Selasa, 28 Jun 2011

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Taman Tasik Perdana lebih ceria

Posted: 28 Jun 2011 04:29 PM PDT

Nasional

Dikenali Taman Botani Perdana selepas transformasi, penjenamaan semula

KUALA LUMPUR: Taman Tasik Perdana yang sebelum ini sepi, lesu dan pudar kehijauannya kini berubah wajah selepas mengalami proses transformasi dan penjenamaan semula dan dikenali sebagai Taman Botani Perdana.

Berkeluasan 101 hektar di tengah bandar raya dan dikelilingi tempat menarik seperti Tugu Negara, Planetarium Negara, Taman Rama-Rama, Memorial Tun Razak dan Carcosa Seri Negara, Taman Botani Perdana kini lebih segar, ceria dan hijau selepas mengalami proses penjenamaan semula bermula Mac lalu dalam tiga fasa transformasi membabitkan kos RM35 juta. Antara lain, taman itu akan mengalami perubahan fizikal dan infrastruktur lebih mesra pengguna, pelancong dan alam, sekali gus menjadi mercu tanda dan daya tarikan pelancong di ibu negara.

Dalam fasa pertama, Taman Botani Perdana dilengkapi air terjun menarik di Jalan Tembusu, kolam ikan serta pembinaan laluan papan menggunakan kayu daripada landasan kereta api, fasa kedua pula, sebanyak 1,275 pokok termasuk koleksi dan spesies pokok khas sempena nama negeri dan tempat di Malaysia turut di tanam di situ.

Laman Perdana yang akan menjadi kawasan penanaman pokok khusus kepada pemimpin luar negara yang membuat lawatan rasmi ke negara ini juga akan diwujudkan di taman ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika merasmikan Taman Botani Perdana semalam berkata, taman itu akan menjadi simbol dan landskap penting negara seperti kewujudan taman rekreasi terkenal di luar negara.
Katanya, taman botani atau rekreasi yang indah menjadi satu kemestian dalam landskap sebuah ibu kota seperti Hyde Park dan Kew Gardens di London, Central Park di New York dan The Royal Botanical Gardens di Melbourne.

"Saya percaya dengan adanya Taman Botani Perdana yang baru ini, ia meningkatkan lagi kedatangan pelancong ke negara ini terutama dari luar negara," katanya.

Hadir sama, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Unggah Embas dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail.

Perdana Menteri dan isteri sebelum itu turut meluangkan masa hampir sejam melawat kawasan sekitar Taman Botani Perdana seperti kawasan ditanam koleksi pokok hutan, koleksi pokok unik, koleksi pokok buah-buahan serta mengambil gambar di air terjun di Jalan Tembusu.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

BN tak terpedaya perang psikologi

Posted: 28 Jun 2011 04:26 PM PDT

Nasional

MUHYIDDIN disambut oleh Pemangku Pengarah Bersekutu Universiti Maryland, Mark Varner ketika tiba di universiti itu di Washington, semalam.

MUHYIDDIN disambut oleh Pemangku Pengarah Bersekutu Universiti Maryland, Mark Varner ketika tiba di universiti itu di Washington, semalam.

Dakwaan pembangkang yakin boleh tawan Putrajaya hanya mainan politik

TAN Sri Muhyiddin Yassin yakin dakwaan pembangkang kononnya boleh menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 hanyalah perang psikologi yang tidak akan memperdayakan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana pembangkang boleh mendakwa mampu menang dengan kelebihan kerusi yang besar tetapi yang membuat pilihan adalah rakyat. "Bagaimanapun, bagi BN paling penting adalah meneruskan agenda demi kepentingan rakyat sama ada dalam bidang ekonomi, pendidikan dan sosial. Pembangkang memang banyak membuat pelbagai andaian tetapi pada pilihan raya negeri Sarawak lalu, pembangkang tetap kalah.

"Saya tahu cabaran bukan mudah. Pembangkang sudah ada cita-cita tumbangkan kerajaan dan Putrajaya menjadi sasaran mereka. Bagaimanapun, kita (BN) tidak boleh ambil mudah. Yang penting dalam Gagasan 1Malaysia, rakyat kita dahulukan.
Atas dasar itu, kita boleh tingkatkan usaha kita," katanya ketika mengulas keyakinan Penasihat DAP, Lim Kit Siang kononnya pembangkang boleh menawan 11 negeri pada pilihan raya umum akan datang.

Lim yakin selain negeri yang diperintah pembangkang, iaitu Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan, mereka mampu menawan semula Perak dan yakin menang di Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu dan Perlis.
"Kit Siang kata Perdana Menteri dan saya tahu hakikat itu, tetapi sebenarnya itu tidak betul, sebaliknya ia adalah perang psikologi mereka bagi mengabui fikiran rakyat," katanya selepas mendengar taklimat di Universiti Maryland, di sini, semalam.

Bagaimanapun, katanya, BN tidak akan terjebak dengan 'permainan' pembangkang kerana paling penting kita harus percaya pada rakyat yang yakin dasar perjuangan BN masih relevan.

"Sebenarnya Kit Siang bimbang BN sudah sekian lama melangkah ke hadapan dengan transformasi politik dan ekonomi yang akan memberi impak besar kepada rakyat.
Pembangkang semakin bimbang perjalanan ke Putrajaya terbantut kerana pada pilihan raya kecil dan negeri Sarawak tidak semua tempat mereka menang," katanya.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen