Jumaat, 30 September 2011

Utusan Online - Kota

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Loji rawatan air tidak cukup

Posted:

Loji rawatan air tidak cukup

Loji rawatan air tidak cukup

Oleh NUR NAZLINA NADZARI
kota@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. memaklumkan, masalah kekurangan bekalan air bersih di Lembah Klang yang dijangka berlaku pada tahun 2014 adalah berpunca daripada kekurangan loji rawatan air mentah.

Pengarah Eksekutif Projek Syabas, Sanusi Sulieman berkata, selagi projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 Fasa 1 yang berkapasiti 1,130 Juta Liter Sehari (JLH) tidak dibina, masalah kekurangan bekalan air bersih pasti akan berlaku.

Menurutnya, mendapatkan bekalan air mentah bukan isu yang perlu dibimbangkan kerana kerajaan telah menyedari masalah itu dan sudah mula mengambil langkah untuk mengatasinya.

"Kerajaan Persekutuan telah pun mengenal pasti perkara itu dan melaksanakan projek penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor tetapi masalahnya ialah kita tidak mempunyai loji rawatan air yang mencukupi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Mesyuarat Meja Bulat Tahap Serius Isu Bekalan Air Di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden Forum Air Malaysia, Mohd. Yusof Abd. Rahman, Naib Presiden Persatuan Air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Ir. V. Subramaniam dan Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Sumber Air, Jabir Kardi.

Mesyuarat tersebut bertujuan menerangkan kepada pengguna mengenai situasi bekalan air di Lembah Klang dan mendapatkan pandangan serta maklum balas daripada mereka untuk dijadikan memorandum dan diserahkan kepada pihak yang berkaitan.

Sanusi berkata, Loji Rawatan Air Langat 2 merupakan komponen utama bagi projek pemindahan air tersebut dan jika tidak disiapkan mengikut jadual, kemungkinan untuk berlaku kekurangan bekalan air bersih di Lembah Klang adalah tinggi.

"Dengan rezab kapasiti bekalan air yang kurang dan projek pemindahan air yang masih belum siap, isu bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya jauh dari penyelesaian," katanya.

Depot bas tiada kelulusan - MBSA

Posted:

Depot bas tiada kelulusan - MBSA

Depot bas tiada kelulusan - MBSA

SHAH ALAM 30 Sept. - Operasi sebuah depot bas di kawasan lapang bersebelahan Kompleks Belia di Seksyen 7 di sini tidak mendapat kebenaran daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Malah, Pegawai Komunikasi Korporat MBSA, Shahrin Ahmad berkata, setakat ini, tiada sebarang permohonan dikemukakan oleh pihak terbabit untuk menjalankan operasi depot bas meskipun kebenaran telah diperoleh daripada pemilik tapak terbabit.

Menurutnya, tindakan pengurusan syarikat bas tersebut meletakkan kontena di kawasan tersebut juga menyalahi undang-undang dan peraturan pihak berkuasa tempatan itu di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

"Sekiranya syarikat bas tersebut mendapat kebenaran daripada pemilik tanah berkenaan, itu tidak bermakna ia boleh beroperasi termasuk menjalankan aktiviti keluar masuk bas di kawasan berdekatan dengan sekolah dan perumahan.

"Jadi, kita sudah meminta pihak terlibat agar mengalihkan kontena mereka dari kawasan tersebut kerana ia tidak diluluskan oleh MBSA," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Selasa lalu, Utusan Malaysia melaporkan mengenai sebidang tanah kosong di hadapan Sekolah Menengah Seksyen 7 di sini yang dijadikan depot bas oleh sebuah syarikat sehingga membangkitkan rasa tidak puas hati penduduk sekitar.

Mereka hairan bagaimana depot itu boleh dibenarkan beroperasi di kawasan yang terlalu hampir dengan kawasan perumahan dan sekolah.

Rata-rata penduduk melahirkan rasa tidak puas hati kerana dalam pelan pembangunan kawasan itu semasa mereka mahu membeli rumah di situ, tidak dinyatakan kawasan tersebut akan dibina sebuah depot pengangkutan awam.

Shahrin berkata, MBSA juga telah mengarahkan pengurusan Kompleks Belia yang merupakan pemilik tapak berkenaan agar segera meminta syarikat berkenaan mengosongkan kawasan tersebut ekoran tiada kebenaran sah diberikan untuk operasi depot bas.

"Malah tindakan syarikat bas tersebut meletakkan bas milik mereka di tepi lot-lot kedai di kawasan berhampiran sebelum ini juga menyalahi undang-undang," katanya.

Polis percaya kejadian tembak bermotif dendam

Posted:

Polis percaya kejadian tembak bermotif dendam

Polis percaya kejadian tembak bermotif dendam

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Polis percaya kejadian tembakan ala gangster menyebabkan seorang penarik kereta cedera di Jalan Metro Prima, Kepong, kelmarin, bermotifkan dendam antara dua kumpulan di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, walaupun polis masih belum mendapat sebarang petunjuk berhubung kes itu, namun siasatan awal menunjukkan terdapatnya unsur dendam.

Katanya, polis juga masih belum memberkas suspek yang telah melepaskan 12 das tembakan ke arah mangsa itu di sebuah kedai.

"Kita masih belum menerima maklumat yang boleh membantu malah tiada maklum balas daripada mangsa yang sedang dirawat di hospital kerana keadaannya belum lagi stabil," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Ketenteraman Awam Kuala Lumpur daripada Pemangku Senior Asisten Komisioner (SAC) Abdul Hamid Mohd. Ali kepada ACP Mohd. Fuzi Zaman di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 5.40 petang, seorang penarik kereta berusia 43 tahun cedera selepas ditembak dua lelaki yang bersenjatakan sepucuk pistol di Jalan Metro Prima, Kepong di sini.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, polis juga memburu lima suspek yang dipercayai melarikan diri setelah gagal menyamun rumah seorang pegawai polis berpangkat Supritendan di Taman Tun Dr. Ismail, di sini malam kelmarin.

"Seorang daripada suspek telah ditembak mati oleh pegawai polis itu dan kami percaya seorang lagi turut terkena tembakan.

"Sehingga kini, kita telah menghubungi hospital berdekatan namun masih belum ada maklumat yang boleh membantu," katanya.

Sementara itu, Mohmad Salleh berkata, sejumlah 657 anggota polis berpangkat Lans Koperal di IPK Kuala Lumpur akan dinaikkan pangkat kepada Koperal secara berperingkat, tidak lama lagi.

"Sebanyak 656 telah dinaikkan pangkat dan selebihnya sedang menunggu masa untuk menerima kenaikan pangkat secara automatik.

"Saya merasakan ini adalah antara ganjaran yang amat baik sekali yang dilihat mampu menambah kecemerlangan prestasi para anggota polis," katanya.

0 ulasan:

Catat Komen