Rabu, 29 Jun 2011

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


KPTM-Kesedar di Gua Musang

Posted:

KPTM-Kesedar di Gua Musang

KPTM-Kesedar di Gua Musang

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my


Mohd. Arshad Ismail (kiri) menyerahkan memorandum persefahaman kepada Ibrahim Ahmad sambil diperhatikan Hasan Malek (dua dari kiri) dan Sohaimi Shahadan (tengah) di Gua Musang, baru-baru ini.


GUA MUSANG 28 Jun – Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) terus mengorak langkah ke hadapan dengan pembukaan kampus baru di daerah ini hasil kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

Pengurusi KPTM, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, kerjasama itu bakal membuka lembaran baru dalam usaha kolej menyediakan peluang pendidikan tinggi kepada pelajar luar bandar.

Beliau berkata, usaha sama mewujudkan Kolej KPTM dengan Kesedar itu turut membantu proses pembangunan setempat di kawasan luar bandar di negeri ini.

"Saya yakin dan percaya pembukaan kolej ini akan merancakkan lagi pembangunan di kawasan Kesedar bukan saja dalam pertumbuhan ekonomi, tetapi juga membuka peluang pendidikan kepada rakyat di luar bandar.

"Ini merupakan kerjasama pertama KPTM dengan agensi kerajaan. Untuk kerjasama ini pihak Kesedar menyediakan infrastruktur dan premis manakala KPTM membekalkan kemahiran dari segi pengurusan, pembangunan manusia dan sebagainya," katanya.

Beliau ditemui pada majlis perasmian pembukaan kampus KPTM-Kesedar di Taman Etnobotani Kesedar dekat sini, baru-baru ini.

Perasmian kampus KPTM-Kesedar itu disempurnakan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek.

Turut hadir, Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Ibrahim Ahmad; Pengerusi Kesedar, Datuk Ramzi Abdul Rahman; Pengurus Besar Kesedar, Mohd. Arshad Ismail dan Presiden KPTM, Datuk Yusoff Harun.

Sohaimi berkata, Kampus KPTM-Kesedar di Gua Musang ini merupakan cawangan kedua yang beroperasi di kawasan luar bandar selepas Semporna, Sabah yang ditubuhkan pada 2010.

Beliau memberitahu, langkah itu merupakan pembaharuan yang dibawa oleh KPTM yang ketika ini mempunyai sembilan kampus di seluruh negara dan bercadang membuka sebuah lagi kampus di Kuching, Sarawak tidak lama lagi.

"KPTM memilih kawasan luar bandar bertujuan memberi kemudahan pendidikan kepada anak-anak di kawasan ini apabila tamat persekolahan.

"Ini membuktikan kesungguhan KPTM dalam meluaskan akses kepada penduduk luar bandar untuk menikmati peluang pendidikan tinggi tanpa perlu berhijrah ke kota besar," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

UMK dapat RM4.08j bangunkan kelengkapan FPV

Posted:

UMK dapat RM4.08j bangunkan kelengkapan FPV

UMK dapat RM4.08j bangunkan kelengkapan FPV


Zainai Mohamed memberi susu botol kepada anak kambing jenis Saneen pada pameran haiwan sempena Hari Terbuka Fakulti Perubatan Veterinar di UMK, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, baru-baru ini.


KOTA BHARU 28 Jun - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mendapat peruntukan RM4.08 juta khusus bagi membangunkan kelengkapan Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) universiti itu bagi persiapan siswanya yang akan memasuki fasa pengajian klinikal.

Naib Canselor UMK, Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Zainai Mohamed berkata, peruntukan daripada Kerajaan Pusat itu penting bagi memastikan kelancaran pengajian tahun tiga kumpulan siswa perintis FPV bermula September ini.

Zainai berkata, sehingga kini, terdapat seramai 65 mahasiswa mengikuti program perubatan veterinar di universiti itu dan 39 daripadanya adalah kumpulan pertama yang memulakan pengajian sejak Julai 2009.

Jelasnya, peruntukan itu digunakan untuk pembangunan makmal, klinik dan peralatan pembedahan bagi kemudahan pensyarah dan penuntut fakulti tersebut.

"Infrastruktur dan kemudahan di setiap fakulti UMK sebagai sebuah universiti baru membangun seiring dengan usianya, begitu jugalah dengan FPV yang merupakan fakulti kedua seumpamanya dalam negara selepas penubuhan program sama di Universiti Putra Malaysia (UPM) sejak 1978.

"Kita berbangga dengan kewujudan fakulti ini di UMK kerana ia bukan sekadar berfungsi sebagai sebuah fakulti pengajian semata-mata, tetapi sebagai benteng negara dalam mengawal penyakit bawaan haiwan yang masuk menerusi sempadan.

"Melalui kepakaran ahli akademik dan kemampuan pelajar, kita yakin itulah antara sebab utama UMK menjadi satu-satunya universiti awam yang dipilih kerajaan mengadakan program ini selepas UPM mempeloporinya lebih 30 tahun lalu," katanya selepas merasmikan Hari Terbuka FPV di kampus universiti itu di Pengkalan Chepa, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Dr. Abu Hassan Muhammad Ali; Pengarah Perkhidmatan Veterinar negeri, Datuk Dr. Mohd. Zairi Serlan dan Dekan FPV UMK, Dr. Mohd. Azam Khan Goriman Khan.

Hari Terbuka FPV dengan tema Haiwan Juga Perlu Kasih Sayang itu diadakan sempena sambutan Hari Veterinar Sedunia 2011, di samping bertujuan memperkenalkan fakulti itu kepada masyarakat sekitar.

Terdahulu dalam ucapan aluannya, Dr. Mohd. Azam Khan berkata, tema tersebut dipilih memandangkan peranan penting doktor perubatan veterinar dalam menyedarkan masyarakat tentang isu berkaitan kebajikan haiwan belaan.

"Masyarakat perlu prihatin mengenai kebajikan haiwan itu yang bukan sahaja sumber penting protein bagi makanan manusia tetapi juga sebagai peneman dan haiwan kesayangan.

"Keprihatinan ini termasuklah memastikan cara haiwan itu disembelih, bagaimana ia 'dilayan' untuk tujuan penyelidikan, penjagaannya sebagai haiwan peliharaan, isu kepupusan spesies haiwan tertentu dan bagaimana masyarakat mengatasi masalah kucing dan anjing terbiar," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

KTD anjur program khidmat masyarakat di Kemboja

Posted:

KTD anjur program khidmat masyarakat di Kemboja

KTD anjur program khidmat masyarakat di Kemboja


Salah seorang peserta Ziarah dan Dakwah 3 mengagihkan sumbangan kepada penduduk Islam di Roka Pram, Kemboja, baru-baru ini.


KOTA BHARU 28 Jun - Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) menganjurkan misi dakwah dan kebajikan ke Kemboja baru-baru ini sebagai salah satu aktiviti khidmat masyarakatnya di peringkat antarabangsa.

Ketua Eksekutif KTD, Prof. Madya Dr. Abdullah Sudin Ab. Rahman berkata, program tersebut yang dianjurkan dengan kerjasama Himpunan Lepasan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Haluan) merupakan program ziarah dan dakwah kali pertama KTD di luar negara.

"Sudah dua kali aktiviti kebajikan berskala besar ini kita adakan tetapi kedua-duanya berpusat di pedalaman negeri ini iaitu program bersama Orang Asli di daerah Gua Musang.

"Pada tahun ini kita memilih Kemboja sebagai destinasi baru demi memberi pendedahan yang lebih luas kepada penuntut di samping mengutip pengalaman bersama masyarakat luar," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Menurutnya, program Ziarah dan Dakwah 3 itu berlangsung dari 13 hingga 17 Mei lalu dan disertai seramai 10 penuntut, lima pensyarah dan pegawai KTD serta 19 wakil Haluan.

Abdullah Sudin yang juga Presiden Haluan berkata, selain sumbangan daripada persatuan itu, pihaknya juga mendapat bantuan RM10,000 daripada kerajaan negeri bagi membiayai program tersebut.

Beliau berkata, pihaknya turut merancang mengadakan program ziarah dan dakwah ke Indonesia pula pada tahun hadapan.

Dalam pada itu, Pengarah program, Mohamed Awang berkata, program sepanjang empat hari di Kemboja itu dipenuhi dengan pelbagai acara termasuk lawatan ke kampung orang Islam di Roka Pram untuk memberi sumbangan dan mengadakan program bersama penduduk di situ.

"Walaupun masa singkat bersama penduduk, kami berjaya melaksanakan pelbagai aktiviti termasuk gotong-royong mengecat bangunan sekolah, sukaneka, pemeriksaan kesihatan percuma dan ceramah motivasi.

"Kami juga menyampaikan sumbangan seperti kain tudung, kopiah, minyak wangi, beras dan buku hasil daripada kutipan derma yang kita kumpul sebelum ini," katanya.

Beliau yang juga Penolong Pengurus Hal Ehwal Akademik KTD sangat terharu dengan sambutan yang diberikan penduduk serta kerjasama Pejabat Mufti Kemboja terutama Mufti Kamaruddin Yusuf @ Okhna Sos Kamry yang mengatur jadual perjalanan pihaknya semasa di sana.

Katanya, mereka juga berpeluang mengadakan perbincangan dengan pimpinan umat Islam Kemboja bagi mendapatkan input terkini mengenai masyarakat Islam di negara itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan