Jumaat, 30 September 2011

Berita Harian: Wilayah

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Berita Harian: Wilayah


Mufti tegur buang al-Quran merata-rata

Posted: 29 Sep 2011 02:45 PM PDT

Wilayah

PENDUDUK menunjukkan bangsal tempat longgokan ribuan cebisan dan naskhah  al-Quran di  Beris Kubur Besar, Bachok.

PENDUDUK menunjukkan bangsal tempat longgokan ribuan cebisan dan naskhah al-Quran di Beris Kubur Besar, Bachok.

BACHOK: Penduduk sekitar Kampung Pak Edeng dekat Beris Kubur Besar, di sini lega apabila ribuan helai kertas mengandungi ayat suci al-Quran dipercayai dibuang pihak tidak bertanggungjawab dalam sebuah bangsal, sudah diangkut pihak berwajib, petang kelmarin.

Penduduk yang sebelum ini gempar dan curiga dengan penemuan ribuan helai ayat al-Quran itu, kini bersyukur kerana tindakan cepat pihak berkuasa itu dengan kerjasama polis dan pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHAEIK).

Penduduk, Zan Hussin yang ditemui di lokasi berkata, sekumpulan anggota polis dari Bachok dan pegawai JAHAEIK datang ke bangsal pada jam 4 petang kelmarin untuk mengangkut helaian ayat al-Quran berkenaan. Tinjauan Berita Harian ke bangsal yang sebelum itu dijadikan tempat penyimpanan sementara ribuan helai ayat al-Quran itu, didapati kosong.

Pada 24 September lalu, penduduk Kampung Pak Edeng dekat Beris Kubur Besar, di sini, terkejut selepas menjumpai ribuan helai kertas mengandungi ayat suci al-Quran yang dibuang sebuah lori ke penghujung kampung dipercayai untuk dilupuskan pihak tertentu.

Berikutan itu, penduduk membuat laporan polis dan turut menghubungi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (MAIK) Kelantan.

Zan berkata, dia melihat tiga lori mengangkut ribuan helai ayat al-Quran itu sambil disaksikan beberapa anggota polis dan pegawai JAHAEIK.
Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Muhamad Shukri Mohamad, ketika dihubungi berkata, adalah berdosa dan haram hukumnya kepada mana-mana individu yang membuang ayat suci al-Quran di merata-rata tempat.

Katanya, Islam sudah menggariskan beberapa peraturan dalam melupuskan naskhah al-Quran yang sudah rosak, buruk dan tidak boleh digunakan, namun ia perlu mengikut kaedah tertentu termasuk dilakukan syarikat dilantik khas oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang turut mempunyai cawangan di negeri ini.

"Jika ayat suci al-Quran itu dibuang di merata tempat, individu melakukan perbuatan itu disifatkan sebagai menghina kesucian al-Quran kerana jika hendak dilupus sekali pun, perlu menggunakan kaedah tertentu seperti dibakar menggunakan tong khas sebelum abunya dikumpulkan dan dibuang ke laut atau ditanam di kawasan khusus.

"Kaedah ini diperakukan oleh KDN kepada pihak diberi tanggungjawab. Oleh itu, saya menyifatkan tindakan pihak berkenaan membuang ayat al-Quran dengan sewenang-wenangnya adalah dosa mengikut hukum syarak," katanya.


Penjual pakaian lintang-pukang

Posted: 29 Sep 2011 02:42 PM PDT

Wilayah

PENGUAT kuasa memasukkan pakaian terpakai  dirampas selepas operasi  di Jalan Sungai Udang,  Klang, semalam.

PENGUAT kuasa memasukkan pakaian terpakai dirampas selepas operasi di Jalan Sungai Udang, Klang, semalam.

MPK operasi bersepadu kesan peniaga tanpa lesen di Jalan Sungai Udang

KLANG: Beberapa pekerja menjual pakaian terpakai di Jalan Sungai Udang di sini, lari lintang-pukang sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) dalam Operasi Bundle, di premis mereka semalam.

Dalam operasi bersepadu membabitkan polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Daerah/Tanah Klang diketuai Penolong Pegawai Kesihatan dan Persekitaran Kanan Jabatan Pelesenan dan Penjaja, Mazlan Abdul Gany, mendapati peniaga pakaian terpakai itu beroperasi secara haram sejak setahun lalu. Mazlan berkata, lot tanah seluas 100 kaki x 60 kaki itu sepatutnya menjadi tapak untuk bangunan balai polis baru di situ.

"Kedai ini beroperasi tanpa lesen sejak setahun lalu. Sebelum operasi dijalankan, kami sudah memberi notis selama tujuh hari kepada pemilik kedai agar memindahkan barang perniagaan mereka.

"Pemilik tidak mempedulikan notis itu menyebabkan kami terpaksa menyita semua barang mereka mengikut Seksyen 3, Undang-Undang Kecil Penjaja 2007 iaitu menjalankan perniagaan tanpa lesen.

"Tertuduh boleh didenda RM2,000 atau dua tahun penjara jika sabit kesalahan," katanya ketika ditemui Sentral.
Mazlan berkata, nilai pakaian yang disita daripada premis berkenaan berjumlah lebih RM30,000 dan pihaknya memberi tempoh sehingga 30 hari kepada pemilik untuk menuntut kembali barangan.

Katanya, barangan berkenaan akan dijadikan sebagai barangan bukti untuk pendakwaan di mahkamah jika pemilik gagal membuat tuntutan.

"Lot perniagaan itu turut menerima banyak aduan daripada penduduk setempat yang tidak berpuas hati kerana kedudukannya menghalang laluan," katanya.

"Ini operasi pertama tahun ini membabitkan perniagaan menjual pakaian terpakai dan pihak kami akan meneruskan operasi ini pada masa akan datang," katanya.


0 ulasan:

Catat Komen