Isnin, 27 Jun 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Sindiket seleweng gas tumpas

Posted: 26 Jun 2011 02:02 PM PDT

Wilayah

SALURAN paip direka secara tersusun bagi menyalurkan gas  di gudang haram di Kampung Raja, Klang.

SALURAN paip direka secara tersusun bagi menyalurkan gas di gudang haram di Kampung Raja, Klang.

KPDNKK Selangor rampas 10,000 tong LPG, peralatan babit RM1.1j

KLANG: Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Inilah perumpamaan sesuai bagi sindiket menyeleweng gas masak bersubsidi yang beroperasi di sebuah gudang haram di Kampung Raja, di sini.

Selepas dua tahun menjalankan operasi haram itu di sebalik pagar tinggi yang dipasang zink, kegiatan itu akhirnya diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor, malam kelmarin. Dalam serbuan kira-kira jam 10 malam itu, bahagian penguat kuasa KPDNKK Selangor merampas 10,000 tong gas petroleum cecair (LPG) dan peralatan memindahkan gas ke dalam tong gas dan lori, bernilai RM1.1 juta.

Penguat kuasa terbabit turut menahan 12 warga asing dan tiga rakyat tempatan bagi membantu siasatan berhubung penemuan gas memasak seberat 14 kilogram (kg) dan gas industri seberat 50 kg itu.

Pengarah Penguatkuasa KPDNKK Selangor, Othman Nawang, berkata ketika serbuan, sekumpulan pekerja didapati memindahkan tong gas ke dalam lori yang dipercayai hendak diedarkan di sekitar Selangor.

Katanya, serbuan itu disertai 18 anggota dan pegawai penguat kuasa KPDNKK dengan kerjasama polis daerah Klang selepas melakukan risikan selama dua minggu sebaik mendapat maklumat orang ramai mengenai penyelewengan gas masak bersubsidi.
Berdasarkan siasatan awal, sindiket terbabit dipercayai beroperasi sejak dua tahun lalu dan lokasinya tersorok kerana ia ditutupi dengan pagar tinggi yang dipasang zink seperti kawasan pembinaan bagi mengelak kegiatan dikesan.

"Melihat kepada sistem pemasangan paip di gudang ini untuk menyeludup gas, kami percaya kegiatan ini dikendalikan oleh mereka yang mahir dan berpengalaman, selain dilengkapi sistem keselamatan yang sistematik.

"Mereka dipercayai menggunakan tujuh pam utama dan kira-kira 400 saluran paip dijalankan serentak untuk menjalankan aktiviti haram ini. Ia begitu tersusun dan dirancang rapi. Pam besar yang ditemui di belakang premis pula dijadikan saluran untuk menyeludup gas ke dalam lori tangki," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Tiga lori serta peralatan untuk memindahkan gas ke dalam tong gas dan lori turut dirampas.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan individu boleh didenda maksimum RM100,000 atau tiga bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

Syarikat pula boleh didenda maksimum RM250,000 bagi kesalahan pertama dan RM500,000 bagi kesalahan kedua.

Othman berkata, umur dan status kesemua warga asing yang ditahan itu belum diketahui.

Sepanjang tahun ini, KPDNKK Selangor merampas barangan bersubsidi seperti minyak diesel, minyak masak dan gas memasak bernilai RM3.4 juta.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Bantah premis dekat terowong

Posted: 26 Jun 2011 02:00 PM PDT

Wilayah

Penduduk Sungai Lembing kesal MPK majukan kawasan lombong bijih

KUANTAN: Penduduk Sungai Lembing dekat sini, membantah tindakan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) membina premis perniagaan dan kemudahan awam di hadapan pintu masuk terowong lombong bijih di pekan bekas perlombongan itu.

Projek yang dimulakan sejak sebulan lalu itu, didakwa penduduk hanya akan menjejaskan industri pelancongan di kini bergantung sepenuhnya kepada peninggalan sejarah bekas lombong bijih berkenaan yang direkodkan sebagai paling dalam di dunia. Walaupun projek pembinaan oleh MPK itu bertujuan untuk memberi kemudahan pelancongan lebih sempurna, lokasinya disifatkan tidak sesuai dan boleh menjejaskan khazanah sejarah negara.

Ketua Kampung Kuala Kenau, Niyamil Hassan, 65, berkata penduduk tidak berhasrat membantah projek itu atas dasar menghalang pelan pembangunan atau cuba menafikan usaha memajukan pelancongan di situ.

"Tetapi yang penduduk kesalkan adalah pelaksanaan projek itu oleh MPK tanpa terlebih dulu mengambil kira pandangan penduduk dari aspek kesesuaian lokasinya serta struktur bangunan kekal yang akan di bina.

"Kedudukan empat bangunan gerai yang dibina di situ ternyata menutup laluan masuk ke terowong lombong berkenaan dan pastinya akan menghalang pandangan pelancong dari arah Muzium Sungai Lembing," katanya.
Niyamil berkata, faktor itu penting untuk diambil kira kerana majoriti pelancong yang melawat Sungai Lembing adalah untuk mengetahui sejarah perlombongan di pekan itu sama ada dengan mengunjungi muzium atau terus meninjau terowong berkenaan.

"Kita meminta MPK memberhentikan sementara projek itu dan mengkaji semula faktor berkenaan sebelum keseluruhan struktur bangunan didirikan kerana ia akan menjadi satu pembaziran jika terpaksa dirobohkan kelak," katanya.

Bekas pekerja lombong berkenaan, Mohd Sharif Mohamad, 60, berkata jika pihak MPK ghairah melaksanakan projek pembangunan yang berskala besar itu, ia pastinya akan menjejaskan keaslian khazanah warisan lombong berkenaan.

"Kebanyakan pelancong yang berkunjung ke situ adalah untuk menimba pengetahuan dari aspek sejarah dan teknologi perlombongan melalui peninggalan jentera, maklumat di muzium serta terowong masih terpelihara," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah ketika berdialog isu itu dengan penduduk, kelmarin berkata, pihaknya akan merujuk perkara berkenaan kepada Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri.

"Projek itu dianggarkan bernilai RM8 juta meliputi kerja membaik pulih keadaan lombong untuk keselamatan pengunjung serta membina premis kemudahan pelancongan seperti gerai jualan, kaunter maklumat dan kereta api lombong.

"Pandangan penduduk dan pengusaha pelancongan di situ akan diambil kira dalam merangka pelan pembangunan ini kerana bimbang ia akan menjejaskan sumber ekonomi mereka di situ," katanya.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan