Rabu, 29 Jun 2011

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Ekspedisi bermotor, berakit

Posted:

Ekspedisi bermotor, berakit

Ekspedisi bermotor, berakit

Oleh ASLIZA MUSA
utusanperak@utusan.com.my


Pelajar-pelajar Politeknik Ungku Omar yang menyertai ekspedisi Kembara Kemasyarakatan Bermotor dan Berakit di Kampung Sayong Lembah, Kuala Kangsar, baru-baru ini. – utusan/ ASLIZA MUSA


KUALA KANGSAR 28 Jun – Politeknik Ungku Omar (PUO) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Pengajian Politeknik telah menganjurkan ekspedisi Kembara Kemasyarakatan Bermotor dan Berakit bermula 17 hingga 20 Jun lalu.

Pegawai Perhubungan Awamnya, Hasmiza Hussin berkata, kembara selama empat hari itu yang melibatkan penyertaan seramai 150 pelajar diadakan di Kampung Sayong Lembah dekat sini.

Katanya, program yang melibatkan penyertaan masyarakat setempat itu turut mendapat kerjasama Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bahagian Chandan, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3).

"Ini merupakan salah satu daripada aktiviti perancangan PUO di bawah program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) bagi 2011.

"Matlamat utama kembara ini adalah bagi membudayakan CSR sebagai satu budaya di PUO selain memberi pendedahan kepada pelajar berhubung interaksi bersama masyarakat luar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Hasmiza berkata, seramai 50 pelajar telah memulakan ekspedisi berakit menyusuri sungai Perak bermula dari Kem Intan Suraya hingga ke Sayong Lembah.

Katanya, baki seramai 100 pelajar lain pula memulakan kembara bermotosikal dari PUO menuju ke Perkampungan Orang Asli, Ulu Kuang, Sungai Siput.

"Sepanjang penjelajahan, kekuatan mental dan fizikal amat diperlukan dan ia menyerlahkan semangat berpasukan yang tinggi di kalangan pelajar seterusnya menjadikan mereka kuat mental dan fizikal bagi menempuh dunia sebenar.

"Selain itu, ia juga dapat mempromosikan PUO sebagai sebuah pusat pembelajaran pilihan utama para pelajar dan institusi yang mampu melahirkan pekerja berkemahiran tinggi apabila tamat pengajian," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

UUM tambah 14 pusat pengajian

Posted:

UUM tambah 14 pusat pengajian

UUM tambah 14 pusat pengajian

KUBANG PASU 28 Jun - Universiti Utara Malaysia (UUM) menambah 14 pusat pengajian baru di tiga kolej universiti berkenaan bagi memantapkan penstrukturannya untuk menjadi universiti penyelidikan menjelang 2013.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Rosna Awang Hashim berkata, tiga kolej terlibat ialah UUM College of Arts and Sciences (UUM CAS), UUM College of Business (UUM COB) dan UUM College of Law, Government and International Studies (UUM COLGIS).

Menurutnya, penambahan pusat pengajian itu akan memudahkan urusan akademik dan pentadbiran universiti kerana setiap pusat pengajian mempunyai dekan, ketua jabatan dan kumpulan pentadbir sendiri.

"Pusat pengajian baru ini akan membantu menguatkan lagi struktur pengurusan kolej di universiti ini yang sedia ada serta dapat menjadi pemangkin kepada usaha menjayakan hasrat menjadikan UUM sebagai universiti pengurusan terkemuka," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Rosna berkata, UUM sudah membentangkan struktur kolej yang baru dengan penambahan 14 pusat pengajian pada 23 Jun lalu untuk mendapat kelulusan Kementerian Pengajian Tinggi sebelum melaksanakan penambahbaikan kepada sistem kolej sedia ada.

"Penstrukturan kolej yang baru ini juga telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Pendidikan Tinggi, kementerian dan Lembaga Pengurusan Universiti," katanya lagi.

Beliau berkata, kementerian juga bersetuju dan menyokong pelaksanaan penstrukturan itu kerana ia tidak akan melibatkan pertambahan kos dan kakitangan kerana menggunakan ruang dan kemudahan yang sedia ada.

Katanya, antara 14 pusat pengajian itu ialah Pusat Pengajian Sains Kuantitatif, Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden, Pusat Pengajian Pengkomputeran, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi serta Pusat Pengajian Pembangunan Sosial untuk UUM CAS.

Selain itu kata Rosna, bagi UUM COB pula adalah Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Pusat Pengajian Perakaunan, Pusat Pengajian Perniagaan Islam, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik dan Ekonomi serta Pusat Pengajian Kewangan dan Perbankan.

Tambahnya, pusat pengajian baru di UUM COLGIS pula adalah Pusat Pengajian Kerajaan, Pusat Pengajian Antarabangsa, Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Pusat Pengajian Hospitaliti dan Alam Sekitar dan Pusat Pengajian Undang-undang.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pasukan FM6 juara KIK 2011

Posted:

Pasukan FM6 juara KIK 2011

Pasukan FM6 juara KIK 2011


Pasukan FM6 dari Politeknik Seberang Perai menjuarai Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Politeknik Malaysia di Bukit Mertajam, baru-baru ini.


BUKIT MERTAJAM 28 Jun – Projek sistem maklumat pelajar bersepadu yang dibangunkan oleh pasukan FM6 dari Politeknik Seberang Perai (PSP) muncul juara Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Politeknik Malaysia baru-baru ini.

Bertajuk i2P atau iPelajar dan iPensyarah, projek tersebut dibentuk secara maya bagi memudahkan pelajar mendapat maklumat keperluan mereka seperti surat tamat pengajian, keputusan peperiksaan, transkrip dan pendaftaran pelajar senior.

Menurut ketua kumpulan FM6, Irdawati Ishak, i2P juga digunakan semasa pendaftaran pelajar baru dan maklumat konvokesyen yang boleh didapati secara dalam talian.

"Kemudahan ini juga memberi peluang kepada ibu bapa untuk mengetahui perkembangan anak-anak mereka sepanjang belajar di PSP selain menyelaras aktiviti kemasukan serta pendaftaran kursus.

"Projek ini mengambil masa selama setahun 10 bulan untuk disiapkan dan kami seramai lapan orang bersyukur ia turut dipilih sebagai projek Terbaik KIK 2011 ini," katanya selepas majlis penutup program KIK 2011, di sini, baru-baru ini.

Majlis penutup konvensyen itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Md. Nor Yusof.

FM6 menewaskan 19 pasukan lain dan membawa pulang wang tunai RM500, sijil serta piala pusingan.

Selain PSP sebagai tuan rumah, lapan lagi politeknik yang mengambil bahagian adalah Politeknik Ungku Omar, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Politeknik Kota Bharu dan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah.

Turut menyertai Politeknik Tuanku Syed Sirajudin, Politeknik Sultan Azlan Shah, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Politeknik Merlimau Melaka.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan