Khamis, 30 Jun 2011

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Ruhayah, suami bantu anak yatim

Posted:

Ruhayah, suami bantu anak yatim

Ruhayah, suami bantu anak yatim

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my


KIRI: md. Suaid Din (belakang) melayani sebahagian anak yatim pada majlis sumbangan perpustakaan mini di Asrama Anak-Anak Yatim Darussalam, Ipoh, baru-baru ini.


IPOH 29 Jun – Niat di hatinya untuk melihat anak yatim mampu hidup berdikari dan berjaya pada suatu hari nanti begitu tersemat utuh dalam jiwanya.

Meskipun niat itu memaksa dirinya terpaksa menjadi guru, tukang masak serta penjaga kepada anak- anak yatim, Ruhayah Abdullah, 51, tidak pernah sesekali mengeluh.

Bagi Ruhayah, selagi kudrat tulang empat kerat di tubuh masih tegap berfungsi, selagi itulah bakti ingin ditaburkan oleh beliau dan suaminya, Md. Suaid Din, 56, kepada anak-anak yatim.

Semuanya bermula lima tahun lalu apabila doktor mengesahkan bahawa dia telah sembuh daripada penyakit strok yang dialaminya selama empat bulan sebelum itu.

Sejak itu, Ruhayah ingin melunaskan rasa kesyukuran terhadap Ilahi dengan mengasaskan Asrama Anak-Anak Yatim Darus Salam Tambun.

Didirikan di atas sebuah tanah wakaf yang juga merupakan bekas sebuah Sekolah Agama Rakyat (SAR) di sini, Ruhayah berkata, pada mulanya, dia dan suami mula mengambil 10 kanak-kanak dari sebuah asrama anak yatim di Sungai Siput, Perak.

Selepas itu, jumlah tersebut meningkat kepada 20 orang pada 2008. Namun ia tidak terhenti setakat itu sahaja kerana Ruhayah yang lebih mesra dengan panggilan 'Ummi', turut mengambil anak- anak yatim di tempat lain.

"Ummi mencari anak-anak yatim yang tidak pernah bersekolah atau lemah di dalam pelajaran kerana Ummi hendak berikan mereka ilmu yang sepatutnya mereka ada dalam hidup ini.

"Selain itu, Ummi mencari anak-anak yatim yang terabai daripada pandangan keluarga kandung sendiri kerana ingin melihat mereka gembira mendapat kasih sayang secukupnya," katanya.

Menurut Ruhayah, dia mengehadkan pengambilan anak yatim supaya tidak melebihi 40 orang memandangkan asrama tersebut hanya mempunyai tiga buah kelas.

Dia berkata, segala penat-lelahnya mendidik anak yatim sebelum ini berbaloi apabila dua daripadanya berjaya memperoleh 2A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) meskipun tidak pernah bersekolah sebelum ini.

"Masa Ummi ambil mereka dahulu, mereka langsung tidak tahu membaca dan menulis. Namun, Alhamdulillah, seorang daripada mereka berjaya masuk sekolah menengah agama berasrama di Kuala Kangsar.

"Di sini, Ummi mengajar mereka semua mata pelajaran. Mereka mengambil peperiksaan UPSR dengan menumpang di Sekolah Kebangsaan Ulu Kinta dekat sini," katanya.

Sekiranya ada kelapangan, Ruhayah akan dibantu tiga anaknya yang juga merupakan mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Menurut Ruhayah, dia pernah mengambil seorang pembantu bagi menolongnya melaksanakan kerja-kerja seharian, namun bertindak memberhentikan pekerja warga Indonesia berkenaan kerana mengasari anak yatim di situ.

"Ummi bukannya terlalu menatang penuh mereka (anak yatim), tetapi Ummi didik mereka dengan penuh disiplin. Kalau sampai tahap memukul, itu bukan cara Ummi.

"Selain itu, di asrama ini, kita tidak pernah menggunakan anak yatim untuk meminta apa-apa derma daripada orang ramai. Semua perbelanjaan di sini ditampung sendiri selain bantuan yang diberikan daripada mana-mana pihak yang prihatin," katanya.

Sementara itu, Ruhayah berkata, selain akademik, dia turut menitikberatkan aspek pendidikan rohani di kalangan anak yatim dengan mendidik mereka untuk menunaikan sembahyang lima kali sehari.

Tambahnya, kelas tahfiz dan al-Quran juga diadakan mengikut peringkat umur selepas subuh dan waktu petang.

"Kita juga melantik ketua di kalangan anak remaja supaya mereka menjaga adik-adik yang masih kecil," katanya.

Dalam perkembangan sama, pihak pengurusan Taman Tema Lost World of Tambun (LWOT) pula berbesar hati menyumbang sebuah perpustakaan bernilai RM50,000 termasuk akses Internet selama lima tahun kepada asrama tersebut.

Pengurus Besarnya, Calvin Ho berkata, sumbangan tersebut turut meliputi buku-buku akademik, basikal, permaidani, kemeja T, tuala dan kasut.

"Pada awalnya, kami bermula dengan jualan lemang dan kuih raya untuk mengumpul dana bagi sumbangan ini, namun, ia tidak menguntungkan. Selepas itu, kami mengambil masa selama dua tahun untuk merealisasikan hasrat ini melalui penjualan beg kitar semula.

"Sumbangan ini sedikit sebanyak diharap dapat membantu golongan yang kurang bernasib baik melalui pendidikan," katanya.

Asrama Anak-Anak Yatim Darus Salam Tambun kini menempatkan seramai 29 penghuni itu terdiri daripada kanak-kanak dan remaja dalam lingkungan umur antara enam hingga 15 tahun.

Orang ramai mahupun mana-mana organisasi yang berminat untuk membantu asrama ini boleh menghubungi Ruhayah di talian 019-4036907 dan suaminya, Md. Suaid (017-5661339) atau memasukkan wang tunai di dalam akaun Bank Islam, 08013010068816.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Anak yatim bersyukur dapat tingkat ilmu

Posted:

Anak yatim bersyukur dapat tingkat ilmu

Anak yatim bersyukur dapat tingkat ilmu

IPOH 29 Jun - Demi pelajaran, seorang penghuni Asrama Anak-Anak Yatim Darus Salam Tambun sanggup mengetepikan hasratnya untuk tinggal bersama keluarga kandungnya.

Muhammad Asynafrey Danial, 15, yang merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik berkata, tiga daripada adik-beradiknya mengikut emak saudara sementara selebihnya menetap bersama ayahnya di Pulau Pinang.

"Memang di hati terasa ingin hidup bersama ayah, tetapi disebabkan keinginan untuk belajar, perasaan itu harus saya tolak ketepi.

"Ayah bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Seberang Jaya, Pulau Pinang. Namun, saya sudah 11 bulan berada di sini dan Alhamdulillah, saya sekarang sudah berjaya menghafaz dua juzuk al-Quran," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penghuni asrama tersebut, Muhammad Amirul Fitri, 15, merasa terhutang budi dengan pertolongan Ruhayah Abdullah atau 'Ummi' yang mendidiknya sehingga boleh membaca dan menulis.

Anak keempat daripada enam beradik yang berasal dari Lubok Buntar, Kedah sebelum ini langsung tidak tahu membaca walaupun sudah menjangkau usia 12 tahun.

"Adik beradik saya yang lain semuanya sudah berpecah. Ada yang dijaga oleh datuk, sementara ada juga yang dijaga oleh emak tiri.

"Walaupun begitu, saya selesa tinggal di sini dan boleh menuntut ilmu pengetahuan," katanya.

Seorang lagi penghuni, Muhammad Ridzuan Abdullah, 12, berkata, dia langsung tidak pernah bersekolah sebelum ini.

Anak kedua daripada tujuh beradik itu juga mempunyai seorang adik perempuan, Siti Nurasyikin Abdullah, 11, yang turut bersama-samanya di Asrama Anak-Anak Yatim Darus Salam di sini.

"Ibu saya sudah bercerai. Dua lagi adik beradik saya tinggal bersama ibu, sementara yang lain, ada orang lain yang jaga.

"Kalau tiba hari raya, saya dan adik akan balik ke rumah kerana ibu tinggal di Tambun juga," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Dakwa kecuaian punca ibu mati

Posted:

Dakwa kecuaian punca ibu mati

Dakwa kecuaian punca ibu mati

Oleh AZMAN MD NOOR
utusankedah@utusan.com.my

BALING 29 Jun – Seorang peniaga merayu Kementerian Kesihatan menyiasat tindakan seorang doktor di Hospital Baling yang didakwanya cuai ketika menjalankan tugas sehingga menyebabkan kematian ibunya.

Mohd. Fauzi Abdul Rahman, 41, dari Kampung Binjul Dalam, Tawar dekat sini berkata, dia membawa ibunya, Sao'dah Jaafar, 68, yang mengalami sakit perut dan cirit ke hospital itu untuk dirawat pada 23 Jun lalu.

Menurutnya, bagaimanapun doktor yang berkenaan menyuruhnya pulang ke rumah kira-kira pukul 1.30 pagi selepas mengatakan ibunya hanya menghadapi masalah angin dalam perut.

"Apa yang dikesalkan, keadaan ibu saya masih lemah dan tidak bermaya ketika disuruh pulang itu. Saya merayu kepada doktor berkenaan supaya ibunya dimasukkan ke wad, itupun selepas lima kali memanggil doktor berkenaan memeriksa semula ibunya dan dimasukkan ke wad.

"Doktor itu kemudian melemparkan kata-kata sinis dengan berkata kalau nak masuk wad, masuklah," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Mohd. Fauzi berkata, selepas itu ibunya dimasukkan ke wad dalam keadaan tidak sedarkan diri sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 3.20 petang keesokannya akibat jangkitan bakteria dalam darah yang kritikal.

Katanya, dia reda dengan ketentuan Allah terhadap ibunya tetapi apa yang dikesalkan, doktor terbabit gagal mengesan dengan betul punca penyakit untuk memberi rawatan sewajarnya kepada wanita itu.

Menurut Mohd.Fauzi, ibunya yang tidak sedarkan diri hanya dibiarkan terlantar di wad kerana doktor menganggap ia disebabkan masalah angin dalam perut walhal sebenarnya ia adalah jangkitan bakteria dalam darah.

"Saya kecewa dan berharap kejadian seperti ini tidak akan berulang kepada pesakit lain khususnya kami orang kampung. Janganlah memandang hina dan rendah kepada orang kampung yang memerlukan rawatan kerana kami tidak mampu ke hospital pakar setanding dengan orang yang berada," katanya.

Tambahnya, berikutan kejadian itu dia menghubungi melalui telefon dan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Pengarah Kesihatan Hospital Baling, Dr. Jazari Jamaludin, untuk membuat aduan.

"Walaupun pada mulanya tiada jawapan, Dr. Jazari kemudian membalas mesej saya keesokannya dengan mengatakan beliau akan menyiasat kejadian," katanya.

Mohd. Fauzi juga menulis surat kepada Pejabat Menteri Kesihatan, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah dan Pengarah Hospital Baling (HB) untuk meminta penjelasan terhadap apa yang berlaku dan memberi perhatian terhadap kes-kes seperti ini.

"Saya lakukan ini bukan untuk kepentingan diri tetapi untuk pesakit lain juga supaya mereka tidak diabaikan ketika memerlukan rawatan," katanya.

Sementara itu, Dr. Jazari ketika dihubungi mengesahkan menerima aduan tersebut.

''Kita akan siasat dakwaan tersebut,'' katanya yang enggan mengulas.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen