Khamis, 29 September 2011

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Entiti baru mampu perkasa umat Islam

Posted: 28 Sep 2011 03:18 PM PDT

Nasional

Syor bentuk Dewan Pentadbiran Islam disokong

KUALA LUMPUR: Cadangan menjadikan majlis agama Islam negeri sebagai Dewan Pentadbiran Islam dilihat sebagai satu cara terbaik memperkasakan serta memperbetulkan hala tuju pentadbirannya yang perlu berpaksikan kepada Perlembagaan.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata banyak perkara yang termaktub dalam Perlembagaan tidak dilaksanakan dalam pentadbiran majlis agama sekarang dan perlu diperbetulkan bagi memperkasakan lagi umat Islam di negara ini.

Jika kita lihat sekarang kewujudan majlis agama bagaikan ada tidak ada, ataupun lebih tepat lagi tidak bermaya. Bahkan orang Islam sendiri tidak menghormati undang-undang yang ada. - Harussani Zakaria, Mufti Perak

Beliau berkata, pembentukan Dewan Pentadbiran Islam bukan saja mampu menjadi medan untuk menggubal serta memperkasakan peraturan Islam, malah boleh berperanan sebagai sebuah badan yang boleh menasihati kerajaan.

"Hari ini banyak perkara yang penting di dalam Perlembagaan tidak dilaksanakan seperti hak istimewa orang Melayu, kuasa Raja, bahasa Melayu dan apa juga termaktub, termasuk kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan.

"Perkara ini perlu diberi keutamaan dan cadangan untuk mewujudkan dewan berkenaan supaya kita kembali kepada asas Perlembagaan.

"Jika kita lihat sekarang kewujudan majlis agama bagaikan ada tidak ada, ataupun lebih tepat lagi tidak bermaya. Bahkan orang Islam sendiri tidak menghormati undang-undang yang ada," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Semalam akhbar melaporkan Kongres Majlis Agama Islam Negeri seluruh Malaysia yang berakhir kelmarin meluluskan 20 resolusi bagi memacu dan memperkasakan umat Islam di negara ini, termasuk mewujudkan Dewan Pentadbiran Islam.

Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah, yang bertitah pada majlis berkenaan mencadangkan supaya majlis agama Islam negeri dirangka sebagai satu Dewan Pentadbiran Islam di bawah naungan, pengawasan dan pemantauan Raja, bertanggungjawab terhadap perkara berkaitan dengan Islam.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Othman Mustapha, berkata Urusetia Resolusi Kongres akan meneliti dan memperhalusi keseluruhan titah Tuanku Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, JAKIM juga menyambut baik titah berkenaan dan sedang mengumpul maklumat serta pandangan pakar agama dan cendekiawan untuk dijadikan asas kepada perbincangan dalam masa terdekat.


Pakatan tidak laksana hudud

Posted: 28 Sep 2011 03:04 PM PDT

Nasional

Pembangkang tolak cadangan Nik Aziz kerana tak tepati dasar bersama

KUALA LUMPUR: Pakatan pembangkang sepakat tidak akan melaksanakan undang-undang hudud seperti yang dicadangkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat kerana pelaksanaannya tidak menepati dasar bersama pakatan itu, Perlembagaan Persekutuan dan kandungan Buku Jingga.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya menghormati pendirian PAS berhubung undang-undang berkenaan tetapi pada masa sama menerima perbezaan pendirian DAP yang membantah pelaksanaannya.

Kita tak boleh nafikan hak mana-mana pihak untuk mengemukakan pendirian tetapi kita terikat dengan dasar bersama dan Perlembagaan Persekutuan. - Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang

"Kita tak boleh nafikan hak mana-mana pihak untuk mengemukakan pendirian tetapi kita terikat dengan dasar bersama dan Perlembagaan Persekutuan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pakatan pembangkang selama kira-kira tiga jam di ibu pejabat PAS, Jalan Raja Laut di sini, lewat malam tadi.

Turut hadir, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Isu hudud dibangkitkan Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS sebelum ini yang bercadang untuk melaksanakannya di Kelantan. Bagaimanapun, cadangan itu mendapat bantahan rakan sekutu parti itu, DAP.

Ditanya sama ada keputusan itu akan berubah pada masa akan datang, Anwar berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah membincangkan perkara itu jika ia dibangkitkan.
Anwar berkata, pakatan pembangkang juga tidak boleh menafikan hak mana-mana pihak untuk mengemukakan pandangan berhubung isu itu.

"Kita mengambil berat pandangan itu dengan serius, mereka (DAP) juga mengkaji dan menghormati (pandangan PAS)," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan