Rabu, 28 September 2011

Harian Metro: Setempat

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Harian Metro: Setempat


Kuasa sama polis trafik

Posted: 27 Sep 2011 10:59 AM PDT

KUALA LUMPUR: Bermula 1 Oktober depan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempunyai kuasa sama dengan polis trafik untuk menyaman kenderaan bergerak bagi kesalahan melanggar isyarat lampu merah serta memotong barisan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail, berkata anggota trafik warden DBKL juga boleh menyaman sehingga RM150 bagi setiap saman termasuk kesalahan menghentikan kenderaan di garisan kuning dan tidak mematuhi isyarat lalu lintas.


"Melalui mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara pada 9 September lalu, DBKL dibenarkan mengambil tindakan undang-undang terhadap orang ramai yang tidak mematuhi peraturan jalan raya bertujuan untuk membantu polis mengawal persimpangan jalan, sekali gus memastikan pergerakan lalu lintas lancar.

"Seramai 40 anggota DBKL dipilih untuk bertugas pada waktu puncak memantau di 10 persimpangan yang dikenal pasti," katanya selepas merasmikan perhimpunan bulanan DBKL di sini, semalam.


Antaranya persimpangan Jalan Raja Laut ke Jalan Sultan Ismail, Tuanku Abdul Rahman-Sultan Ismail, Dang Wangi-Tuanku Abdul Rahman, Pudu-Bukit Bintang, Leboh Ampang-Tun Perak, Tun Chan Cheng Lock- Jalan Sultan, Tun Ismail-Jalan Ipoh serta Jalan Parlimen-Raja Laut.


Melalui peruntukan undang-undang Akta Pengangkutan Jalan 1987, Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 dan Kaedah-Kaedah Isyarat Lalulintas, membolehkan DBKL mengambil tindakan terhadap kenderaan bergerak dan tidak lagi tertakluk pada kesalahan lalu lintas statik saja seperti sekarang.

Sementara itu, Ahmad Fuad melancarkan Kempen Senyum Peringkat DBKL yang menyarankan semua kakitangannya terutama petugas barisan hadapan mengamalkan budaya mesra pelanggan melalui amalan memberikan senyuman ketika berurusan dengan orang ramai.


"Bertemakan 'Perkhidmatan Dengan Senyuman' kempen ini bertepatan hasrat untuk memastikan perkhidmatan DBKL sentiasa disenangi dan memuaskan hati orang ramai," katanya.

Seleweng gas RM3.15j tumpas

Posted: 27 Sep 2011 10:55 AM PDT

BANTING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mematahkan satu sindiket menyeleweng gas masak bersubsidi untuk kegunaan industri membabitkan kerugian RM3.15 juta dalam serbuan di sebuah premis di Batu 16, Jalan Sungai Sedu, Jenjarom, di sini, petang semalam.

Sebelum ini, premis sama diserbu pada 26 Julai lalu, namun dalang sindiket terbabit tidak serik.


Sejak diserbu, sindiket terbabit dikesan menghentikan operasi seketika sebelum aktif semula pada awal bulan ini dengan memindahkan 3,000 tong gas bersubsidi sehari.

Kali ini, sindiket bertindak lebih sistematik dengan bertukar lokasi di kawasan sama untuk mengaburi mata penguat kuasa.


Pengarah Penguat kuasa KPDNKK Selangor, Othman Nawang, berkata pihaknya melakukan intipan selama sebulan dan mendapati sindiket mengubah lokasi pemindahan gas di empat lokasi.


Katanya, dalam serbuan jam 3.50 petang itu, pihaknya mula bertindak selepas mendapati sebuah lori bermuatan penuh gas bersaiz 14 kilogram (kg) masuk ke premis itu.

"Pemeriksaan mendapati, 602 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dipindahkan melalui saluran paip yang disalurkan ke dalam 204 tong gas industri bersaiz 50kg," katanya ketika ditemui di tempat serbuan, semalam.


Othman berkata, dalam serbuan itu, dua lelaki tempatan dan empat lelaki warga Myanmar berusia 20 hingga 35 tahun diberkas.

0 ulasan:

Catat Komen