu dalam masyarakat yang berbilang kaum ini," titah Seri Paduka ketika merasmikan Kongres Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Seluruh Malaysia Kali Pertama di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mua'adzam Shah; Sultan Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail; Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah; Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin dan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Sementara itu Seri Paduka bertitah, usaha-usaha ke arah memartabat dan memperkasakan sistem perundangan syariah dan institusi penguatkuasaan agama agar setanding dengan perundangan sivil hendaklah diteruskan.

Justeru titah Yang di-Pertuan Agong, adalah penting untuk mewujudkan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi yang berkait rapat dengan perundangan syariah bagi memastikan tugas yang dilaksanakan lebih mudah, cepat dan berkesan.

''Sistem Raja Berperlembagaan memberi pengiktirafan raja sebagai Ketua Agama. Selaras dengan itu, usaha-usaha untuk memartabat dan memperkasakan sistem perundangan syariah agar setanding dengan perundangan sivil di negara ini hendaklah diteruskan," titah baginda.

Dalam titah ucapannya, Tuanku Mizan turut menyentuh fungsi dan peranan majlis agama Islam negeri yang perlu diperkasakan bagi menjamin kelestarian pembangunan ekonomi umat Islam.

Untuk itu titah Seri Paduka, strategi yang berkesan perlu dibangunkan bagi membuktikan keupayaan pihak majlis meningkatkan kualiti kehidupan umat Islam.

''Jalinan kerjasama perlu dirangka serta digiatkan membabitkan pelbagai pihak terutama untuk memajukan perdagangan dan pelaburan dalam sektor sedia ada. Selain itu, fungsi zakat sebagai rukun Islam ketiga juga seharusnya diberikan perhatian serius

''Adalah penting untuk mengkaji kaedah ke arah mempromosi zakat di samping memperhebatkan galakan menghulur sedekah jariah supaya kedua-dua elemen ini dapat dimanfaatkan fungsinya sebagai salah satu jentera penggerak sosioekonomi yang dapat menjana kekayaan bagi umat Islam sejagat sepanjang zaman," titah Seri Paduka.

Mengenai kemajuan masyarakat, baginda mengenal pasti isu pendidikan merupakan kepentingan masyarakat Islam masa kini.

''Satu masalah yang membelenggu kemajuan kita ialah lemahnya komitmen kita dalam pelaburan pendidikan. Masalah ini perlu diatasi supaya masyarakat Islam tidak terus ketinggalan.

''Oleh itu beta berharap peranan yang dilaksanakan oleh Lembaga Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Islam atau Lepai akan terus diperkukuhkan bersama majlis agama Islam negeri demi kepentingan pendidikan agama Islam di negara ini," titah Seri Paduka.

Islam diperalat untuk dapatkan kuasa - Raja Nazrin

Posted:

Islam diperalat untuk dapatkan kuasa - Raja Nazrin

Islam diperalat untuk dapatkan kuasa - Raja Nazrin


Raja Dr.Nazrin Shah sebak selepas menyampaikan titah diraja pada Kongres Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Seluruh Malaysia Kali Pertama di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur semalam. – utusan/JEFRI IRAN


KUALA LUMPUR 26 Sept. - Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini bertitah Islam telah mula dijadikan instrumen bertujuan meraih pengaruh dan mendapatkan kuasa sehingga ke peringkat sedia berkompromi kepada prinsip-prinsip menyentuh akidah.

Pada masa sama baginda dalam titah ucapannya turut mengingatkan bahawa kemusnahan ummah bukan lagi menghadapi pencerobohan daripada Alfonso de Alburque atau Stamford Raffles atau Francis Light mahu pun Yamashita tetapi ia datang daripada pencerobohan baru melalui manipulasi fakta sejarah, mempersendakan lagu kebangsaan dan menghina bendera negara.

Baginda bertitah pencerobohan baru itu turut berlaku melalui perlanggaran penggunaan kalimah suci Allah yang telah sekalian lama menjadi hak eksklusif umat Islam tanpa menghiraukan sensiviti serta terhirisnya perasaan mereka.

''Nama suci Allah yang termaktub di dalam al-Quran diambil dan dijadikan terjemahan kepada perkataan God. Allah yang merupakan kalimah yang amat suci di kalangan umat Islam kini turut dinamakan kepada simbol pujaan agama lain.

''Kalimah suci Allah bukan sekadar nama am yang bermaksud Tuhan walau apa bentuknya. Kesucian kalimah Allah amat tinggi di sisi Islam. Kalimah tersebut apabila dicetak pada kertas, tidak boleh dipijak, tidak boleh dijadikan bahan bungkusan, tidak boleh dibawa ke dalam tandas. Allah adalah nama khas-Tuhan Maha Suci-Tuhan Maha Agong. Allah adalah satu-satunya," titah baginda.

Baginda bertitah ketika menyampaikan titah ucapan diraja yang bertajuk Majlis Agama Islam Pemacu Transformasi Ummah sempena Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia Kali Pertama di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Sehubungan itu Raja Nazrin berkata, adalah amat merbahaya sekiranya prinsip asas agama diredakan untuk dijadikan bahan tolak ansur politik.

''Sesungguhnya insiden yang sedang berlaku itu merupakan ujian besar kepada umat Islam di bumi ini. Ujian yang mungkin sengaja diturunkan oleh Allah terhadap umat Islam, menguji keikhlasan kepimpinan Islam di bumi ini. Ujian Allah terhadap ketegasan umat Islam keseluruhannya sama ada di kalangan ulama, barisan kepimpinan, organisasi politik hatta raja-raja.

''Ini juga merupakan ujian terhadap ketegasan umat Islam dalam mempertahankan kalimah tauhid, keesaan ilahi, Allah yang satu lagi berkuasa atas segala-galanya dan Allah yang mengamanahkan kuasa di kalangan mereka yang telah ditentukan," titah baginda.

Dalam menghadapi cabaran besar ini baginda menyeru semua umat Islam berpegang dan yakin kepada kalam Allah yang terkandung dalam petikan ayat 26 surah Ali Imran yang bermaksud 'Katakanlah (wahai Muhammad) Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan. Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.

Raja Nazrin bertitah, yakinlah bahawa kuasa itu adalah amanah Allah kerana ia datang daripada Allah dan Allah sahaja yang boleh memberi berkat, memberi kekuatan untuk mempertahankan kesucian kalam tauhid.

''Hanya disebabkan politik, umat Islam janganlah sampai hilang pedoman untuk tidak menghalang kepada sesiapa sahaja 'mengAllahkan' apa sahaja yang mereka anggap tuhan. (Ia merupakan) satu keredaan yang membuka jendela kepada proses yang berpotensi menyimpangkan akidah," titah baginda.

‘Apa hubungan DAP dengan Islam?'

Posted:

'Apa hubungan DAP dengan Islam?'

'Apa hubungan DAP dengan Islam?'

Oleh YULPISMAN ASLI
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 26 Sept. – Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempersoalkan apa hubungan DAP dengan Islam sehingga pemimpin parti tersebut sanggup bertindak 'mengugut' akan meletakkan jawatan beramai-ramai jika Pas meneruskan hasrat melaksanakan hukum hudud.

Menurut

Nik Abdul Aziz (gambar), tindakan pemimpin DAP itu amat menghairankan kerana hukum hudud yang hendak dilaksanakan oleh Pas adalah untuk orang Islam dan melibatkan mahkamah syariah yang hanya mengendalikan kes-kes membabitkan orang Islam.

Beliau juga secara sinis mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa, mana-mana pihak termasuk DAP yang menentang hasrat Pas itu ibarat "orang takut melihat hantu."

"Nak keluar kerana apa? Hudud untuk orang Islam, apa hubungan dia dengan Islam? Macam saya kata kelmarinlah, orang takut hudud macam takut hantulah. Tanya dia hantu benda apa, dia tak tahu tapi orang dah takut dia takut sama. Budak kecil takut hantu tapi tanya dia apa hantu, dia tak tahu tapi mengaku takut," katanya ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam yang menegaskan, pemimpin-pemimpin kanan parti itu akan meletakkan jawatan beramai-ramai sekiranya terdapat usaha meletakkan matlamat atau melaksanakan hukum hudud di negara ini.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, mengulangi kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh sebelum ini bahawa parti itu tidak akan menerima hudud atau idea membentuk sebuah negara Islam sekiranya mereka memperoleh kuasa ke Putrajaya.

Ditanya kemungkinan Pas akan kehilangan sokongan pengundi bukan Islam sekiranya melaksanakan hudud, Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas sebaliknya mempersoalkan kenapa masyarakat bukan Islam tidak menyokong parti tersebut.

"Tak sokong kerana apa, kerana hudud? Ini bukan untuk dia, untuk orang Islam," katanya sinis.

Nik Abdul Aziz semalam memberitahu, kerajaan Pas Kelantan kini dalam usaha memasukkan enakmen hudud dalam senarai hukum di mahkamah syariahnya walaupun pelaksanaan hukum Islam itu ditentang keras oleh DAP.

Beliau berkata, langkah itu bagi membolehkan hakim-hakim menggunakan akta tersebut dalam perbicaraan sesuatu kes sekiranya wujud prima facie.

Ditanya sama ada kerajaan negeri perlu meminta kebenaran daripada Kerajaan Pusat sekiranya hendak melaksanakan hukum tersebut, Nik Abdul Aziz berkata, ia tetap perlu meminta kebenaran walaupun bidang kuasa membabitkan mahkamah syariah terletak di bawah sultan.

"Tentu kena mintalah, jadi dia dah buat kenyataan semalam tak beri, Mahathir (Tun Dr. Mahathir Mohamad) dan Najib (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak) serupa sahaja sama-sama tak beri belaka. Jadi kesimpulannya, hudud tak boleh buat bukan kerana apa, kerana UMNO tak bagi."

0 ulasan:

Catat Komen