Rabu, 28 September 2011

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Cermin gelap tiada kompromi

Posted:

Cermin gelap tiada kompromi

Cermin gelap tiada kompromi

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

KUANTAN 28 Sept. - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang tidak akan berkompromi dengan pemilik kenderaan yang menggunakan cermin melebihi ketelusan cahaya yang dibenarkan.

Pengarahnya, Datuk Zakaria Man berkata, pihaknya akan sentiasa melakukan pemantauan termasuk mengadakan sekatan jalan raya berhubung perkara tersebut.

"Bagaimanapun, JPJ tidak teragak- agak untuk melakukan pemeriksaan di kawasan letak kereta sekiranya penggunaan cermin gelap di kalangan pemilik kenderaan semakin berleluasa.

"Kita akan keluarkan notis kepada pemilik yang dikenal pasti termasuk kenderaan import," katanya kepada pemberita selepas majlis Aidilfitri JPJ Pahang di sini, semalam.

Menurutnya, penggunaan pelekat ketelusan cahaya bukan tidak dibenarkan tetapi perlu memadai dan mengikut standard yang telah ditetapkan.

"Bukannya tidak boleh memasang pelekat tersebut tetapi perlu mengikut standard yang ditetapkan.

" Alasan kereta dari luar negara dan cermin asal tidak boleh diguna pakai kerana dalam peraturan JPJ, penggunaan cermin gelap tidak dibenarkan kecuali bagi individu yang khusus," jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, penggunaan cermin gelap bagi kenderaan di Pahang masih terkawal.

"Walaupun terkawal kita tetap akan membendungnya supaya tidak menjadi satu trend kerana penggunaannya di kalangan orang awam akan mengundang masalah lain," jelasnya.

Bakal jemaah haji disaran jaga adab, tingkah laku

Posted:

Bakal jemaah haji disaran jaga adab, tingkah laku

Bakal jemaah haji disaran jaga adab, tingkah laku


MOHAMAD SHAHROM OSMAN (kanan) beramah mesra dan menyampaikan sumbangan kepada bakal jemaah haji di Kuala Lipis, baru-baru ini.


KUALA LIPIS 28 Sept.- Bakal jemaah haji disaran menjaga adab dan tingkah laku masing-masing dengan menumpukan amalan bagi memenuhi tuntutan haji mabrur.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamad Shahrom Osman berkata, tindak-tanduk bertentangan adab orang Melayu dan agama Islam bukan sahaja mencalarkan nama baik negara, tetapi akan menyusahkan pihak pengurusan Tabung Haji yang dipertanggungjawab mengurus jemaah haji.

''Sifat dan amalan itu sesuai dengan usaha kerajaan Arab Saudi yang menjadikan negara kita sebagai contoh kepada negara-negara lain dalam mengurus jemaah haji secara terancang dan tersusun,'' katanya.

Beliau menjelaskan demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 55 bakal haji kawasan Parlimen Lipis sempena Majlis Ramah Mesra Merdeka dan Aidilfitri di sini, kelmarin.

Menurutnya, pengusaha dan penganjur pengurusan haji, kakitangan Tabung Haji termasuk agensi lain yang mengurus dan memberi perkhidmatan di Mekah perlu mempertahankan reputasi dan meningkat prestasi dalam menjaga nama baik Malaysia.

"Kejayaan Tabung Haji menarik perhatian banyak negara di dunia termasuk Bosnia Herzegovina yang mahu mencontohi kita.

"Mereka ingin menjadikan Malaysia sebagai contoh yang berkesan dan bermakna apabila mengurus jemaah haji," jelasnya.

Sementara itu, katanya, kos mengerjakan haji juga kekal iaitu sebanyak RM9,980 seorang dan jumlah berkenaan dilihat berpatutan kerana merangkumi semua perbelanjaan seperti tempat tinggal, makanan dan pengangkutan.

Selamatkan Cameron Highlands

Posted:

Selamatkan Cameron Highlands

Selamatkan Cameron Highlands

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com

CAMERON HIGHLANDS 28 Sept. - Pihak berwajib digesa mengetatkan peraturan sedia ada ekoran kerancakan penerokaan haram di Cameron Highlands sehingga mengundang kebimbangan di kalangan penduduk.

Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk S. K Devamany berkata, sehingga kini banyak kawasan tanah tinggi dan hutan di daerah berkenaan diteroka sewenang-wenangnya untuk pertanian komersial dan pembinaan.

"Isu penerokaan haram di sini telah lama berlaku dan kian mengundang kesan pencemaran alam sekitar lebih teruk dan banyak hakisan berlaku ketika hujan lebat.

"Saya dapati penerokaan haram oleh pihak tertentu tanpa dipantau dan hal ini membimbangkan kerana fenomena alam sekitar di pusat pelancongan tanah tinggi berkenaan kian terjejas," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Mukim Hulu Jelai, di Kuala Medang, dekat sini, baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Penolong Pegawai Daerah Lipis, Rushdi Abdul Ghani dan Ketua Kampung Kuala Medang, Ismail @ Hassan Mat Sam.

Pada majlis berkenaan, Devamany yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan kepada 900 asnaf dari 14 buah kampung di Jelai.

Menurutnya, kegagalan pemantauan dan implementasi penguatkuasaan berasaskan peraturan menyebabkan pihak yang tidak bertanggungjawab begitu berani dan mudah meneroka kawasan tanah tinggi demi mengaut keuntungan semata-mata.

" Mereka seolah-olah kental dan tidak takut dengan undang-undang sehingga sanggup menggondol dan meneroka tanah sesuka hati.

"Saya bimbang jika berlaku perkara tidak diingini seperti kejadian tanah runtuh yang mungkin mengorbankan nyawa," jelasnya.

Sehubungan itu, katanya, pihak berwajib perlu melaksanakan peraturan tanpa mengira sesiapa pun yang cuba menukar wajah kawasan tanah tinggi itu untuk kepentingan peribadi tanpa memikirkan kesan alam sekitar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan